Selamat datang ke Zikri Husaini Store Dismiss

  • Skip to primary navigation
  • Skip to main content

Zikri Husaini

Str Login Sumbangan Tunai Rahmah 2024

  • Tentang Penulis
    • Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka
    • Pertanyaan
    • DMCA
    • Tolong buat Artikel ini (request article)
      • Hantar/Kongsikan Artikel Anda disini!
    • Pengiklanan
  • Disclaimer
    • Privacy Policy
  • Affiliate Area
  • My account
  • Shop
    • Cart
      • Checkout
    • Goods / services / delivery policy
    • Refund policy
    • Terms and conditions
    • Contact Us :
  • Show Search
Hide Search
You are here: Home / Akademik / PANDUAN MENULIS KARANGAN SPM

PANDUAN MENULIS KARANGAN SPM

Zik · Apr 3, 2024 · Leave a Comment

Share this on WhatsApp

karangan cemerlang

Panduan Menulis Pendahuluan Format SPM

Pendahuluan mengandungi

  1. a) Ayat Rangsangan (Tema Karangan) (2-3 ayat)
  2. b) Ayat Arahan (Kata Kunci Soalan) (1 ayat)

Contoh Soalan:

Gejala buli, semakin hari semakin berleluasa. Bincangkan langkah-langkah bagi  membendung masalah ini.

Menurut Kamus Dewan, “buli” membawa maksud perbuatan mendera dan mempermainkan seseorang untuk menyesuaikan diri dengan suasana baharu. “Buli” juga boleh dikaitkan dengan mempermain-mainkan orang, biasanya orang yang lemah untuk mengertak atau menakutkan orang berkenaan dengan menunjukkan kekuatan. Hal ini secara tidak langsung menjadikan mereka yang lemah mematuhi atau menghormati mereka yang kuat. Secara keseluruhnya, gejala buli merangkumi perbuatan yang boleh mendatangkan ketidakselesaan kepada mangsa. (Rangsangan) Bagi memastikan gejala ini tidak terus berlaku, kita perlulah mencari langkah-langkah yang berkesan untuk mengatasinya (Arahan).

(80 perkataan)

—————————————————————————————————————-

Pengenalan (IKTHH) – Cara Menghasilkan Idea untuk Pendahuluan

Isu (I)

Kesan isu (K)

Tindakan menangani isu (T)

Hasil Tindakan (HT)

Hubung kait dengan soalan (H)

—————————————————————————————————————-

CONTOH PENDAHULUAN

  1. Ciri-ciri Pelancong yang Bijak

Melancong merupakan sejenis aktiviti rekreasi yang dapat menjana berbagai-bagai kebaikan. Buktinya, seseorang dapat menimba ilmu pengetahuan dan meluaskan pengalaman melalui melancong seperti peribahasa Melayu yang menyatakan, ‘jauh perjalanan luas pengalaman’. Melancong juga merupakan formula yang ampuh untuk menghilangkan tekanan. Pada era globalisasi ini, aktiviti pelancongan menjadi semakin koman dalam kalangan masyarakat sarwajagat kerana kemajuan teknologi yang tercapai serta sistem pengangkutan yang bertambah canggih.

Modenisasi ini menyebabkan perancangan dan persediaan yang perlu dilakukan oleh para pelancong sebelum memulakan perjalanan menjadi semakin mudah. Ada juga pelancong yang terus bertolak tanpa membuat apa-apa persediaan. Kini, kita dapat berkunjung ke seantero dunia dengan cepat sekali. Namun begitu, kita juga menghadapi risiko-risiko tertentu semasa melawat ke sesuatu tempat pelancongan.

(I) Belakangan ini, berita tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh para pelancong sering mendominasi paparan media massa, sama ada media arus perdana atau media alternatif. Misalnya, para pelancong sering menjadi mangsa penyeluk saku ataupun ditipu oleh peniaga-peniaga tempatan yang tidak bertanggungjawab. Terdapat juga pelancong yang ditipu oleh pakej yang ditawarkan oleh agensi pelancongan. Buktinya, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) telah menerima sebanyak 4411 aduan yang membabitkan kes-kes penipuan dalam pakej pelancongan.(I) (K) Di negara kita, bidang pelancongan merupakan sumber pendapatan utama negara.

