Kebangkitan pasukan bola sepak kebangsaan dalam tempoh sembilan bulan menyaksikan Malaysia menutup musim 2019 di kedudukan terbaik untuk mencipta sejarah menempah slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 buat kali pertama dalam jangka masa 40 tahun.
Secara keseluruhannya pencapaian kita untuk tahun ini melepasi target. Cuma harap pencapaian ini kita terus mara ke hadapan mengejar pasukan terdekat kita Vietnam. Itu target kita untuk tahun depan harap dapat tewaskan pasukan naga emas. Bukan mudah, tetapi tiada yang mustahil dalam hal ini. Persediaan mereka memang cukup bersedia. Kita juga tidak boleh ketinggalan.
Jika berjaya, Malaysia turut melakar sejarah julung kali mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022 walaupun bersaing bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) di kedudukan ke-71 dunia, Vietnam (94), Thailand (113) dan Indonesia (173) dalam Kumpulan G saingan pusingan kedua kempen tersebut.
Skuad Harimau Malaya merekodkan sembilan kemenangan dalam keseluruhan 13 perlawanan sepanjang tahun ini, sejak muncul naib juara Piala AFF 2018 pada Disember tahun lalu. Empat daripada sembilan kemenangan dilakar ke atas pasukan di ranking lebih tinggi ketika aksi tersebut berlangsung – Afghanistan (147) pada Kejuaraan Piala Airmarine (Mac); Nepal (161) serta Tajikistan (116) pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 (Jun dan November), dan Thailand (109) dalam saingan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 14 Nov lepas.
Malah, dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, anak buah ketua jurulatih Tan Cheng Hoe hampir mengejutkan UAE yang ketika itu di ranking ke-65 dunia di Stadium Nasional Bukit Jalil, namun nasib lebih memihak kepada pasukan daripada Asia Barat itu dengan kemenangan tipis 2-1. Kalau ikutkan kita memang boleh menang atau seri sebenarnya. Cuma kita hilang fokus membawa padah , 2 gol kesilapan yang boleh kita elakkan sebenarnya.
Piala Dunia 2022 akan berlangsung di Qatar, manakala Piala Asia 2023 di China.
Bagaimanapun, tiga mata wajib diraih dalam menamatkan baki saingan kumpulan menentang UAE di Dubai dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil masing-masing pada 26 Mac dan 31 Mac tahun hadapan sebelum aksi terakhir berdepan Thailand di Bangkok pada Jun.
Malaysia kini berada dalam kedudukan selesa di tempat kedua Kumpulan G dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima daripada keseluruhan lapan aksi kumpulan.
Pencapaian itu satu rekod cemerlang dilakar Cheng Hoe, bekas pengendali pasukan Kedah berusia 51 tahun yang merupakan individu yang bertanggungjawab memberi nafas baru dalam corak permainan skuad negara.
Hanya UAE yang berada di kedudukan keempat dengan enam mata memiliki kelebihan satu perlawanan sementara pendahulu, Vietnam mengutip 11 mata diikuti Thailand di kedudukan ketiga (lapan mata) dan Indonesia di kedudukan tercorot selepas lima perlawanan.
Ironinya, Malaysia tidak pernah layak ke Piala Dunia, dan kali terakhir skuad negara beraksi di pentas Piala Asia adalah ketika menjadi tuan rumah bersama pada edisi 2007, namun jika diamati sudah hampir 30 tahun Malaysia gagal meraih slot automatik Piala Asia sejak edisi 1980 di Kuwait.
Kebangkitan Malaysia dibuktikan dengan peningkatan sebanyak 13 anak tangga dalam ranking dunia, daripada kedudukan ke-167 pada Februari melonjak ke posisi ke-154 pada Disember, sekali gus mengatasi dua negara jiran – Singapura (157) dan Indonesia di tangga ke-173.
Layak ke Piala Asia 2023 merupakan misi pasukan kebangsaan dalam Peta Hala Tuju Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang juga dikenali sebagai F:30.
Berdasarkan pencapaian membanggakan itu, skuad Harimau Malaya berada di landasan tepat untuk merealisasikan sasaran strategik F:30 itu.
