Kelebihan dan hikmah menuntut ilmu

http://3.bp.blogspot.com/_2PcUpdJTURY/TERTjhcK9NI/AAAAAAAAAG0/qGFHErImCeM/s400/pen-and-book.jpg

Menuntut ilmu ini tidak mengira peringkat umur.

Wahai penuntut ilmu Allah, didalam kita menempuh imtihan ini, jangan kita lupa akan tuntutan sebenar yang digariskan oleh Islam bagi orang yang menuntut ilmu.

Seperti sahabat-sahabat ketahui sebelum ini. Disini aku ingin mengingatkan kembali bahawa hadaf utama kita menuntut ilmu di bumi Anbiya’ ini bukanlah semata-mata untuk menggenggam segulung ijazah bahkan kita dituntut oleh Islam agar mendalami ilmu agama yang sebanyak mungkin bagi mengislah masyarakat yang belum mengetahui hakikat Islam yang sebenarnya.

Beruntunglah bagi sesiapa yang menuntut dan mencari ilmu kerana diberi ganjaran yang pelbagai oleh Allah SWT sepertimana sabda Nabi SAW :

Daripada Abu Darda’ RA, beliau berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : Barangsiapa melalui satu jalan untuk mencari ilmu nescaya Allah mempermudahkan baginya satu jalan ke syurga.

Sesungguhnya malaikat-malaikat melabuhkan sayap-sayapnya kepada penuntut ilmu yang redha dengan apa yang mereka lakukan. Sesungguhnya apa yang ada di langit dan apa yang ada dibumi sehinggakan ikan di air beristighfar kepada orang alim. Kelebihan orang alim berbanding orang abid adalah seperti kelebihan bulan berbanding seluruh bintang. Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris anbiya’ dan para nabi tidak mewariskan dinar dan tidak pula dirham akan tetapi mereka mewariskan ilmu. Sesiapa mengambilnya sesungguhnya dia mengambil keuntungan yang banyak. (Hadis Riwayat Tarmizi, Abu Daud dan Ibn Majah)

Allah angkat darjat orang yang berilmu.

Selain itu juga kita, Allah mengurniakan darjat kepada orang yang menuntut ilmu seperti mana firman Allah SWT : “Allah mengangkat orang-orang yang beriman diantara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat”. (Surah Al-Mujadalah : 11).

Ini menunjukan kelebihan-kelebihan dan galakan-galakan oleh Islam kepada umatnya agar agama Islam dapat tersebar melalui ilmu pengetahuan yang disampaikan oelh Allah SWT kepada nabi-nabiNya.

Oleh itu, disamping kita membaca kitab-kitab kuliah untuk berhadapan dengan imtihan duniawi ini. Marilah kita sama-sama fikirkan sejenak mengenai kelebihan-kelebihan yang dimiliki kita semua. Dan perlu diingatkan juga bahawa ilmu yang dipelajari bukan semata-mata untuk membawa pulang segulung ijazah atau menjadikan ilmu satu nilai taruhan bagi kita untuk mendapat jawatan yang tinggi dan pekerjaan yang besar. Ingatlah wahai sahabat-sahabat sesungguhnya yang takut kepada Allah dikalangan hamba-hambaNya hanyalah ulama.

Kelebihan menuntut ilmu.

Tujuh golongan manusia dilindungi Allah pada hari yang tidak ada perlindungan selain daripada perlindungan-Nya. Mereka ialah:

  1. pemerintah yang adil
  2. pemuda yang hidup dalam ketaatan kepada Allah
  3. lelaki yang sentiasa ingat kepada masjid untuk beribadah kepada Allah
  4. dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah, mereka berkumpul dan berpisah kerana cinta kepada Allah
  5. lelaki yang menolak godaan seorang perempuan cantik dan berkedudukan tinggi dengan berkata: Aku takut kepada Allah
  6. lelaki yang bersedekah dengan ikhlas dan tidak menghebahkan sedekahnya itu, hinggakan tangan kirinya tidak tahu apa yang telah disedekahkan oleh tangan kanannya
  7. lelaki yang sentiasa menyebut nama Allah (berzikir) secara bersunyi-sunyian lalu mengalirlah air matanya.”

