Hari raya kali ini berbeza namun amalannya tetap sama… Ikuti panduan solat sunat Aidilfitri di rumah.
HARI raya Aidilfitri tahun ini hadir sangat berbeza macam kebiasaan. Namun kita hendaklah bersyukur akan nikmat kemenangan ini selepas sebulan mentaati perintah Allah dengan berpuasa. Semua yang berlaku itu ada hikmahnya ,peringatan dari Allah buat Hambanya yang alpa.
Hari raya bukan sekadar ziarah dan bermaaf-maafan.
Hari raya Aidilfitri bukan sekadar untuk kita memakai pakaian baharu, ziarah kubur, makan makanan yang lazat dan ziarah menziarahi tetapi perayaan ini membawa maksud kita kembali kepada fitrah penciptaan. Selama sebulan kita berusaha mengekang hawa nafsu supaya mematuhi perintah Allah.
Sudah semestinya bagi orang beriman pasti kesedihan akan menyelubungi perasaan tatkala Ramadan melabuhkan tirainya yang dijanjikan dengan ganjaran dan kenikmatan berlipat ganda kepada sesiapa yang berusaha.
Sambutan Aidilfitri kali ini mungkin berbeza tetapi kita harus mensyukuri nikmat dapat bersama keluarga.
Akan tetapi kesedihan itu tidak boleh berpanjangan kerana Ramadan pasti akan menjelma lagi pada tahun hadapan namun adakah kita sempat atau tidak untuk menemuinya kembali dan Alhamdulillah sekiranya usia masih panjang. Sudah menjadi kelaziman di negara kita yang tercinta ini, setiap hari raya Aidilfitri ia akan disambut dengan begitu meriah.
Pelbagai jamuan raya dan rumah terbuka diadakan bagi meraikan tetamu dan suadara-mara. Cuma yang bezanya pada tahun ini apabila kita diminta duduk di rumah bagi mengelakkan terkena jangkitan Covid-19.
Walau bagaimanapun, sambutan hari raya Aidilfitri perlu diraikan dengan penuh kesyukuran. Di sini ustaz akan menggariskan beberapa amalan sunah untuk kita lakukan di hari raya Aidilfitri.
Baca juga : Lafaz takbir aidilfitri.
1. Bertakbir selepas terbenamnya matahari
Sudah menjadi kebiasaan bagi kita akan bertakbir raya selepas solat Isyak yang menandakan telah berakhirnya puasa di Bulan Ramadan. Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 185: Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
Baginda Rasulullah juga menyatakan bahawa orang yang menghidupkan malam raya itu maka hatinya tidak akan mati.
Sabda Rasulullah: Barang siapa menghidupkan (dengan ibadah) pada malam dua hari raya kerana mengharap pahala Allah, maka hatinya tidak akan mati di hari semua hati mati. – [HR Ibn Majah 1772].
Salah satu cara untuk menghidupkan malam raya adalah dengan kita bertakbir.
2. Mandi sunat hari raya.
Di dalam sebuah riwayat daripada Ibn Umar bahawa dia akan mandi sunat hari raya Aidilfitri sebelum keluar dari rumah ke Musolla. – [HR Muato’ 384].
Telah berkata Imam Nawawi: Menjadi satu perkara sunah untuk mandi sunat hari raya dan ia bertepatan dengan perbuatan yang dilakukan oleh Ibn Umar.
Bagi membezakan mandi biasa dengan mandi sunat hari raya adalah dari sudut niat. Maka pastikan niat mandi pada pagi itu adalah untuk mandi hari raya.
Nawaitul ghusla li idilfitri sunnatan lillahi Taala.
“Sahaja aku mandi sunat Aidilfitri kerana Allah Ta’ala.”
3. Makan sebelum Solat Aidilfitri.
Menjadi amalan sunah untuk makan dahulu sebelum mendirikan solat sunat Aidilfitri. Ini berdasarkan perbuatan Baginda Rasulullah.
Pada hari raya Rasulullah tidak berangkat untuk melaksanakan solat sehingga baginda makan beberapa butir kurma. – [HR Bukhari 900].
Perbuatan Baginda Rasulullah itu menunjukkan hari kebesaran umat Islam yang mana pada hari itu juga diharamkan untuk berpuasa. Maka bagi masyarakat Malaysia boleh makan juadah yang disedikan sebelum melakukan solat sunat hari raya Aidilfitri.
