Tanpa sifat-sifat sanggup berhijrah, mustahil kejayaan akan tercapai dan kemajuan ummah tidak akan berhasil. Islam tidak menyuruh kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu yang bulat datang bergolek dan yang pipih datang melayang. Mengambil semangat tahun ba­haru ini, paling tidak setiap umat Islam mesti berazam dan melakukan hijrah dalam diri ma­sing-masing.

Memanglah tidak ada lagi hijrah selepas pembukaan kota Mekah. Ini dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabda baginda yang bermaksud: Tiada lagi hijrah selepas pembukaan Kota Mekah, tetapi (yang tinggal hanyalah) jihad dan niat. Oleh itu, jika kalian diminta keluar berjihad, maka keluarlah! (riwayat Bukhari).

Berdasarkan hadis di atas, jelas bahawasanya tiada lagi hijrah bagi umat Islam selepas pembukaan kota Mekah. Namun, Rasulullah SAW memperluaskan maksud dan konsep hijrah pada bahagian kedua dengan menyatakan, niat dan kesediaan berjihad untuk Islam juga dianggap satu cabang hijrah.

Untuk itu, mari kita pastikan diri kita tidak terlepas daripada melakukan hijrah. Marilah kita berazam dan berusaha meninggalkan segala perbuatan yang dilarang oleh Allah serta melazimi perkara yang disuruh oleh Islam. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Orang yang berhijrah itu adalah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang Allah. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dengan usia yang semakin meningkat, di kala rumah kata pergi dan kubur kata mari, elok kita perbanyakkan ibadat, kurangkan perkara lagha menerusi internet dan gajet. Jangan semberono mengundang dosa kering dengan memuat naik atau forward bahan-bahan atau cerita sebelum dipastikan kebenarannya.

Demikian juga lebih baik diam daripada berkata-kata yang tidak membawa manfaat atau ­mengungkapkan perkataan yang me­nyakiti orang lain. Rasulullah SAW pernah ditanya tentang siapakah sebaik-sebaik seorang Muslim itu, maka jawab baginda: (Mereka) yang memberikan rasa aman kepada saudara Muslim-nya daripada gangguan lisan dan tangannya. (riwayat Bukhari)

Sebenarnya di sebalik sebuah ucapan itu tersimpan sebuah tanggungjawab besar yang bakal dipersoalkan Allah di akhirat kelak. Oleh kerana itu, kita harus berwaspada dalam setiap tutur kata, ia boleh sahaja menjadi faktor yang boleh mengangkat darjat seseorang hamba di sisi Allah, ia juga boleh menyebabkan kecelakaan besar kepada pengungkapnya.

Di sebalik kita menyambut Maal Hijrah dengan mengadakan perarakan, majlis-majlis ilmu dan sebagainya, hendaklah kita memberi perhatian kepada pelaksanaan ibadat solat. Sebab itu, antara usaha yang perlu dilakukan pada peringkat mikro adalah me­netapkan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk solat berjemaah terutamanya waktu Subuh dan Isyak.

Diceritakan, kaum Yahudi pernah berkata, di dalam kitab kami (Kitab Taurat) ada tertulis jika di seluruh dunia jumlah orang Islam yang hadir untuk solat subuh berjemaah di masjid sama banyak dengan jumlah jemaah solat Jumaat, maka saat itu Israel akan hancur.

Bagi para suami dan bapa, berusahalah memastikan isteri dan anak-anak menunaikan solat fardu lima waktu. Sekali-sekala solat jemaah bersama mereka di rumah selain berjemaah di masjid. Ini barulah bertepatan dengan tanggungjawab menyelamatkan diri dan ahli keluarga daripada neraka. Ingatlah keluarga yang solat akan taat dan hidupnya selamat.

Dalam hidup berumahtangga, jihadnya adalah bagaimana mahu membina keluarga supaya ia men­jadi yang terbaik. Seterusnya merealisasikan slogan rumahku syurgaku. Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: Dan Allah menjadikan bagimu rumah-rumahmu sebagai tempat tinggal (mendapat ketenangan di dalamnya). (an-Nahl: 80)