(Bukhari, Muslim, Ibnu Majah dll)

Kewajipan menuntut ilmu sebagai agenda penting umat Islam dijelaskan oleh Rasulullah dalam sabdanya yang bermaksud:

“Mencari ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim dan Muslimah.”

Bertitik-tolak daripada inilah, kita berkewajipan untuk terus memelihara akal kita dengan ilmu dan pengetahuan. Sebagai hamba Allah, kita tidak seharusnya berhenti melakukannya selagi masih bernafas dan menyedut udara segar kurniaan Allah.

Dalam memperkatakan soal ilmu, tidak dapat dinafikan bahawa orang berilmu mampu menguasai sesuatu malah manusia lain yang kurang ilmunya atau tidak berilmu. Orang berilmu dalam sesuatu bidang, tidak akan bersusah payah untuk menyelesaikan setiap masalah yang dihadapinya berbanding orang lain yang tidak berilmu.

Sebelum sesuatu langkah diambil, seseorang akan berfikir semasak-masaknya sebelum meneruskan tindakannya. Berbeza dengan orang yang tidak berilmu akan mudah terburu-buru untuk bertindak tanpa menggunakan akal fikirannya. Implikasinya, segala tindakannya itu kemungkinan akan mengundang masalah yang lebih besar.

Allah mewajibkan setiap Muslim supaya terus menuntut ilmu. Sebagai ganjarannya (bonusnya), Allah memberikan kedudukan yang tinggi kepada mereka ini. Ia dapat dilihat di kalangan masyarakat hari ini. Mereka yang mempunyai ilmu dan kepakaran dalam sesuatu bidang akan dihormati dan diberikan kemuliaan di dalam komuniti masyarakat ini. Kadangkala, mereka juga turut diberi kepercayaan untuk menjadi jurucakap malah pemimpin dalam sesuatu perkara. namun, situasi hari ini sedikit sebanyak ada berubah sedikit.

Bagi orang yang beriman, semakin tinggi ilmu diperolehi akan membuatkannya lebih tawaduk atau merendah diri. Ia menunjukkan bahawa seseorang yang berilmu akan semakin taat kepada Tuhannya. Inilah darjat yang dimiliki oleh ilmuwan Islam atau lebih tepat lagi disebut ulama.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang yang takut (taat) kepada Allah di kalangan hamba-Nya ialah ulama (orang yang berilmu).” (Surah al-Fathir: 28)

Daripada maksud ayat itu, dapat kita fahami bahawa ketaatan manusia kepada sesuatu perkara adalah berasaskan kepada kefahaman dan penghayatannya kepada perkara tersebut. Dan ketaatan serta penghayatan tersebut tidak dapat diperolehi melainkan dia berilmu.

Tidak dapat dinafikan, kedudukan orang berilmu dengan orang jahil sememangnya berbeza terutama dari segi pemikiran dan cara tindakannya. Maka benarlah seperti firman Allah di atas yang menjelaskan bahawa orang yang tahu memanfaatkan akalnya mampu untuk menerima segala bentuk pengajaran dan nasihat.

Sesungguhnya, orang yang berilmu bukan saja dihormati dan dikasihi oleh manusia tetapi juga oleh malaikat bahkan oleh seluruh makhluk di dunia ini. Ia dibuktikan oleh nas dan dalil al-Quran dan Hadis yang begitu banyak memperkatakan kelebihan orang yang berilmu.

Secara umumnya, perlu kita sedari bahawa ilmu yang dimaksudkan bukanlah terhad kepada ilmu yang berkaitan akhirat atau biasa disebut sebagai ilmu agama. Secara sedar atau tidak, semua ilmu yang terdapat hari ini sama ada merangkumi ilmu dunia atau akhirat, kedua-duanya adalah sunnah kepada manusia untuk mempelajari dan menguasainya.

Sumber junjungansetia, faizaltahirproboards.com

Kategori/Sitemap

Bidadvertiser

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge