Amaran keras!, entry ini terlalu panjang untuk dibaca.
MEREKA yang terus tidak mahu ambil tahu dan selamba sahaja memetik Wikipedia sebagai bahan rujukan dalam artikel atau tesis, akan mendapati tulisan mereka turun markah atau dalam konteks penulis, artikel mereka akan susut nilai wibawa.
Namun, ramai juga yang `memilih untuk mengikut arus’ dan menolak hakikat sinikal yang dikaitkan dengan Wikipedia ini. Bagi golongan ini, perkembangan Wikipedia adalah menyerupai ledakan Internet yang turut menyaksikan generasi sekarang intim dengan Facebook atau Twitter. Jika kita mengenepikan Wikipedia, maka wujud kekurangan, kata mereka. Ini betul, bagi pendapat zik sendiri.
Maka tidaklah mengejutkan sangat bila ada teman dalam bidang perhubungan awam menyatakan bahawa antara skop tugas mereka sekarang ialah mengemaskini fakta-fakta mengenai syarikat dan ketua pegawai eksekutifnya yang dimuatkan dalam Wikipedia. Maknanya, mereka sendiri mencipta halaman mengenai mereka sendiri di situ. Atas faktor komersial, tidak mengapa. Malah sangat bagus sebenarnya.
Jadi, kadang-kala kita akan mungkin perasan bila mencari sesuatu dalam enjin carian (search engine, pak cik google), antara paparan teratas yang muncul ialah dari laman wikipedia.com yang sering kita dapat. Betul tak??
Malah disebabkan ada tugasan khusus bagi memantau dan mengemaskini maklumat, ia secara tidak langsung menjadi laman web percuma kepada entiti terbabit dan ramai pula yang mengaksesnya. Tetapi lain pula kalau kita kaitkan dengan Facebook dan Twitter yang mana ia berkaitan rangkaian sosial. Wikipedia pula secara langsung berkenaan isu-isu ilmiah, fakta-fakta dan bukan gosip. Oleh kerana sifatnya, sesiapa sahaja boleh menulis dan mengolah kenyataan di dalamnya, menjadikan Wikipedia sangat berguna, jika dibuat cara betul dan sangat berbahaya, jika sebaliknya.
Bahayanya ialah seseorang boleh mencipta halaman berkenaan anda, menggunakan nama sebenar anda dan gambar (mungkin diambil dari Facebook?) dan menulis bahawa anda pernah `menjalani rawatan sakit jiwa dan didakwa atas tuduhan mencuri’’. Ini semua boleh berlaku kerana tiada siapa atau diri anda sendiri tahu pun ia disiarkan atau mengesahkan fakta seumpamanya. Ia mungkin boleh dipadamkan kemudian, tetapi kerosakan sudah berlaku.
Risiko ini mendorong sebuah universiti di Vermont, Amerika Syarikat iaitu Middlebury College pada 2007 mengeluarkan larangan kepada pelajarnya daripada menjadikan Wikipedia sebagai sumber rujukan bagi tugasan akademik mereka. Dekan Jabatan Sejarahnya, Don Wyatt berkata, “sebagai pendidik kami dalam bidang mengurangkan pengedaran maklumat salah. “Walaupun Wikipedia mungkin mempunyai nilai-nilai tertentu, terutama membantu pelajar mencari sumber-sumber sahih, ia secara sendirinya bukan sumber yang wajar untuk dipetik,’’ katanya.
Keputusan itu diambil oleh jabatan tersebut setelah para profesor mengesan pelajar-pelajar memetik maklumat salah dari Wikipedia dalam tugasan akademik dan jawapan ujian mereka.
Menurutnya lagi, larangan pihaknya terhadap Wikipedia bukan kepada sifat dalam taliannya tetapi sifatnya sebagai pernyataan yang tidak diedit dan disemak dengan wibawa. Para pelajar katanya, harus dididik supaya mencari maklumat berkualiti, bukan hendak cari jalan mudah semata-mata dengan membuka Wikipedia.
Bila direnungi kenyataan di atas, anda yang budiman tentunya bersetuju bahawa kaedah mencari bahan untuk tesis atau tugasan akademik menjadi lebih afdal dan jitu bila pelajar menjejak kaki ke perpustakaan dan benar-benar membaca sebuah buku bagi memahami sesuatu teori. Sekarang, komputer memudahkan semuanya. Hinggalah kepada petikan-petikan ayat sarjana. Masalahnya, pelajar akan hanya ingat sebaris dua ayat berkenaan tanpa mendalami huraian yang lazimnya terdapat dalam sesebuah buku atau jurnal.
Wikipedia sebenarnya lahir ekoran kegagalan Nupedia yang dicipta usahawan Internet, Jimmy Wales dan ahli falsafah, Lawrence Sanger pada 2000 untuk mewujudkan ensaiklopedia dalam talian secara percuma. Nupedia dibangunkan sebagai ensaiklopedia yang ditulis oleh pakar dan boleh dikaji sesama pakar dalam bidang-bidang tertentu. Namun, ia menghadapi masalah besar. Ia berkaitan `kepantasan’. Dalam tempoh enam bulan pertamanya, hanya dua artikel berjaya melepasi proses penilaian.
Melihatkan isu ini, Sanger menyarankan supaya diwujudkan sebuah lagi platform menyerupai Nupedia di mana sesiapa sahaja boleh menyumbang tanpa perlu semakan editorial. Maka, Wikipedia.com lahir pada 15 Januari 2001 dan model ini segera menenggelamkan Nupedia. Pada penghujung tahun pertamanya, Wikipedia mempunyai lebih 20,000 kandungan dalam 18 bahasa. Sejak itu, laman web tersebut mencatat pertumbuhan pesat iaitu 250,000 pada 2004 dan sejuta kemudiannya pada 2006.