4. Solat sunat Aidilfitiri.
Sementara itu, memandangkan kita kini sedang dalam usaha memerangi wabak Covid-19, kita tidak dibenarkan melakukan solat sunat Aidilfitri di masjid atau pun surau.
Galakkan solat di rumah sahaja.
Sebaliknya, kita digalakkan untuk melakukannya di rumah bersama keluarga dan bagi yang mungkin sudah terlupa mengenai rukun serta syarat solat sunat Aidilfitri, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) adalah mengeluarkan panduan ringkas.
Solat sunat Aidilfitri dua rakaat hukumnya sunat muakkad, di mana segala rukun dan syarat serta sunatnya sama seperti solat fardu, kecuali perkara sunat yang ditambah iaitu takbir tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua, serta bertasbih di antara tiap-tiap takbir.
5. Mengucapkan “semoga Allah menerima amalan kita” kepada sahabat handai
Ucapan semoga Allah menerima amalan amalan kita dan amalan kamu merupakan satu amalan sunah yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah.
Seperti dalam sebuah hadis daripada Wasilah dia telah berkata: Aku telah berjumpa Baginda Rasulullah pada hari raya, maka aku katakan kepada Baginda: Semoga Allah menerima amalan amalan kita dan amalan kamu. Sabda Rasulullah: Ya, semoga Allah menerima amalan amalan kita dan amalan kamu. – [HR Bahaiqi 6295].
Ucapan selamat hari raya kepada rakan-rakan merupakan satu perkara yang sangat baik untuk diteruskan bagi merapatkan hubungan tali silaturahim sesama kita dan lagi baik ditambah dengan lafaz semoga Allah menerima amalan amalan kita dan amalan kamu seperti mana dalam hadis tadi.
6. Bergembira pada hari raya Aidilfitri
Setelah sebulan kita berpenat lelah dalam melakukan ibadah kepada Allah, maka tiba masanya untuk kita bergembira menyambut lebaran yang mulia ini.
Suasana PKPB bukan menjadi penghalang untuk kita tidak bergembira dek kerana tidak boleh balik kampung, tetapi dengan teknologi yang semakin canggih mereka yang jauh boleh didekatkan dengan kemudahan yang ada.
Kegembiraan yang disambut mestilah bertepatan dengan syarak. Janganlah sesekali kita meraikan hari raya Aidilfitri yang penuh bermakna ini dengan kelakuan maksiat kepada Allah.
Oleh itu, usaha-usaha untuk menghidupkan suasana gembira dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam.
Jadikan hari raya Aidilfitri kali ini bukan satu kekurangan tetapi ia merupakan satu kelebihan yang dapat kita raikan bersama dengan ahli keluarga yang tercinta.
Download dari jakim.
Panduan solat aidilfitri pdf file format.
Kit_Panduan Solat Hari_Raya_Di_Rumah
Berikut adalah panduan solat sunat Aidilfitri yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais);
Rakaat pertama.
* Lafaz Takbir 7 Kali (diselangi lafaz Tasbih)
* Membaca Al-Fatihah
* Membaca Surah Pilihan
* Rukuk/Sujud/ Berdiri Semula
Rakaat Kedua
* Lafaz Takbir 5 Kali (diselangi lafaz Tasbih)
* Membaca Al-Fatihah
* Membaca Surah Pilihan
* Rukuk/ Sujud/ Salam
* Doa
* Sunat berkhutbah
Secara ringkasnya aku buat dibawah ini :
1. Lafaz niat
Usalli sunnatan liAidil Fitri rak’ataini imaman/makmuman lillahi ta’ala.
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat Hari Raya Aidil Fitri dua rakaat imam/makmum kerana Allah Ta’ala.
1. Di mulai dengan lafaz takbirratul ihram dengan menyebut Allahu Akbar disertakan dengan niat di dalam hati.
Ertinya:
2. Membaca doa iftitah.
Allaahu Akbaru kabiiraa-walhamdu lillaahi katsiiran, wa subhaanallaahi bukrataw-wa’ashiila. Wajjahtu wajhiya lilladzii fatharas-samaawaati wal ardha haniifam-muslimaw-wamaa anaa minal musyrikiina. Inna shalaatii wa nusukii wa mahyaaya wa mamaatii lillaahi Rabbil ‘aalamiina. Laa syariikalahu wa bidzaalika umirtu wa anaa minal muslimiin
3. Lafaz takbir tujuh kali diselangselikan dengan bacaan tasbih (setiap kali takbir diikuti dengan bacaan subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahu akbar.
