
Kekalahan 0-2 kepada Jeonbuk Hyundai Motors menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) kehilangan rekod tanpa kalah dalam kempen AFC Champions League Elite (ACLE) 2026/27.
Selepas mengharungi empat perlawanan di Zon Timur, JDT kini mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan, satu keputusan seri dan satu kekalahan.
Keputusan tersebut menyaksikan Harimau Selatan berada di tangga ketujuh dalam carta liga Zon Timur dengan rekod enam jaringan dan tiga bolos, sekali gus mencatatkan perbezaan gol +3.
Lebih menarik, JDT kini berkongsi tujuh mata bersama beberapa pasukan lain, termasuk Kashiwa Reysol, Gamba Osaka, Shanghai Port, Kyoto dan Jeonbuk Hyundai.
Namun, kedudukan JDT masih berada di hadapan Jeonbuk yang menghuni tangga kelapan kerana kelebihan perbezaan gol.
Walau bagaimanapun, kedudukan semasa JDT masih boleh berubah memandangkan terdapat enam lagi perlawanan Matchday 4 yang belum berlangsung dan bakal mempengaruhi kedudukan pasukan lain dalam carta Zon Timur.
JDT kini perlu memberikan tumpuan kepada baki empat perlawanan peringkat liga yang masih menanti mereka bagi mengumpul mata tambahan dalam usaha mendapatkan tempat ke pusingan 16 terbaik ACLE musim ini.






Leave a Reply