Kemasukan pekerja asing ke dalam negara kita , Malaysia terutamanya pasti mengundang kesan positif dan juga negatif. Dewasa ini, peluang pekerjaan sudah semakin tertutup kerana pandemik melanda di negara kita. Ini adalah peluang buat warga tempatan mencari kerja tetap yang diperlu diisi oleh mereka yang memerlukan pekerjaan demi kelangsungan hidup.
SOALAN : Berdasarkan gambar rajah dibawah ini. Huraikan pendapat anda kesan kemasukan pekerja asing terhadap masyarakat dan negara. Panjang huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
RANGKA KARANGAN.
Pendahuluan: Malaysia menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja – sektor perladangan dan pembinaan-pekerja asing dibawa masuk
Isi 1: pekerja asing – datang dari negara-negara jiran-kemiskinan hidup di negara asal – berhijrah ke Malaysia – majikan di Malaysia cenderung mengambil pekerja asing-mempunyai kemahiran – menerima gaji yang lebih rendah daripada rakyat tempatan
Isi 2: kedatangan pekerja asing ini menimbulkan pelbagai gejala negatif-terlibat dalam aktiviti jenayah – mengancam penduduk setempat – menimbulkan kekacauan di negara ini
Isi 3: wujudnya masalah setinggan – membina atau menyewa rumah setinggan – majikan tidak menyediakan rumah – Wujud juga perkampungan mereka-menimbulkan perasaan bimbang dan tidak senang hati dalam kalangan rakyat tempatan
Penutup: meskipun membantu pembangunan negara-ada masalah yang timbul – menghantar mereka balik setelah permit tamat-mengehadkan kemasukan pekerja asing dari semasa ke semasa
CONTOH KARANGAN
Malaysia masih menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor-sektor tertentu, terutama sektor perladangan dan pembinaan. Perkara ini berlaku disebabkan oleh sikap sesetengah rakyat negara ini yang terlalu memilih pekerjaan. Sehubungan itu, pekerja asing, terutama dari Indonesia, Thailand, dan Filipina dibawa masuk.
Kemasukan pekerja asing ke negara ini telah meningkatkan kadar jenayah. Hal ini demikian kerana, pelbagai aktiviti jenayah, misalnya samun, mencuri kenderaan, pecah uran sering dikaitkan dengan pekerja asing di negara ini. Mereka turut terlibat dalam pergaduhan sesama sendiri dan juga dengan pekerja asing dari negara lain. Situasi seperti ini bukan sahaja mengancam keselamatan penduduk tempatan tetapi dapat menjejaskan kestabilan politik di negara ini.
Selain itu, masalah setinggan bertambah ekoran kemasukan pekerja asing. Mereka yang tidak disediakan rumah oleh majikan terpaksa menyewa atau mendirikan rumah secara haram di pinggir bandar atau di luar bandar. Di samping itu, terdapat juga sesetengah kawasan di negara ini yang menjadi penempatan pekerja asing, seolah-olah “perkampungan” mereka. Hal ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk tempatan, selain menjejaskan imej negara.
Masalah pengaliran wang ke luar negara tidak dapat dinafikan. Hal ini demikian kerana, pekerja asing ternyata menghantar sebahagian daripada pendapatan mereka kepada keluarga mereka di negara asal mereka. Mereka juga akan membawa pulang wang mereka setelah tamat tempoh berada di negara ini. Ertinya, wang yang sepatutnya dibelanjakan di negara ini telah berpindah. Situasi ini tidak membantu perkembangan ekonomi negara ini.
Meskipun kemasukan pekerja asing dapat membantu pihak tertentu mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja, namun kesan negatifnya amat ketara. Oleh itu, masalah yang timbul ekoran kemasukan mereka perlu dipandang serius oleh semua pihak dan semua pihak tidak harus lepas tangan dalam masalah ini. Tindakan menghantar pulang mereka yang datang secara haram wajar diteruskan. Pada masa yang sama, sikap terlalu memilih pekerjaan dalam kalangan masyarakat tempatan wajar dihentikan demi masa depan rakyat dan negara ini.
Leave a Reply