Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sudah hampir memuktamadkan perincian bagi kemudahan akses ke Akaun 1 Ahli KWSP yang dikenali sebagai i-Sinar dan akan diumumkan pada 18 November 2020. i-Sinar diwujudkan hasil konsultasi yang mendalam bersama-sama dengan pihak-pihak berkepentingan agar ahli terkesan dapat mengharungi cabaran semasa dan pada masa sama memastikan kesejahteraan masa depan persaraan mereka.
KWSP yakin bahawa amaun yang boleh diakses daripada i-Sinar berserta amaun maksimum RM500 sebulan daripada Akaun 2 melalui kemudahan i-Lestari (dilancarkan pada April 2020), dapat membantu ahli terkesan menampung keperluan mereka dalam jangka masa pendek. i- Sinar merupakan lanjutan daripada pengeluaran i-Lestari yang kini dijangka mencecah amaun pengeluaran sebanyak RM30 bilion dan akan berakhir Mac 2021.