PENGALAMAN SEBAGAI SUKARELAWAN.
Minat untuk melibatkan diri di dalam kerja-kerja sukarela khususnya terhadap alam sekitar dan hidupan liar telah lama berputik semenjak di bangku sekolah menengah lagi. Minat yang mendalam tersebut terbit daripada niat untuk membantu memulih dan memelihara kondisi alam sekitar yang semakin tenat. Disamping itu, niat untuk membantu menangani kepupusan sesetengah spesis hidupan liar dan membela nasib haiwan-haiwan yang terkesan akibat daripada kemusnahan habitat mereka juga telah menjadi pendorong utama kepada saya menjadi seorang sukarelawan. Namun, minat tersebut terpaksa dipendamkan dahulu untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pelajar dan kemudian melangkah pula ke alam pekerjaan serta seterusnya melaksanakan kewajipan sebagai seorang ibu untuk membimbing anak-anak. Walaupun demikian, cita-cita untuk bergelar sukarelawan tidak pernah padam lebih-lebih lagi apabila sering terbaca cerita mengenai sukarelawan-sukarelawan di dalam majalah dan akhbar.
Peluang terbuka luas untuk bergiat aktif di dalam kerja-kerja sukarela adalah apabila saya berhenti kerja pada tahun 2008 dan menjadi seorang suri rumah sepenuh masa. Pada bulan November, 2008 saya telah secara rasminya menjadi seorang sukarelawan, pada umur 42 tahun apabila mendaftarkan diri untuk membantu Worldwide Wildlife Fund dalam penganjuran program ‘Tiger Day’ yang diadakan di Zoo Negara. Pada program yang berlangsung seharian tersebut, saya telah ditugaskan untuk menjaga gerai permainan kanak-kanak. Walaupun peranan saya kecil, namun sebenarnya ia adalah tugasan yang besar kerana perlu menanam minat kanak-kanak untuk mencintai haiwan. Seterusnya, pada tahun yang sama juga, saya berdaftar dengan Zoo Negara sebagai sukarelawan. Bermula dengan kerja-kerja di Seksyen Burung sehinggalah ditugaskan ke semua seksyen yang terdapat di dalam Zoo Negara.
Pada bulan Mac tahun berikutnya, buat pertama kalinya saya melakukan kerja-kerja sukarela di luar Kuala Lumpurbersama Malaysian Nature Society (MNS). Program yang dinamakan ‘Raptors Watch’ ini telah berlangsung selama dua hari di Tanjung Tuan, Port Dickson. Penglibatan saya bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan dalam tahun-tahun berikutnya sebagai sukarelawan semakin meluas. Di antaranya ialah Reach Out Malaysia, Global Environment Centre (GEC), Trash Hero Langkawi, Kota Damansara Community Forest (KDCF), Eco Warrior, Society for the Prevention of Cruelty to Animals (SPCA Selangor), Malaysian Conservation Alliances of Tigers (MyCAT), Zoo Melaka, Pusat Konservasi Dan Penerangan Penyu, Padang Kamunting, Melaka, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan yang terkini adalah Greenpeace Malaysia.
Sehingga kini, setelah hampir dua belas tahun, saya tidak pernah merasa jemu dan tetap bersemangat melakukan kerja-kerja sukarela. Bukan itu sahaja, malahan sekarang ini saya juga aktif menyampaikan ceramah-ceramah berkaitan alam sekitar terutamanya kaedah melupuskan sisa minyak masak dari rumah kepada orang ramai dan komuniti-komuniti seluruh Semenanjung Malaysia. Dengan bertemakan sisa minyak masak, saya telah menghasilkan artikel dan memuat naik ke dalam laman sesawang Indonesia Organic, Asian Farmers Association serta Wild Asia. Di samping itu, saya merupakan perancang serta mengetuai kumpulan sukarelawan lain dalam melaksanakan program-program alam sekitar sama ada secara persendirian mahupun berkolaborasi bersama lain-lain pertubuhan dan organisasi.
Banyak perubahan positif atau kebaikan yang berlaku ke atas diri saya semasa menjadi sukarelawan. Setelah melibatkan diri di dalam kerja-kerja sukarelawan, keyakinan diri dan keberanian untuk bercakap di hadapan khalayak ramai semakin terserlah berbanding dahulu di mana saya lebih suka berdiam diri. Jumlah kenalan saya semakin hari semakin bertambah dan meluas. Kini kenalan saya terdiri daripada, antaranya, ahli-ahli politik, pegawai-pegawai jabatan kerajaan dan swasta, pejuang-pejuang alam sekitar, orang yang memperjuangkan perihal kemanusiaan, ahli-ahli akademik serta rakan-rakan pelbagai latar belakang profesyen. Setiap kali saya melakukan tugas-tugas sukarelawan bersama pertubuhan-pertubuhan berlainan, pengetahuan saya bertambah kerana mendapat tunjuk ajar daripada mereka yang arif lagi berpengalaman. Sebagai contoh, sebelum memulakan tugas di setiap seksyen di dalam Zoo Negara, penyelia bertanggungjawab akan memberikan taklimat terlebih dahulu bagaimana hendak mengendalikan haiwan-haiwan di situ. Saya juga diajar mengenai penyediaan makanan haiwan, larangan ketika berada bersama haiwan, sifat dan perbezaan di antara haiwan yang tergolong di dalam satu keluarga haiwan, contohnya keluarga monyet dan mawas.
Menjadi seorang sukarelawan membuatkan saya berpengetahuan di dalam merancang dan merangka sesuatu program keseluruhannya sama ada berbentuk alam sekitar mahu pun kemanusiaan, daripada menyediakan keperluan logistik, membentuk pasukan sukarelawan sehinggalah kepada komunikasi dengan pihak-pihak yang terlibat. Pengalaman berceramah, saya jadikan sebagai panduan untuk menambahbaik untuk sesi ceramah seterusnya. Hasilnya, cara dan gaya penyampaian saya berbeza-beza setiap kali menyampaikan ceramah.
Saya tidak menerima sebarang elaun untuk tugasan sukarelawan yang dilakukan. Namun, saya berpuas hati dapat bersama-sama membantu pihak-pihak berkenaan memulihara dan memelihara alam sekitar serta menolong golongan-golongan yang memerlukan. Saya berharap akan ada lebih ramai golongan-golongan muda yang melibatkan diri di dalam kerja-kerja kesukarelawanan secara bersungguh-sungguh. Saya percaya, dengan menjadi sukarelawan akan diberi ganjaran kebaikan sama ada di dunia mahupun di akhirat.
Muhaidatul Ismah Binti Ismail
4hb April, 2020
Discover more from Zikri Husaini
Subscribe to get the latest posts sent to your email.
Leave a Reply