Kekangan yang dihadapi oleh para pelancong ini akan menyebabkan kehilangan keyakinan terhadap aktiviti pelancongan negara kita. Hal ini akan menyebabkan kerugian besar yang terpaksa ditanggung oleh pihak kerajaan sehingga menjejaskan ekonomi negara.(K) (T) Oleh itu, pihak kerajaan telah melakukan pelbagai inisiatif untuk mengatasi masalah ini.

Contohnya, pihak kerajaan telah menguatkuasakan undang-undang dengan menjatuhkan hukuman yang berat terhadap penyeluk saku. Selain itu, kerajaan juga mengenakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana agensi pelancongan yang cuba menawarkan pakej pelancongan yang palsu. (T) (HT) Walaupun begitu, prakarsa kerajaan ini adalah kurang efektif kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. (HT) (H) Oleh itu, sebagai masyarakat yang berfikiran aras tinggi, kita perlulah sentiasa berwaspada semasa melancong. Kita haruslah menjadi pelancong yang bijak dalam menjaga harta benda sendiri serta menjaga kepentingan diri.

Dengan ini, kita berupaya untuk menjayakan agenda negara, iaitu pembangunan sektor pelancongan sejajar dengan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030. Persoalannya, apakah ciri-ciri seorang pelancong yangbijak? (H)

(337 perkataan)

2. Cara-cara memupuk semangat kejiranan

Dalam mendepani era modenisasi pada abad ke-21 ini, dunia menyaksikan iktisad negara membangun seperti cendawan tumbuh  selepas hujan. Negara yang semakin pesat membangun seperti tenggelam  sama basah, timbul sama hanyut seiring dengan negara maju lain. Namun begitu, isu menghidupkan semangat kejiranan masih menjadi topik perbicaraan yang meniti dari bibir ke bibir dalam kalangan marhaen diMalaysia. Semangat kejiranan boleh ditakrifkan sebagai suatu perasaan yang harus dipupuk oleh masyarakat madani tanpa mengira warna kulit bangsa untuk mempererat ukhuwah dan mengukuhkan perpaduan di Malaysia.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan seharian masyarakat tidak boleh berpisah daripada jiran tetangga bagai dakwat  dengan kertas. Semangat kejiranan yang merangkumi semua lapisan masyarakat tidak kira muda ataupun tua adalah sangat penting kerana pujangga bestari ada menyatakan bahawa jiran sepakat membawa berkat .

Dato’ Dr Fadzillah Kamsah turut menyatakan bahawa jiran merupakan  orang yang tinggal di sekeliling kita sama ada di depan, belakang, kiri ataupun kanan dan merupakan orang pertama yang membantu kita  ketika kita berada dalam kesusahan. Oleh itu, pihak kerajaan telah menunjukkan dalil keprihatinan dengan mengambil langkah pragmatik untuk menyuburkan semangat kejiranan dalam kehidupan masyarakat. Bahkan juga pihak NGO yang menggemblengkan tenaga untuk mengadakan kempen kesedaran dan bertungkus-lumus menguar-uarkan kemaslahatan semangat kejiranan melalui wadah media massa. Namun begitu, semangat kejiranan menjadi semakin pudah dan punah.

Hal ini seakan-akan menunjukkan usaha- usaha yang dijalankan adalah seperti hujan jatuh ke pasir dan masih belum ada penyelesaian yang konkrit untuk menghidupkan semangat kejiranan yang menjadi darah daging kehidupan zaman nenek moyang kita. Hal ini juga disebabkan sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri serta ketagihan masyarakat dalam penggunaan alat peranti elektronik yang membolehkan masyarakat berinteraksi dalam alam maya seperti Facebook , Instagram, Wechat dan Twitter. Amalan terpuji yang sewajarnya menjadi rutin hidup belum ada ubat mujarab untuk menyelesaikannya. Sebenarnya, semangat kejiranan membawa seribu satu jenis kemaslahatan kepada kita.

Dalam hal ini, terdapat banyak langkah dan pendekatan signifikan harus diperhebat demi memugar semangat kejiranan. Persoalannya, apakah cara-cara yang harus diambil untuk menghidupkan semangat kejiranan?

