Namun, bagi pengusaha sesebuah industri, pengambilan pekerja asing dalam organisasi mereka adalah penting bagi memenuhi keperluan tenaga kerja yang kurang diminati warga tempatan.

Alasan seperti orang kita tidak sanggup berpanas, penat berdiri terlalu lama dan melakukan kerja berat menyebabkan banyak jawatan bagi tugasan tersebut diisi oleh warga asing.

Itulah jawapan Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak (PDAM) Khairul Annuar Abdul Aziz yang mengulas isu keperluan pengambilan pekerja asing di Malaysia, khususnya di stesen minyak.

Beliau memberitahu, selain alasan sedemikian, masalah disiplin turut menyebabkan kebingungan dalam kalangan pengusaha stesen minyak untuk memastikan operasi berjalan lancar setiap hari.

“Sebagai pengusaha stesen minyak, saya sendiri mengalami masalah pekerja tempatan tidak berdisiplin seperti sering datang lambat, kerap mengambil cuti termasuklah cuti sakit (MC) walaupun penyakit tidak serius.

“Kemudian, kebanyakan orang kita tidak berminat untuk bekerja sebagai atendan pam minyak kerana perlu bekerja dalam keadaan panas, berdiri lama dan mengangkat barang berat.

“Justeru, orang kita lebih berminat untuk bekerja di bahagian dalam premis yang berhawa dingin dan selesa. Sedangkan, saya tidak akan menempatkan pekerja di sesuatu bahagian dalam masa yang lama bagi mengekalkan integriti mereka,” katanya ketika ditemubual.

Tambah beliau, pekerja warga asing akan mengambil sebarang peluang yang ada dalam sesuatu perusahaan, asalkan mereka dapat bekerja dan memperoleh pendapatan.

“Disebabkan tidak ada orang berminat untuk bekerja sebagai atendan pam minyak, saya perlu cari pekerja untuk memastikan operasi berjalan lancar.

“Jadi, saya terpaksa mengambil warga asing bekerja. Saya lihat mereka lebih rajin bekerja sehingga tidak mahu mengambil cuti,” ujarnya.

Turut menghadapi masalah berkaitan pekerja ialah seorang pengurus syarikat pembinaan di Banting, Eeo Thuan Chee, 30, yang memberitahu berhadapan dengan isu tersebut setiap kali mendapat projek baharu.

“Terus terang saya katakan, tidak ada orang tempatan hendak bekerja dalam keadaan panas dan angkat batu berat sehingga memaksa saya mengambil pekerja asing untuk melakukan kerja-kerja tersebut.

“Lebih-lebih lagi, bila kerja sebegini hanya bergantung kepada kontrak, ada kerja…, baru dapat gaji. Malah gaji yang dibayar pun hanyalah berdasarkan pada gaji harian sahaja.

“Walau mahal macam mana sekalipun gaji dibayar, tidak ada orang tempatan hendak jadi buruh. Jadi, saya terpaksa bergantung kepada pekerja asing kerana mereka sanggup melakukan kerja-kerja sedemikian untuk memperoleh pendapatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, mengambil pekerja asing bekerja melibatkan kos yang tinggi kerana majikan perlu menanggung kos permit dan menyediakan penginapan, namun semua itu terpaksa dilakukan.