PADA permulaan tahun baru ini, setiap rakyat perlu berazam untuk menjadikan Malaysia lebih selamat, bukan sahaja daripada aktiviti pengganas dan jenayah, tetapi juga tragedi yang kita sendiri menjadi penyebabnya sama ada di jalan raya, kediaman, kawasan awam atau di tempat kerja.
Setiap hari yang mendatang, penting bagi semua rakyat Malaysia untuk mengambil ikhtibar bahawa sesuatu tamadun itu boleh musnah jika ia tidak ‘berdamai’ dengan alam sekitar.
Hakikat bahawa masih ada kejadian tanah dan jalan runtuh menunjukkan kegagalan kita untuk menjadikan budaya penyelenggaraan dan keselamatan sebagai sebahagian cara hidup.
Kita sebenarnya yang harus memikul tanggungjawab apabila berlakunya kejadian bangunan atau struktur runtuh, kemusnahan alam sekitar atau kemalangan dan kematian di tempat kerja. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahkan alam semula jadi atau peralatan kerja apabila kemalangan berlaku.
Kita perlu sedar bahawa sebarang tindakan yang mengakibatkan kemerosotan dan kemusnahan alam sekitar pasti akan membawa kesan buruk. Begitu juga jika kita tidak menguruskan aspek keselamatan dengan baik, kemalangan boleh berlaku di tempat kerja.
Kemalangan maut membabitkan pengangkutan awam dan kenderaan lain yang terus berlaku di jalan raya dan lebuh raya jelas menunjukkan keperluan untuk memperbaiki aspek kejuruteraan dan keselamatan jalan raya serta sikap pemandu.
Kerajaan membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk pembangunan tetapi apa yang amat dikesali ialah aspek penyelenggaraan kurang diberi perhatian.
Sikap sebegini perlu diperbetulkan dan usaha perlu dilakukan untuk menyemai budaya penyelenggaraan dan keselamatan dalam kalangan rakyat.
Mereka yang diberikan tanggungjawab untuk menyelenggara kemudahan pula perlu melaksanakannya sebaik mungkin.
Kerajaan juga perlu menyediakan lebih banyak peruntukan untuk kerja penyelenggaraan oleh jabatan, agensi dan pihak berkuasa tempatan melalui perkhidmatan kakitangan mereka yang berdedikasi.
Dalam soal politik pula, penting bagi Malaysia untuk terus wujud sebagai sebuah negara yang demokratik, bersatu padu dan harmoni walaupun terdapat ideologi dan pandangan politik yang berbeza.
Rakyat Malaysia daripada semua kaum juga ingin melihat kerajaan mengambil langkah berterusan untuk menangani kesan kemerosotan ekonomi global.
Kerajaan juga perlu mengekalkan perpaduan, keamanan dan keharmonian, keadilan sosial dan menegakkan hak semua rakyat Malaysia seperti yang dijamin di bawah Perlembagaan. Ia juga harus mencapai keseimbangan antara ekonomi dan pembangunan teknologi maklumat dengan pembangunan sosial, moral dan akhlak.
Pasa masa yang sama, kita perlu menjadi lebih agresif dalam memperjuangkan isu integrasi kaum, perpaduan dan pembinaan negara selain harus berusaha menangani masalah jenayah, penagihan dadah dan pelbagai gejala sosial yang dihadapi negara kita.
Rancangan untuk menubuhkan semula Institut Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERI) di bawah Pejabat Perdana Menteri dan meningkatkan Institut Pengajian Etnik di Universiti Kebangsaan Malaysia (KITA-UKM), tepat pada masanya kerana mereka akan turut menyumbang kepada peningkatan hubungan etnik dan mencari penyelesaian yang baik untuk menangani pelbagai isu sosioekonomi.
Kerajaan yang bertanggungjawab perlu sentiasa mengambil tahu dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat, terutamanya bebanan kos sara hidup.
Isu yang memberi kesan kepada rakyat, terutamanya kenaikan harga makanan, mesti ditangani.
Tetapi, ia tidak akan berjaya jika pihak berkuasa hanya memberi tumpuan terhadap peniaga. Proses ini sebenarnya membabitkan semua pihak dalam rantaian bekalan – dari pengeluar dan pembekal kepada pemborong dan peruncit.
