Adakah kita sama ada sedar atau pun tidak, banyak perbuatan yang dilakukan oleh manusia telah mengakibatkan kerosakan kepada alam sekitar. Perbuatan tersebut telah menjadi amalan kebiasaan yang seandainya tidak diubah, dikhuatiri nanti tiada kebaikan akan dapat diwariskan kepada generasi muda kelak. Sebenarnya itu yang membimbangkan kita sebagai generasi sekarang ini,
Kepelbagaian kaedah pembuangan sisa minyak masak dari rumah
- Pembuangan sisa minyak masak dari sinki dapur
Sisa minyak masak yang dibuang ke dalam sinki dapur akan melekat pada dinding saluran paip air dan tangki-tangki kumbahan di kawasan perumahan. Lama kelamaan lapisan sisa minyak masak tersebut menjadi tebal dan mengeras menyebabkan saluran paip air serta tangki-tangki kumbahan menjadi tersumbat. Ibarat lemak yang dimakan menebal di dalam saluran darah.
Pada kebiasaannya, kaedah yang paling mudah untuk merungkai masalah saluran tersumbat adalah dengan menggunakan cecair kimia yang bertindak balas dengan melembut dan memecahkan lapisan sisa minyak masak yang keras tersebut. Kekerapan penggunaan cecair kimia di dalam kuantiti yang banyak boleh menyebabkan pencemaran kepada sisa air.
Terdapat juga sisa minyak masak yang masuk ke dalam kolam kumbahan. Di sini, sisa minyak masak akan melekat pada kipas-kipas turbin yang berada di dalam kolam tersebut dan ianya akan menebal dan mengeras. Akhirnya, kipas-kipas turbin tersebut akan menghadapi masalah dan seterusnya memerlukan penyelenggaraan atau berhenti beroperasi daripada memproses bahan-bahan kumbahan terkumpul. Perberhentian operasi pada kolam-kolam kumbahan boleh menyebabkan bau busuk dilepaskan ke udara dan mengakibatkan kos yang tinggi kepada operator untuk menyelenggara atau menukar peralatan baru.
1.Sisa minyak masak dicurah ke tanah
Manusia selalu mempunyai pilihan. Jika tidak membuang ke dalam sinki dapur, mereka akan memilih kaedah perlupusan sisa minyak masak dengan mencurahnya ke tanah. Walaupun kita nampak kaedah ini sebagai memulangkan unsur tumbuhan kembali kepada tanah, ianya masih boleh mengakibatkan ketidak suburan dan kerosakan kepada tanah. Lapisan sisa minyak masak tersebut bertindak menghalang udara (oksigen) daripada masuk ke dalam tanah. Tanpa oksigen, cacing dan lain-lain hidupan di dalam tanah yang berfungsi sebagai ejen penyuburan akan mati.
2. Sisa minyak masak dicurah ke dalam longkang dan parit
Kaedah lain yang difikirkan mudah kepada manusia adalah dengan membuang sisa minyak masak ke dalam longkang dan parit. Pada kebiasaannya, sistem perparitan di negara kita akan mengalirkan air masuk ke sungai dan boleh menyebabkan air menjadi tercemar serta berbau busuk. Air sungai yang diselaputi oleh lapisan sisa minyak masak akan menghalang cahaya matahari dan udara daripada sampai ke bawah. Akibatnya, rumpair dan hidupan air seperti ikan serta udang akan mati. Para nelayan yang bergantung kepada sungai sebagai punca rezeki mereka akan kekurangan pendapatan manakala manusia pula berhadapan dengan sumber protin terhad.
Begitu juga halnya dengan apa yang terjadi di sekitar muara sungai di mana terdapat banyak pokok bakau tumbuh segar sebagai sebahagian besar habitat hidupan air. Kehadiran sisa minyak masak yang tidak terkawal di situ berupaya memusnahkan habitat serta hidupan air. Malah, pokok-pokok bakau pun turut musnah apabila sisa minyak masak menyelaputi akar-akarnya yang berada di permukaan air. Ini adalah kerana akar-akar tersebut yang juga dikenali sebagai akar nafas gagal membantu pokok-pokok bakau melakukan proses respirasi dan fotosintesis dengan baik serta optimal. Kemusnahan pokok-pokok bakau bermakna pesisiran pantai tiada pelindung dan terdedah kepada ombak besar dan proses hakisan ombak secara besar-besaran akan terbentuk.
3. Pembuangan sisa minyak masak ke dalam tong sampah
Kebanyakan komuniti perumahan membuang sisa minyak masak ke dalam tong sampah yang bertujuan mengelakkan daripada sinki tersumbat. Walaupun mempunyai niat yang murni untuk memelihara alam sekitar, sisa minyak masak yang telah dibungkus kemas berupaya menyebabkan pencemaran. Sampah sarap kawasan perumahan yang dikutip oleh pekerja-pekerja majlis perbandaran kebiasaannya dimasukkan ke dalam lori ‘compactor’ di mana ianya akan dimampatkan. Di sinilah bungkusan sisa minyak masak tersebut akan pecah lalu menyelaputi sampah sarap lain yang berada di dalam lori tersebut. Setibanya di tapak pelupusan sampah, ia akan bercampur pula dengan sampah sarap yang sedia ada di situ.
