Terengganu nyaris gigit jari , namun gol penalti pada masa kecederaan buat terengganu disempurnakan oleh Lee Tuck menghampakan penyokong selangor dan menenangkan penyokong terengganu. Ini bermakna ada 2 pasukan yang masih memegang rekod tanpa kalah buat setakat ini iaitu pasukan jdt dan selangor.
Keputusan penuh :
TERENGGANU 3-3 SELANGOR
- .39′ Ifedayo,
- 43’Rahmat Makasuf,
- 52’Khyril Muhymeen,
- 64’Sanjar Shaakmedov,
- 70’Brendan Gan,
- 90+4′ Lee Tuck (p)
Skuad Penyu terlebih dahulu menguji kubu The Red Giants pada minit pertama menerusi tandukan penyerang berbisanya, Dominique Da Sylva yang hanya sedikit tersasar.
Lapan minit berselang, skuad kendalian Nafuzi Zain sekali lagi mencemaskan benteng pelawat apabila rembatan Da Sylva dari sebelah kanan pintu gol hasil larian solonya berjaya dihalang penjaga gol, Khairulazhan Khalid.
Pelawat yang kerap diasak mula menunjukkan belangnya apabila tandukan pemain kelahiran Singapura, Safuwan Baharudin pada minit ke-14 hasil hantaran Sandro Da Silva nyaris memerangkap penjaga gol, Muhammad Ilham Amirullah Razali.
Pada minit ke-18, Da Sylva harus menyalahkan diri sendiri apabila peluang terbuka yang dimilikinya di dalam kotak penalti dipersiakan.
Ketika Selangor dilihat kerap diasak, penyerang berbisanya, Ifedayo Olusegun ‘mengunci mulut’ 17,200 peminat setia TFC apabila bijak menyambar bola menggunakan kepala yang sebelum itu ditanduk Safuwan hasil sepakan sudut Sandro untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-38.
Tersentak jaringan pendahuluan itu, tuan rumah memperkemaskan asakan dan hasilnya pada minit ke-42, pemain yang baharu dimasukkan lima minit sebelum itu, Rahmat Makasuf melepasi perangkap ofsaid sebelum berjaya menyamakan kedudukan 1-1 selepas menerima hantaran Faris Ramli.
Selangor yang mahu mengekalkan rekod tanpa kalah tidak menunggu lama apabila sekali lagi mendahului pada minit ke-51 menerusi tolakan mudah bekas penyerang kebangsaan, Khyril Muhymeen Zambri selepas menerima hantaran Sandro.
Bagi memperkemas lagi jentera serangan pasukannya, Sathianathan memasukkan penyerang prolifiknya, Rufino Segovia bagi menggantikan Khyril Muhymeen.
Skuad Penyu yang masih segar selepas membaham Kedah 4-3 Sabtu lalu tidak berputus asa sebaliknya terus mengatur gerakan untuk memburu gol penyamaan dan akhirnya berhasil melalui rembatan menarik Sanjar Shaakhmedov pada minit ke-63 selepas menerima bola daripada Da Slyva.
Bagaimanapun gol penyamaan itu hanya bertahan selama enam minit apabila pelawat sekali lagi mendahului 3-2 menerusi jaringan bekas pemain Perak, Brendan Gan pada minit ke-69 yang hanya menolak mudah bola berpunca kesilapan penjaga gol yang sebelum itu gagal menangkap kemas percubaan Ifedayo.
Kem TFC kian parah apabila pemain tengahnya, Azalinullah Mohd Alias diperintahkan keluar padang pada minit ke-79 selepas menerima kad kuning kedua kerana mengasari pemain lawan.
Skuad penyu tidak berputus asa!!
Namun kesempatan itu gagal dimanfaatkan sepenuhnya pelawat untuk menambah jaringan sebaliknya TFC berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Tuck pada masa kecederaan selepas Faris dijatuhkan sekali gus mengikat keputusan 3-3 hingga tamat perlawanan.
Highlights Liga Super Malaysia 2020 Terengganu FC vs Selangor FA
Leave a Reply