Kerajaan juga harus memberi lebih banyak manfaat kesihatan dan kemudahan lain untuk warga emas kerana lebih ramai dijangka akan hidup bersendirian, apabila negara kita semakin hampir menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.
Pelbagai masalah sosial sedang melanda negara seperti jenayah juvana dan siber, perjudian haram, perbuatan ganas serta masalah dadah dan mental yang turut membabitkan remaja dan belia.
Jenayah dan dadah masih menjadi masalah utama dan kita perlu menanam keazaman sempena tahun baru ini untuk meningkatkan usaha berterusan memerangi jenayah, terutamanya yang berkaitan dengan dadah, melalui pembabitan seluruh masyarakat Malaysia.
BAGAIMANA MENGHADAPI KOS KENAIKAN SARA HIDUP?
Kos sara hidup merujuk kepada sejumlah kos yang perlu ditanggung oleh seseorang individu atau keluarga bagi memenuhi keperluan asas seperti tempat tinggal, pakaian, makanan dan minuman dan sebagainya demi kelangsungan dan keperluan hidup. Peningkatan kos sara hidup yang melanda rakyat Malaysia semestinya bukan perkara yang asing dalam kalangan masyarakat. Peningkatan kos sara hidup adalah disebabkan oleh kenaikan pelbagai harga barang terutama sekali barang-barang keperluan.
Seiring dengan perubahan zaman, kos sara hidup masa kini tidak lagi sama seperti 20 atau 30 tahun yang lepas. Ingat , kalau dulu Rm50 boleh penuh satu troli, sekarang nih memang tak lah kan. Bagi mereka yang tinggal di bandar, kos sara hidup semestinya lebih membebankan kerana secara umumnya, harga barang di bandar biasanya lebih tinggi berbanding di kawasan luar bandar. Tengok jenis barang.
Menurut kajian yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia pada tahun 2017, sekitar 59.7 peratus penduduk di ibu negara terbeban ekoran peningkatan sara hidup. Berdasarkan laporan yang disediakan oleh Profesor Madya Dr Mohamad Fazli Sabri, sebanyak 52.6 peratus warga kota terbeban dengan hutang yang menimbun. Hutang
Pastinya ramai yang mengeluh disebabkan peningkatan kos sara hidup pada masa kini. Namun, tidak ramai yang dapat menghadapi atau mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup. Sebenarnya ada beberapa cara yang boleh dilakukan bagi menghadapi situasi ini:
1. BELI BARANG SEWAKTU JUALAN MURAH ATAU JUALAN GUDANG
Membuat pembelian sewaktu jualan murah atau jualan gudang(penghabisan stok) sebenarnya mampu membantu anda untuk berjimat kerana ketika ini pastinya pihak penjual akan membuat promosi dengan harga diskaun yang sangat berpatutan berbanding harga asal. Selain itu, ada juga penjual yang membuat jualan penghabisan stok dan menurunkan harga barang kepada harga yang lebih murah.
Sebagai contoh pada hujung tahun, jualan gudang penghabisan stok pastinya boleh membantu anda menjimatkan perbelanjaan menyediakan keperluan sekolah anak-anak. Atau pada musim perayaan seperti hari Raya, pasti ada pasar raya yang membuat harga promosi dengan diskaun yang boleh membantu anda berjimat dalam membuat persediaan untuk Hari Raya.
2. BAWA BEKAL KE TEMPAT KERJA
Secara purata, setiap hari orang yang bekerja membelanjakan sekitar RM10-RM20 untuk makan tengah hari. Itu tidak termasuk perbelanjaan untuk sarapan pagi atau makan malam. Bagi menghadapi kesan kenaikan kos sara hidup, salah satu cara yang bagus adalah dengan membawa bekal ke tempat kerja. Anda boleh memberi barang keperluan asas di pasar seperti sayur-sayuran, daging, ayam atau ikan untuk seminggu dan mula memasak setiap hari dan bawa bekal ke tempat kerja.
Antara kebaikan lain selain dari dapat berjimat ialah, kualiti kebersihan makanan pastinya terjamin, anda boleh mengawal kuantiti makanan untuk tujuan kesihatan dan siapa tahu mungkin jika sebelum ini anda hanya tahu memasak juadah ringkas, dengan membawa bekal ke tempat kerja pastinya kemahiran memasak anda akan menjadi lebih baik!