Tapak pelupusan sampah merupakan tempat terdapatnya mikrob-mikrob yang berfungsi menguraikan sampah sarap, namun, ianya tidak dapat berbuat demikian kerana litupan sisa minyak masak tersebut telah menjadikannya pasif. Keadaan ini memberi kesan langsung kepada sampah sarap di situ dan ia menjadi semakin bertimbun dan mengeluarkan bau busuk. Apabila suatu tapak pelupusan sampah telah penuh, pihak berkuasa perlu mewujudkan kawasan baru bagi memenuhi keperluan semasa. Namun, harus diingat bahawa pembukaan kawasan baru bererti akan berlaku penebangan hutan dan boleh mengakibatkan kehilangan banyak spesis tumbuhan serta haiwan yang berharga.
4. Tidak membuat pengasingan sampah
Pengasingan sampah bermaksud membahagi-bahagikan sisa buangan mengikut kategori iaitu sisa pepejal, sisa makanan dan sampah sarap. Sisa pepejal seperti botol plastik, bekas plastik, kertas, suratkhabar, kadbod dan tin mempunyai nilai jual balik kerana ianya boleh dikitar semula menjadi bahan asas untuk dijadikan produk lain. Begitu juga dengan sisa makanan seperti kulit buah-buahan, bahagian sayur-sayuran yang tidak dikehendaki, roti berkulat dan nasi basi boleh dikitar semula menjadi baja kompos. Tujuan membuat pengasingan ini adalah untuk memastikan hanya sisa buangan yang tidak boleh dikitar semula dan tiada nilai jual balik sahaja dihantar ke tapak pelupusan sampah. Sekiranya tiada pengasingan dibuat, tapak pelupusan sampah yang sedia ada akan menjadi terlalu padat dan perlepasan kuantiti gas-gas panas (gas rumah hijau) seperti karbon dioksida ke udara bertambah sewaktu proses penguraian. Kesannya adalah bumi akan mengalami kepanasan dan perubahan cuaca.
5. Penggunaan bahan kimia secara berlebihan
Menggunakan baja dan racun perosak berunsurkan bahan kimia sebagai penggalak tanaman boleh mencemarkan sumber utama air iaitu sungai. Apabila hujan, baja dan racun perosak yang berada di dalam tanah akan di bawa memasuki longkang atau parit, seterusnya mengalir ke dalam sungai. Bahan kimia daripada baja dan racun perosak ini adalah beracun yang boleh mengurangkan kandungan oksigen di dalam air dan boleh menyebabkan kemusnahan kepada ikan dan lain-lain hidupan air. Perkara yang serupa berlaku apabila menggunakan produk pencuci berunsurkan bahan kimia untuk kerja-kerja pembersihan di rumah. Cecair pencuci tersebut akan mengalir ke dalam lubang-lubang air atau sinki dan terus ke longkang serta sungai. Kepupusan hidupan air akibat pencemaran boleh menyebabkan ketidak seimbangan ekosistem di sungai.
6. Sikap tidak bertanggungjawab dan tidak prihatin terhadap alam sekitar
Membuang sampah merata-rata atau meletakkan bungkusan sampah tidak pada tempat yang sepatutnya juga boleh menyebabkan pencemaran. Sampah sarap tersebut boleh menghasilkan bau busuk. Apabila hujan turun, air yang mengalir membawa sampah sarap yang berserakan masuk ke dalam longkang atau parit. Sampah sarap ini kemudiannya dihanyutkan pula ke dalam sungai dan mengotorkan air lalu terus ke laut. Sampah sarap yang terapung-apung di laut menarik minat hidupan seperti penyu dan burung lalu memakannya. Akibatnya, haiwan-haiwan ini mati kerana tercekik.
7. Makanan yang berlebihan
Memasak secara berlebih-lebihan boleh menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Begitu juga dengan pembelian barang makanan yang tidak dirancang. Lebihan makanan yang tidak dikehendaki lagi atau telah tamat tempoh penggunaannya akan menjadi sisa, akhirnya dihumban ke dalam tong sampah. Lambakan sisa makanan yang terlampau banyak di tapak pelupusan sampah menyebabkan bau busuk kerana ianya tidak dapat diuraikan di dalam jangka waktu tertentu. Kuantiti sisa makanan yang banyak ini juga menyumbang kepada pemanasan global apabila gas-gas panas seperti karbon dioksida dilepaskan ke udara sewaktu proses penguraian.
Manusia mampu untuk menjaga bagi mengelakkan berlakunya pencemaran yang merosakkan alam sekitar seperti pada terjemahan ayat Al-Quran dalam Surah Ar-Rum; ayat 41:
“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
Ini kerana manusia telah dijadikan sebagai khalifah oleh Allah s.w.t. yang berjanji untuk memelihara kesejahteraan bumi beserta segala isinya, seperti dinyatakan di dalam terjemahan ayat Al-Quran pada Surah Fatir; ayat 39:
“Dialah yang menjadikan kamu khalifah-khalifah di muka bumi.”
Di antara langkah-langkah yang boleh diambil oleh manusia bagi membendung pencemaran alam sekitar ialah menjadikan kitar semula sebagai amalan, melakukan pengasingan sampah sarap, menggunakan produk-produk berunsurkan organik, membuat senarai belian barangan keperluan dan masak di dalam kuantiti mencukupi untuk keluarga. Apa yang paling penting adalah, manusia perlu mengubah sikap menjadi bertanggungjawab dan prihatin terhadap alam sekitar.
Muhaidatul Ismah Ismail
4 Mei, 2020
Leave a Reply