SEMAK SEBELUM SEBAR
Pendahuluan.
Mutakhir ini pelbagai berita serta maklumat yang diterima oleh masyarakat yang menyebabkan masyarakat kita mudah menyebarkannya serta mempercayai akan kesahihannya. Hal ini terjadi adalah kerana di Negara kita pembangunan teknologi dan maklumat begitu pesat membangun. Oleh kerana itu, pelbagai maklumat boleh didapati hanya dengan beberapa detik sahaja. Perkembangan teknologi yang kiat pesat membangun di Negara kita menyebabkan masyarakat tidak dapat membezakan antara maklumat yang benar atau palsu. Maka, oleh yang demikian, Islam sangat menitik beratkan konsep tabayyun iaitu semak atau tapis sesuatu maklumat yang diterima. Hal ini adalah bagi mengelakkan kita menyebarkan berita-berita palsu dan tidak benar. Penyebaran berita-berita palsu adalah merupakan suatu kesalahan disamping dapat menjatuhkan maruah seseorang jika ia berkaitan dengan seseorang individu. Oleh itu, artikel ini akan membahaskan tentang konsep tabayyun agar ia dapat dipraktikkan di dalam kehidupan masyarakat di Negara kita.
Definisi Tabayyun.
Tabayyun adalah berasala daripada perkataan yang bahasa Arab yang bermaksud menyemak asas sesuatu kebenaran. Berita atau sebarang maklumat yang diterima seharusnya diselidiki atau diteliti dan dipastikan terlebih dahulu kebenarannya bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti fitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebenciaan.
Dalil Pensyariatan.
Allah SWT memerintahkan kita supaya menyelidik serta mendapatkan kebenaran tentang sesuatu berita yang disampaikan seseorang. Hal ini adalah bagi mengelakkan daripada terjadinya perkara yang tidak diingini berlaku. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 6 :
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.
Menurut, Dr. Wahbah al-Zuhaili : Allah SWT menyeru kepada umatnya yang beriman, apabila datang orang fasik menyampaikan berita sebaiknya mencari kebenaran berkenaan dengan berita itu dan janganlah terlalu cepat menghukumnya serta menyebarnya. Ini kerana takut akan keburukan dan perkara yang tidak diingini berlaku di atas keputusan yang salah serta memberi kemudharatan ke atas orang lain. (Lihat Tafsir al-Munir, 26/227)
Kesan Tidak Tabayyun.
Tidak bertabayyun di dalam sesuatu isu itu boleh menyebabkan terjadinya prasangka yang buruk berlaku di kalangan masyarakat serta akan menyebabkan keadaan akan menjadi tegang serta kurang tenang. Islam menitikberatkan agar menjaga ikat persaudaraan sesama manusia terutamanya sesama Islam. Firman Allah SWT di dalam surah ali-Imran ayat 103 :
Maksudnya: Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.
Oleh yang demikian, penelitian serta semakan di dalam menerima sesuatu maklumat atau berita sewajarnya dititikberatkan bagi memastikan kebenarannya. Selain itu, nabi SAW juga telah memberi peringatan kepada kita agar menjauhi sikap suka menyebarkan berita palsu kerana ia akan mendapat kemurkaan Allah SWT. Sabda nabi SAW :
Maksudnya: Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya (tanpa tabayyun). (Hadis Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadith di atas jelaslah bahwa Islam melarang kita menyebarkan sesuatu berita atau maklumat tanpa menyemak terlebih dahulu.
Selan itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKM) melalui Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) menyatakan bahawa penyebar berita palsu akan didakwa di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika didapati bersalah, mereka boleh disaman tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.
Umum mengetahui ketika ini kita sedang menghadapi suatu pademik yang amat merbahaya iaitu Covid-19. Maka pada ketika ini juga banyak berita-berita palsu telah ditularkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyebabkan masyarakat yang menerima berita berkenaan akan menghantar kepada orang lain dan akan menimbulkan kerisauan serta kegusaran masyarakat tentang sesuatu berita palsu yang berkaitan Covid-19.
Oleh yang demikian, sentiasalah kita berhati-hati dengan maklumat yang diterima dan selidikilah ia terlebih dahulu sebelum mempercayai atau menghantarkannya kepada orang lain bagi mengelakkan penyebaran berita palsu serta akan mendatangkan kegusaran masyarakat yang menerimanya terutamanya tentang berita-berita yang penting.
Penutup.
Kesimpulannya, sebagai seorang Islam menjadi kewajipan bagi kita untuk mengikuti setiap ajaran serta larangan agama kerana ia akan membawa kebaikan bukan sahaja kepada kita namun ia juga akan membawa kebaikan kepada orang lain. Selain itu, secara fitrahnya semua agama sememangnya tidak menyukai akan penganutnya mempercayai serta menyebarkan berita-berita yang tidak benar. Hal ini kerana, bagi mengelakkan pergaduhan serta permusuhan oleh kerana berita palsu yang tersebar dengan berleluasa. Sama-samalah kita semak sebelum sebar.
Oleh : MOHD FIRDAUS BIN MOHD YUSOF
Leave a Reply