(323 perkataan)

3. Sikap masyarakat yang menjadi penyebab penularan wabak Covid-19

Belakangan ini, wabak Covid-19 yang merunsingkan kepala masyarakat seantero dunia telah merebak begitu cepat sebagai virus pandemik. Jumlah pesakit positif yang semakin meningkat pada setiap hari sering mendominasi paparan media massa sama ada media arus perdana atau media alternatif. Wabak yang membawa maut ini menimbulkanperspektif yang cukup negatif kepada masyarakat. Keadaan ini semakin membimbangkan apabila masyarakat masih bersikap acuh tak acuh terhadap masalah ini. Oleh itu, pihak kerajaan mahupun NGO telah melaksanakan inisiatif dan pendekatan yang tuntas untuk membendung penularan wabak, iaitu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.

Antara tindakan yang dilarang sepanjang PKP ini termasuklah aktiviti-aktiviti secara berkumpulan, bersesak-sesak di tempat awam dan sebagainya. Hukuman yang berat akan dikenakan terhadap sesiapa yang melanggar peraturan ini. Namun begitu, kajian menunjukkan bahawa kes wabak masih meningkat. Hal ini seakan- akan menafikan semua usaha yang dijalankan oleh setiap pihak kerana usaha mereka telah disia-siakan masih bagai hujan jatuh ke pasir.

Jika masyarakat masih menutup sebelah mata terhadap kesan dan akibat serius wabak ini, keadaan akan semakin meruncing dan bertambah kritikal sehingga meranapkan masa depan negara, terutamanya dari segi ekonomi. Rentetan itu, kestabilan negara akan tergugat. Oleh itu, wabak penyakit ini haruslah dipandang serius oleh segenap lapisan masyarakat agar penularan dapat dikawal. Kerjasama dan sinergi daripada masyarakat adalah amat penting untuk membanteras wabak Covid-19. Setiap orang diamanahkan supaya sentiasa mengikut garis panduan dan pesanan daripada pihak kerajaan supaya dapat membebaskan negara kita daripada impak-impak buruk akibat penyakit pandemik ini. Persoalannya, apakah sikap masyarakat yang menjadi penyebab penularan wabak Covid-19?

(244 perkataan)

 

Latihan Pendahuluan 1

Dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju, gejala ponteng sekolah telah menjadi penghalang untuk mencapai Impian tersebut. Berikan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk membendung gejala tersebut.

Tema: Gejala ponteng sekolah

  1. Kunci: Usaha-usaha membendung gejala ponteng sekolah

Dalam menongkah arus globalisasi, informasi dan telekomunikasi sejajar dengan era modenisasi yang sarat dengan konkurensi sengit ini, masyarakat sanggup mengejar kekayaan dan kemewahan hidup tanpa menghiraukan atau mempedulikan kehidupan anak-anak mereka. Tidak dapat dinafikan bahawa pengabaian ibu bapa terhadap kehidupan anak-anak akan menyebabkan anak-anak didominasi oleh hawa dan nafsu.

Hal ini mencetus kepada kebangkitan gejala ponteng sekolah yang tidak boleh dipandang enteng oleh masyarakat. Sudah terang lagi bersuluh bahawa masalah gejala ponteng sekolah dalam kalangan murid yang menanjak usia remaja semakin sukar dibendung bagai berkayuh di sampan yang  bocor. Walau bagaimanapun, seandainya kita menutup sebelah mata dan membiarkan masalah ini terus bersarang, maka visi kudsi untuk melahirkan insan yang berintelektual, berwawasan, berketerampilan dan berkebolehan demi mencorakkan masa depan negara akan menghadapi jalan buntu. Persoalannya, apakah inisiatif yang efektif untuk membendung gejala ponteng sekolah?

(133 perkataan)

Latihan Pendahuluan 2

Huraikan pendapat anda tentang kebaikan-kebaikan penganjuran sukan di  sekolah.

Tema: Sukan

  1. Kunci: Kebaikan penganjuran sukan di sekolah

Mendepani arus zaman ledakan globalisasi, pelbagai isu polemik dan perdebatan dibangkitkan bagi membincangkan mengenai kemaslahatan penganjuran sukan di sekolah. Tidak dapat dinafikan aktiviti sukan memang membawa manfaat yang tidak terhingga kepada para murid yang menanjak usia remaja.