Menurut Dan Fletcher yang menulis mengenai Wikipedia dalam majalah TIME, Wikipedia berdepan dengan beberapa isu seperti `vandalisme dan tiadanya formula tetap untuk menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dimasukkan’ ke dalam ensaiklopedianya.
Kemudian muncul satu komuniti iaitu `editor’ yang menapis dan mengkaji sesuatu pernyataan bagi memastikan kandungan seiring dengan peraturan Wikipedia. Wikipedia memperkenalkan perisian untuk membolehkan sesuatu pengubahsuaian dilakukan pada setiap halaman dan sistem penjejak ini digunakan untuk mengesan mereka yang melakukan kesalahan Wikipedia berprofil tinggi.
Pada Mei 2009, Wikipedia mengharamkan alamat IP yang dimiliki oleh Gereja Saintologi (ingat Tom Cruise?), atas dakwaan ahli-ahlinya membuat suntingan tanpa mengikut prinsip `pandangan neutral’ iaitu peraturan paling asas ensaiklopedia itu.
Pada 2005, sebuah kajian oleh pertubuhan Nature mendapati bahawa maklumat mengenai bidang sains yang dimasukkan ke dalam Wikipedia hampir menyamai ketepatan Encyclopaedia Britannica iaitu 2.92 kesalahan setiap artikel bagi Britannica dan 3.86 bagi Wikipedia. Namun, secara umumnya, Wikipedia masih dipandang sinis. Pengkritik mengatakan tulisannya cetek dan cenderung kepada berat sebelah dan penulisnya menumpu pada projek peribadi semata-mata.
Berbeza dengan Facebook yang semakin dikritik ekoran kecenderungan komersialnya yang membahayakan ahli-ahlinya, Wikipedia kekal bebas. Pengasasnya iaitu Wales bertegas supaya Wikipedia kekal dibiayai menerusi sumbangan peribadi dan bebas daripada iklan.
Sedangkan kos pengendaliannya hampir AS$6 juta (RM20.4 juta) setahun dan mencatat lebih 100 bilion orang yang membacanya, bermakna dengan satu baris iklan sahaja akan mengundang keuntungan berjuta-juta dolar kepada Wikipedia.
Sejak sedekad penumbuhannya, Wikipedia kini boleh dilayari dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Malaysia. Pada 22 Februari lalu, versi Bahasa Inggeris adalah terbesar dengan lebih 3.2 juta artikel, diikuti bahasa Jerman. Keseluruhannya terdapat lebih 13 juta artikel dalam 271 bahasa dunia. Malah bahasa Cheyenne yang ditutur oleh hanya 1,700 orang puak Red Indian itu mempunyai versi mereka sendiri dengan 62 artikel. Untuk angka terkini mengenai bilangan artikel di atas, saya mengaku merujuk kepada Wikipedia!.
Sumber rujukan merupakan tempat datangnya sesuatu pengetahuan. Terdapat pelbagai jenis sumber rujukan, tetapi bukan semuanya boleh dianggap sebagai sumber rujukan yang sah; yakni sah untuk diyakini. Pada umumnya sumber rujukan yang sah adalah seperti berikut:
- Buku yang diterbitkan oleh penerbit yang ternama.
Buku-buku bawah tanah (under ground) tidak berdaftar, adalah tidak termasuk ke dalam senarai ini. - Surat Khabar yang menikmati reputasi yang tinggi.
Majalah gosip seharusnya tidak dijadikan sumber rujukan. - Ensiklopedia Utama
Contohnya adalah seperti ensiklopedia Britanica. - Journal
Journal adalah sejenis majalah yang memuatkan hasil kajian akademik. Dalam menggunakan maklumat dalam journal, anda seharusnya membuat pertimbangan terlebih dahulu, kerana bukan semua hasil kajian adalah menepati kebenaran. - Laman Web Rasmi
Sekirannya anda sedang menulis tentang sesuatu institusi, maka rujuk laman web rasmi mereka terlebih dahulu.
Pendapat peribadi:
Pada pendapat zik, wikipedia merupakan sebenarnya boleh dibuat rujukan dalam membuat assignment kalau zik jadi lecturer lah), tetapi sekarang semakin tidak relevant disebabkan orang-orang tertentu yang sesuka hati menukarkan dari maklumat kepada fitnah dan juga menukar sesuatu sejarah, tanpa usul periksa.
Wikipedia sebenarnya masih lagi relevant untuk dijadikan sumber cuma kadang-kadang perlu berhati-hati. ada yang tidak masuk akal. Contohnya korang tengok sendiri dan bandingkan dengan sumber-sumber yang ada (yang boleh dipercayai).
Sumber dan diolah.
http://xtive.utusan.com.my/index.php/antarabangsa/140-wikipedia-bukan-sumber-rujukan-yang-sahih
Mohamed Yosri says
Apa yang penting sebenarnya adalah ketepatan fakta. Jika pelajar memetik Wikipedia dan maklumat adalah salah, markah dipotong kerana kesilapan fakta, bukannya kerana memetik Wikipedia. Ini akan membentuk pelajar yang mampu berfikir dan menapis sumber maklumat yang di baca.
Zik says
susah juga kita nak buat rujukan sekarang ni. sekarang sudah zaman internet maju. Tidak seperti dulu, kita terpaksa memang bergantung kepada buku semata-mata selain kena tanya pensyarah tanya pendapat, selain itu sumber rujukan yang ada sekarang ini boleh di oleh sewenang-wenangnya.
Saya hargai komen dari anda. terima kasih..