Seruan Hamka: Apakah Visimu Wahai Pendidik?
Oleh : Nadia Rawi
Apabila membaca buku Pesan Hamka kepada Pendidik, tersentap diri ini. Tertanya diri sendiri. Apakah visiku sebagai seorang pendidik kepada anak bangsa? Ikhlaskah diri dalam mendidik anak bangsa?
Pendidik yang tidak mempunyai visi untuk dirinya umpama menanam pokok tanpa baja. Bagaimana hasilnya nanti? Ini menunjukkan bahawa diri pendidik itu tidak ada matlamat dalam mendidik anak bangsa. Persoalannya, mahukah kita sebagai pendidik digelar seperti guru kencing berdiri, murid kencing berlari? Segala perlakuan yang dilakukan oleh guru akan menjadi ikutan kepada anak muridnya. Jika buruk contoh teladan yang dipamerkan oleh guru, maka buruklah ikutan yang ditunjukkan oleh anak murid. Hal ini demikian kerana anak-anak didik kita pasti akan meniru kita. Jangan marah mereka!
Buat pendidik di luar sana, apakah visi kita dalam mendidik anak bangsa pada hari ini? Tepuk dada dan tanyalah diri sendiri, siapakah diriku di akhirat kelak? Bersama siapakah aku inginkan ketika di syurga? Sudah pasti kita ingin bersama Nabi Muhammad SAW di syurga nanti. Sudah pasti kita ingin bersama-sama insan yang disayangi ketika di sana nanti. Ini kerana di sanalah semuanya indah kerana dunia adalah jambatan ke akhirat.
Buat pendidik, berimpian tinggilah untuk dirimu sehingga ke syurga. Siapakah muridmu pada masa hadapan? Apakah perkataan dan doamu buat anak didikmu pada hari ini? Berdoalah kepada anak-anak muridmu agar jiwa dan hati mereka tenang dalam memahami pengajaranmu nanti. Berdoalah agar mereka menjadi anak-anak yang baik untuk ibu bapa mereka di dunia dan akhirat.
Tuntasnya, jadikanlah jiwa pendidikmu itu sebagai satu asbab untuk mengumpul amalan dalam meraih syurga-Nya. Apabila kita ada visi yang jelas kenapa aku jadi pendidik? Jom refleksi diri!
Kiriman dari Nadia Rawi.
Leave a Reply