Selaras dengan pemupukan amalan bersukan, kerajaan kita di bawah Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan konsep ‘Satu Murid Satu Sukan’. Para murid digalakkan bergiat secara agresidalam bidang sukan pada peringkat bangku sekolah lagi demi memantapkan penghayatan dan penglibatan aktif dan cergas murid-murid dalam bidang sukan, seperti kata pepatah ‘melentur buluh  biarlah dari rebungnya’. Persoalannya, apakah kebaikan penganjuran sukan di sekolah?

(96 perkataan)

Panduan Menulis Perenggan Isi Format SPM

Struktur perenggan

  1. a) Ayat Judul (menjawab tugasan)
  2. b) Ayat Huraian (pengembangan isi)
  3. c) Ayat Contoh (bukti penyokong-kajian, statistik, pendapat tokoh)
  4. d) Ayat Penegasan (penutup)

—————————————————————————————————————-

Contoh Soalan: Punca kesesakan jalan raya

Antara punca berlakunya kesesakan jalan raya ialah sikap pengguna jalanraya yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya (Judul). Kebanyakan pemandu kenderaan memandu dengan mengikut hati sendiri tanpa mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak menghormati hak pengguna jalan raya yang lain

(Huraian).

Pengguna jalan raya seperti ini menganggap jalan raya sebagai hak sendiri sehingga menyumbang kepada kesesakan jalan raya (Huraian). Contohnya, pelbagai kesalahan jalan raya yang dilakukan oleh pemandu yang tidak bertanggungjawab seperti memotong barisan kenderaan, melanggar lampu isyarat,

memotong garisan kembar dan berhenti di petak kuning dapat menimbulkan masalah yang serius kepada pengguna lain (Contoh). Hal ini jelas menunjukkan bahawa sikap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya merupakan faktor dominan berlakunya kesesakan jalan raya

(Penegasan).

(113 perkataan)

Isi-isi Penting dan Huraian Terperinci

  1. Ciri-ciri pelancong yang bijak

Pada pendapat saya, antara ciri utama pelancong yang bijak ialah para pelancong harus melengkapkan diri dengan pelbagai maklumat dan informasi yang berkaitan dengan sesuatu destinasi pelancongan. Kata orang tua-tua, ‘sediakan payung sebelum hujan’, persediaan dan perancangan awal adalah penting untuk menjamin kelancaran jadual perjalanan. Maklumat-maklumat yang patut kita terokai termasuklah sejarah tempat pelancongan, tempat penginapan, restoran-restoran yang terkenal, sistem pengangkutan serta harga tiket untuk melawati sesuatu destinasi pelancongan.

Dengan ini, kita tidak akan menghadapi sebarang kekangan semasa berkunjung ke tempat tersebut. Sebagai contoh, kita tidak akan tersesat jalan semasa berkunjung ke tempat yang tidak dikenali. Hal ini demikian kerana kita sudah merujuk kepada peta melalui alat peranti moden seperti telefon pintar. Dengan ini, kita dapat menjimatkan masa untuk mencari laluan yang tepat. Kita dapat menggunakan masa untuk melakukan aktiviti yang lebih menarik dan menyeronokkan. Selain itu, kita juga dapat mengelakkan diri daripada tertipu oleh orang lain yang menangguk di air keruh.

Contohnya, peniaga yang tidak berperikemanusian akan terus menaikkan harga barang tanpa pengetahuan kita. Kita yang seperti  rusa masuk kampung, tercengang-cengang semasa melawati sesuatu tempat mudah menjadi sasaran kepada mereka. Sekiranya tidak berwaspada, kita berkemungkinan besar akan terpedaya dengan perangkap mereka. Oleh itu, kita akan berhati-hati dan peka terhadap keadaan sekeliling sekiranya kita sudah menguasai ilmu pengetahuan sebelum itu. Persediaan ini merupakan wahana yang ampuh dan tuntas untuk mengelakkan diri daripada ditimpa kecelakaan, persis peribahasa Melayu yang menyatakan bahawa ‘cegah  sebelum parah’.