4. Membaca surah al-Fatihah.
5. Membaca surah al-Quran (di sunatkan membaca surah al-A’laa).
6. Meneruskan solat sehingga selesai rakaat pertama.
Rakaat kedua.
1. Di mulai dengan lafaz takbir intiqalat (takbir permulaan rakaat kedua).
2. Lafaz takbir lima kali di selangselikan dengan bacaan tasbih (setiap kali takbir diikuti dengan bacaan subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahu akbar.
3. Membaca surah al-Fatihah
4. Membaca surah al-Quran (di sunatkan dalam rakaat kedua membaca surah al-Ghaasyiyah)
5. Meneruskan solat sehingga selesai rakaat kedua.
6. Memberi salam.
KHUTBAH AIDILFITRI
Khutbah Idulfitri sama dengan khutbah Jumaat dari segi rukunnya. Namun sunat di mulakan oleh khatib dengan lafaz takbir sebanyak sembilan kali berturut-turut pada khutbah pertama dan tujuh kali berturut-turut pada khutbah kedua.
Pada khutbah pertama:
- Ucap ‘Alhamdulillah’.
- Baca selawat ‘Allahumma solli ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad’.
- Pesan kepada makmum untuk bertaqwa: ‘Marilah kita semua meningkatkan taqwa kita kepada Allah’.
- Baca satu potongan ayat Al-Quran: ‘Inna a’thoinakal kausar. Fasolli lirabbika wanhar. Inna syaniaka huwal abtar’
- Sekian khutbah pertama. Kemudian duduk seketika.
Pada khutbah kedua:
- Ucap ‘Alhamdulillah’
- Baca selawat ‘Allahumma solli ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad’
- Pesan kepada makmum untuk bertaqwa: ‘Marilah kita semua meningkatkan taqwa kita kepada Allah’.
- Baca 1 potong ayat Al-Quran: ‘Qul huwallahu Ahad. Allahus somad. Lam yalid walam yulad. Walam yakullahu kufuwan ahad’.
- Baca doa untuk seluruh orang Islam: ‘Ya Allah selamatkan kami semua dari Corona Virus. Ya Allah selamatkan kami semua di dunia dan akhirat’.
- Selesai.
Adab Solat Aidilfitri.
- Makan sedikit makanan kalau boleh kurma sebelum keluar bersolat sunat hari raya. hal ini kerana Anas bin Malik menyebut: “Adalah Nabi SAW tidak akan keluar untuk solat Aidilfitri sehinggalah baginda memakan buah tamar terlebih dulu dengan bilangan yang ganjil (tiga atau lima atau tujuh biji).”
- Lebih afdal dengan berjalan kaki ke masjid sekiranya tidak terlalu jauh. Kalau dalam 100 meter hingga 500 meter apa salahnya kita jalan kaki kan?
- Pergi ke masjid menggunakan jalan yang berbeza dengan jalan pulang, agar dapat bertemu dan bermaafan dengan ramai kenalan.
- Bersolat sunat hari raya dan mendengar khutbah penuh khusyuk dan tawaduk , penuh penghayatan.
- Bersedekah dan bertahlil secara jemaah selepas solat sunat Aidil Fitri.
- Membanyakkan membaca takbir,tasbih, tahmid memuji kebesaran Allah SWT.
- Apabila selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri maka digalakkan bersalam-salaman kerana ia adalah cara terbaik memohon keampunan sesama insan. (oleh kerana sekarang musim covid, tak boleh nak salam, so hanyalah buat tanda tunduk dan hormat sambil tangan didada pun sudah memadai).
- Apabila hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka solat Jumaat menjadi sunnah, boleh diadakan dan boleh tidak tetapi untuk lebih afdal, khariah masjid jami’ sebaiknya tetap mengadakan solat Jum’at.
Discover more from Zikri Husaini
Subscribe to get the latest posts sent to your email.
Leave a Reply