3. BUAT PERBANDINGAN HARGA SEBELUM BERBELANJA
Sebelum berbelanja, buat perbandingan harga dahulu. Di zaman teknologi serba canggih ini, membuat perbandingan harga menjadi lebih mudah. Muat turun aplikasi Hargapedia di telefon pintar anda dan buat perbandingan harga barang dengan membandingkan harganya di beberapa pasar raya besar sebelum membeli. Dengan cara ini, anda dapat berjimat dan mengurangkan kos berbelanja barangan keperluan asas di rumah.
ARTIKEL BERKAITAN: 4 KAEDAH KREATIF UNTUK MEMUPUK TABIAT MENYIMPAN
4. GUNAKAN KAD KREDIT DENGAN BIJAK
Apabila bercakap tentang kad kredit, pasti ramai yang memikirkan tentang jumlah yang perlu dibayar balik selepas menggunakan kad tersebut. Namun begitu, penggunaan kad kredit sebenarnya mempunyai kebaikan dan keburukannya tersendiri. Ianya sebenarnya bergantung kepada cara masing-masing menggunakannya. Sebelum membuat permohonan kad kredit, anda boleh cuba membandingkan kadar caj dan manfaat kad kredit di internet. Cuba gunakan kad kredit yang menawarkan rebat tunai atau cashback. Ada yang memberi 5 peratus rebat tunai. Sebagai contoh, jika anda berbelanja sebanyak RM100 menggunakan kad kredit tersebut, anda akan mendapat RM5 rebat tunai pada penghujung bulan.
Sebelum membuat permohonan kad kredit, anda boleh cuba membandingkan kadar caj dan manfaat kad kredit di internet.
Selain itu, ada juga kad kredit yang menawarkan mata ganjaran apabila anda berbelanja. Apabila mata ganjaran yang dikumpul sudah mencukupi, anda boleh menebus mata ganjaran dengan mendapatkan pelbagai jenis hadiah yang ditawarkan oleh pengeluar kad. Namun, harus diingatkan, apabila sudah berbelanja menggunakan kad kredit, jangan lupa buat bayaran balik apabila penyata bulanan kad kredit anda tiba. Semakin lama anda menangguh pembayaran kad kredit, semakin tinggi kadar faedah yang akan dicaj. Pastinya anda tidak ingin perkara ini berlaku bukan?
5. MEMINIMUMKAN PENGGUNAAN KERETA
Sebenarnya ada 2 cara umum untuk mengurangkan penggunaan kereta; berkongsi kereta atau beralih kepada pengangkutan awam.
i. Berkongsi kereta
Berkongsi kereta sebenarnya boleh mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya, seterusnya mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menjimatkan masa, terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Kini, anda juga boleh menggunakan aplikasi seperti GrabShare, di mana anda boleh berkongsi menaiki satu kenderaan menuju ke destinasi yang sama. Dengan teknologi masa kini yang semakin mudah untuk melakukan apa sahaja, kenapa tidak lakukan sesuatu untuk kebaikan sendiri dan orang lain kan?
ii. Menaiki pengangkutan awam
Sekiranya anda bekerja di sekitar Lembah Klang dan tinggal berdekatan dengan pengangkutan awam seperti LRT, MRT, KTM, Monorel atau bas, gunakanlah kemudahan ini sebaik-baiknya. Gunakan pengangkutan awam apabila anda ke tempat kerja dan gunakan kereta apabila hujung minggu sahaja. Selain itu, kerajaan juga telah memperkenalkan pas bulanan bernilai RM100 pada Januari tahun 2019 kepada pengguna pengangkutan awam seperti LRT, MRT, Monorel dan pas bulanan bernilai RM50 kepada pengguna bas. Harga yang ditawarkan buat pengguna harian pengangkutan awam sebenarnya sangat berbaloi jika dibandingkan dengan kos untuk mengisi minyak, tol dan meletak kenderaan.
Beban kesan kenaikan kos sara hidup mungkin akan dapat dikurangkan sekiranya anda mengamalkan 5 tips yang diberi di atas. Berbelanjalah dengan bijak, dan dahulukan keperluan sebelum kemahuan.
Leave a Reply