Tiada satu pun tercicir.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan komited dalam bajet kali ini tiada golongan yang tercicir dengan semua pihak akan mendapat faedah daripada pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat ini. Perdana Menteri kemudian menegaskan semua Keluarga Malaysia sama ada rakyat dan para peniaga terutamanya pihak yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 akan mendapat faedah menerusi belanjawan tersebut.
Dalam pada itu juga, beliau berkata program bantuan dan sokongan kepada rakyat dan perniagaan untuk memastikan momentum pemulihan akibat krisis pandemik terhadap kesihatan awam dan ekonomi negara tidak ketinggalan.
“Melalui Bajet 2022 ini, kerajaan akan berusaha untuk memastikan keterangkuman iaitu tiada pihak yang layak akan tercicir, sama ada golongan rakyat mahupun perniagaan dalam menerima bantuan dan sokongan kerajaan terutamanya pihak yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
“Semua akan dapat faedah dari bajet yang akan diumumkan nanti, ini bajet Keluarga Malaysia dan inputnya dari rakyat, untuk rakyat yang juga akan memberikan kelegaan dan kegembiraan kepada rakyat, ada ‘wow’ faktor padanya,” katanya dalam sesi wawancara bersama Perdana Menteri mengenai Bajet 2022 semalam.
Menurut Ismail Sabri lagi, kerajaan akan terus memberi keutamaan dalam membantu rakyat walaupun mempunyai kekangan kewangan dan kerajaan sebelum ini telah melaksanakan lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM530 bilion.
Beliau berkata, Bajet 2022 akan terus menyokong pemulihan negara melalui dasar fiskal yang mengembang dan dirangka berdasarkan tiga keperluan utama iaitu meneruskan program bantuan dan sokongan untuk memastikan pemulihan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap kesihatan awam dan struktur ekonomi selaras pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Kerajaan juga katanya, kekal komited dalam memastikan kesinambungan dasar dan bantuan untuk menyokong rakyat dan perniagaan, termasuklah bantuan tunai secara langsung kepada Keluarga Malaysia.
“Dalam bajet kali ini, kita masih beri bantuan secara langsung kepada rakyat. Dalam bajet yang lepas, banyak insentif secara tunai diberikan, perkara sama akan diteruskan. Walaupun pandemik sedang berakhir, banyak yang tiada apa-apa lagi dalam tabung simpanan.
“Begitu juga kepada peniaga-peniaga mikro yang terpaksa tutup perniagaan dan tiada modal nak buka semula, kita akan beri fokus bagaimana nak bantu mereka,” katanya sambil menegaskan kerajaan akan memastikan tiada golongan yang akan tertinggal terutamanya M40 yang mungkin sebelum ini merasakan mereka tidak diberi perhatian oleh kerajaan.
Mengulas lanjut mengenai Bajet 2022, Ismail Sabri berkata, ia dirangka dengan berhati-hati, selain mendapatkan maklum balas terus dari pihak-pihak berkepentingan menerusi program libat urus mencakupi semua.
“Pemain industri besar dan kecil, negeri-negeri dan ahli Parlimen kerajaan dan juga pembangkang, dengan kerjasama sektor swasta, badan bukan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan bukan kerajaan (GLIC) bagi menyampaikan manfaat secara langsung kepada rakyat, perniagaan dan ekonomi.
“Rakyat juga boleh mengemukakan cadangan mereka menerusi portal bajet Kementerian Kewangan, sebanyak 50,000 cadangan telah diterima menerusi Portal Belanjawan 2022 dan kerajaan akan cuba sebaik mungkin untuk memastikan input-input tersebut dipertimbangkan. Dalam erti kata lain, Budget 2022 is from the people, by the people, for the people.
“Secara keseluruhan, Bajet 2022 adalah bajet berimpak tinggi merangkumi bantuan kepada golongan B40 termasuk untuk pendidikan anak-anak B40, sokongan perniagaan untuk memastikan Perusahaan Mikro, Kecial dan Sederhana (PMKS) mendapat akses kepada pembiayaan bagi menggerakkan semua perniagaan mereka, menjana lebih banyak pekerjaan bagi menangani pengangguran dan pemacu pemulihan bagi mengembalikan negara kepada kedudukan ekonomi sebelum Covid-19 dengan norma baharu,” katanya.
Discover more from Zikri Husaini
Subscribe to get the latest posts sent to your email.
Leave a Reply