F:30 turut menyasarkan pasukan Bawah 22 Tahun (B-22) negara untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, di samping mengesahkan tempat pada Piala Dunia Bawah B-20 2023 dan Piala Dunia B-17 2021, masing-masing buat skuad B-18 dan B-15 negara.
Turut masih kekal berjuang di landasan strategik F:30 adalah skuad B-18 kendalian Brad Maloney, juara Kumpulan G Kelayakan Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020, yang merupakan pentas kelayakan ke Piala Dunia B-20 di Indonesia pada 2021.
Skuad B-18 negara mencuri perhatian pada Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak ASEAN (AFF) 2019 selepas menundukkan pilihan utama, Australia 3-0 dalam saingan Kumpulan B, namun tewas 0-1 kepada lawan sama ketika bertembung di pentas final.
Tak tandus ‘ubi muda’
Namun, kemunculan pemain muda antaranya Luqman Hakim Shamsudin, Muhammad Umar Hakeem Suhar Redzuan, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi dan Harith Haiqal Adam Afkar bersama skuad B-18 memberi petanda negara tidak ketandusan ‘ubi muda’.
Tugas berat sudah pastinya menanti pengurus pasukan, Kamarul Ariffin Mohd Shahar untuk mempersiapkan pasukan terbaik bagi menghadapi Kejuaraan B-19 AFC di Uzbekistan pada Oktober tahun hadapan sekali gus layak ke Piala Dunia B-20 pada 2021.
Ketika arena bola sepak tanah air bakal menutup tirai musim 2019 dengan pencapaian membanggakan, suasana berbeza pula menimpa skuad B-22 negara kendalian Ong Kim Swee yang gagal ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas kandas untuk mara ke pusingan kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020 di Thailand, Januari depan.
Skuad bimbingannya turut tersingkir seawal aksi pusingan kumpulan di temasya Sukan SEA 2019 di Filipina, malah lebih parah mencatat detik hitam dalam diari bola sepak Malaysia selepas buat pertama kali dalam sejarah tewas kepada Kemboja dengan keputusan 1-3.
Sehari selepas itu, FAM mengesahkan kontrak Kim Swee yang tamat pada penghujung tahun ini tidak akan disambung.
Skuad B-15 negara yang dianggap tidak berdepan laluan sukar mara ke Piala Dunia B-17 2021 pula terkandas di pusingan Kelayakan Kejuaraan AFC B-16 sekali gus menyaksikan ketua jurulatih P. Maniam tidak berjaya membawa misi strategik F:30 FAM.
Dalam saingan domestik, Johor Darul Ta’zim (JDT) meluaskan kuasanya dengan muncul juara Liga Super 2019 sekali gus melakar sejarah bola sepak tanah air sebagai satu-satunya pasukan memenangi gelaran itu buat kali keenam berturut-turut pada Jun lepas.
JDT yang dibarisi sebahagian besar pemain skuad kebangsaan turut dinobatkan sebagai juara Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih selepas menewaskan Kedah 3-0 dan Perak 1-0 di pentas final.
Kedah, bagaimanapun menjulang trofi Piala FA 2019 pada Julai lepas dengan melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak sementara Sabah menamatkan penantian tujuh tahun untuk kembali ke saingan Liga Super 2020, selepas menjuarai Liga Premier 2019.
Pemain sayap JDT Muhammad Safawi Rasid menikmati kemuncak karier kelabnya apabila dinobatkan Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 sekali gus mempertahankan gelaran dimenanginya pada edisi lepas, dengan rekod pemain paling muda memenangi anugerah MVP.
Secara keseluruhan, 2019 merupakan tahun memberangsangkan buat bola sepak negara dan peminat tempatan pastinya teruja untuk melihat pemain Malaysia, baik senior mahupun remaja, memperagakan aksi lebih cemerlang di pentas antarabangsa dan domestik bagi musim 2020.
– Bernama
Discover more from Zikri Husaini
Subscribe to get the latest posts sent to your email.
Leave a Reply