Pelancongan memberi sumbangan yang besar dalam pendapatan negara. Sejak kita mulai pulih sikit demi sedikit pandemik covid 19, ekonomi negara kita sudah mula rancak dalam industri perlancongan. Industri pelancongan perlu ada kemajuan untuk memudahkan para pelancong yang datang ke negara kita, dimudahkan urusan dari segi infrastruktur, dan juga kemudahan awam.
Soalan. Berdasarkan gambar dibawah ini, huraikan pendapat anda tentang kesan-kesan kemajuan Industri pelancongan terhadap negara dan rakyat kita. Panjang karangan anda hendaklah diantara 200 hingga 250 patah perkataan.
RANGKA KARANGAN.
Pendahuluan: sektor pelancongan – menyumbangkan pendapatan kepada negara – jutaan pelancong asing mengunjungi tempat-tempat menarik – memberikan kesan yang positif
Isi 1: bertambahnya kemudahan infrastruktur di negara kita seperti pengangkutan awam, tandas awam, dan hentian rehat dan rawat
Isi 2: memajukan industri kraf tangan negara – kraf tangan sebagai buah tangan
Isi 3: menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan – banyak pusat pelancongan yang dibuka memerlukan pekerja
Isi 4: menambahkan pendapatan negara – pertukaran wang asing serta cukai yang dikenakan kepada pelancong
Penutup: kemajuan industri pelancongan memberikan impak positif – usaha perlu digembleng untuk melipatgandakan kemasukan pelancong asing
CONTOH KARANGAN.
Sektor pelancongan merupakan bidang yang penting untuk menyumbangkan pendapatan negara. Saban tahun, jutaan pelancong asing sama ada pelancong asing atau pelancong domestik mengunjungi tempat-tempat menarik di negara kita. Kemajuan sektor pelancongan ini memberikan kesan yang positif kepada rakyat dan negara.
Antara kesan positif kemajuan industri pelancongan ialah bertambahnya kemudahan infrastruktur di negara kita bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Kemudahan infrastruktur itu meliputi pengangkutan awam, tandas awam, dan hentian rehat dan rawat. Kita dapat melihat dengan mata kepala kita sendiri tentang tahap kualiti kemudahan tersebut sehingga memuaskan hati semua pihak. Sebagai contohnya, pembinaan projek transit aliran ringan (LRT) dapat menawarkan kemudahan pengangkutan kepada rakyat sekali gus kepada pelancong asing.
Di samping itu, kemajuan industri pelancongan juga turut memajukan industri kraf tangan negara kita. Banyak pelancong asing yang berkunjung ke negara kita membeli barangan kraf sebagai buah tangan kepada sanak saudara dan rakan taulan. Permintaan yang tinggi terhadap barangan kraf tangan ini akan meningkatkan pendapatan pengusaha kraf tangan di negara kita. Malahan, terdapat pengusaha yang membuka kilang secara besarbesaran bagi memenuhi permintaan pelancong asing yang semakin meningkat.
Di samping itu, kemajuan industri pelancongan juga akan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Sebagai contohnya, apabila sesebuah resort dibuka, biasanya ratusan pekerja diperlukan bagi mengisi kekosongan jawatan sebagai penyambut tetamu, pengemas bilik, tukang masak, pramusaji, dan sebagainya. Oleh itu, masalah pengangguran yang berlaku dalam kalangan rakyat tempatan dapat ditangani menerusi kemajuan sektor pelancongan.
Selain itu, kemajuan sektor pelancong juga akan menambahkan pendapatan negara. Pertambahan pendapatan negara menerusi pertukaran wang asing serta cukai yang dikenakan kepada mereka akan membolehkan kerajaan memberikan perkhidmatan dan sumbangan yang lebih kepada rakyat. Sebagai contohnya, kerajaan perlu menambahkan subsidi bagi barangan runcit yang kerap digunakan oleh rakyat. Dengan itu, harga barangan tersebut akan menjadi lebih murah dan tidak membebankan golongan berpendapatan rendah.
Kesimpulannya, kemajuan industri pelancongan memberikan impak yang tinggi terhadap rakyat dan negara. Oleh itu, segala usaha perlu digembleng untuk melipatgandakan kemasukan pelancong asing ke negara kita agar lebih banyak manfaat yang dapat diperoleh rakyat dan negara.
Discover more from Zikri Husaini
Subscribe to get the latest posts sent to your email.
Leave a Reply