Pada era globalisasi ini, kita dapat memperoleh variasi maklumat yang selengkapnya melalui alat peranti moden dan buku panduanpelancongan. Yang terpenting, kita mestilah menanyai orang yang pernah berkunjung ke sesuatu destinasi pelancongan kerana jauhari yang mengenal  manikam. Mereka yang berpengalaman tentu dapat memberikan nasihat- nasihat yang berguna kepada kita. Tambahan pula, jika keadaan dan masa mengizinkan, para pelancong juga digalakkan untuk mempelajari bahasa asing. Dengan ini, kita dapat mengatasi masalah untuk berkomunikasi dengan

rakyat tempatan. Hal in turut memudahkan proses menanyakan soalan-soalan atau mengadakan dialog dengan mereka. Bagi masyarakat yang suka melancong sendiri atau melancong secara bajet, ilmu pengetahuan memang perlu dikumpul supaya tidak kelam-kabut semasa melancong. Tegasnya, para pelancong mestilah memastikan bahawa semua informasi yang penting telah diketahui agar risiko semasa melancong dapat diminimumkan.

(356 perkataan)

2. Langkah Memupuk Perpaduan

Marilah kita memfokuskan lensa perbincangan kita ke arah langkah memupuk perpaduan kaum dengan menganjurkan majlis rumah terbuka. Majlis rumah terbuka biasanya diadakan semasa musim perayaan utama di Malaysia termasuklah Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Deepavali. Semasa menyambut hari perayaan, rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum akan menjemput jiran-jiran tetangga dan kenalan ke rumah untuk menjamu selera di samping meraikan hari perayaan bersama-sama. Tanpa mengira kaum, bangsa ataupun agama, setiap orang yang menghadiri majlis rumah terbuka berpeluang untuk saling mengenali antara satu sama lain. Mereka yang bersifat peramah berpeluang untuk berkomunikasi dan berinteraksi antara satu sama lain.

Hal ini tentu akan mengukuhkan ukhuwah sesama anggota masyarakat, sekaligus mengeratkan hubungan kejiranan yang menjadi elemen penting dalam pemupukan perpaduan rakyat Malaysia. Majlis rumah terbuka juga memainkan peranan sebagai wahana rakyat berbilang kaum untuk saling memahami. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kita yang berbilang bangsa tentu akan wujudnya konflik dalam aspek budaya, ataupun pantang larang.

Konflik ini tidak harus dipandang enteng kerana mungkin mencetuskan pergaduhan dan rusuhan kaum sekiranya tidak faham-memahami. Oleh itu, melalui majlis rumah terbuka, kita dapat mengetahui budaya dan kepercayaan kaum masing-masing. Rentetan itu, kita dapatlah buang yang keruh, ambil  yang jernih dengan menyesuaikan diri dan menerima budaya rencam dengan hati yang terbuka. Hal ini amat penting sekali agar setiap anggota masyarakat dapat mengamalkan sikap toleransi yang merupakan kunci ke arah perpaduan.

Kontradiksinya, masyarakat yang mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing  akan meranapkan perpaduan rakyat negara. Lebih-lebih lagi, rumah terbuka juga boleh diadakan apabila berpindah ke rumah baharu. Hal ini akan menunjukkan sikap proaktif seseorang itu dalam usaha mengeratkan hubungan silaturahim sesama insan. Hal ini bukan sahaja merupakan proses integrasi kaum ke arah pembinaan masyarakat berindentiti Malaysia, bahkan juga menjadi lambang perpaduan rakyat mengikut perspektif warga asing. Sebagai intiha, penganjuran majlis terbuka merupakan wahana yang ampuh lagi tuntas untuk mengukuhkan perpaduan rakyat Malaysia.

Kata orang tua-tua, “bulat air kerana pembetung,  bulat manusia kerana muafakat”, marilah kita bersama-sama menyahut seruan kerajaan untuk banyak mengadakan majlis rumah terbuka supaya dapat mengekalkan perpaduan rakyat yang membolehkan negara berkembang secara konsisten dan pesat.

(348 perkataan)

3. Usaha mengatasi masalah disiplin dalam kalangan murid

Lantaran idea seterusnya ialah peranan rakan sebaya dalam menangani masalah disiplin dalam kalangan murid sekolah. Rakan sebaya ialah orang yangpaling rapat dan mampu menjadi magnet sakti yang memberikan pengaruh dominan terhadap setiap tingkah laku murid dalam kehidupan. Oleh itu, murid- murid perlulah bijak memilih rakan sebaya. Murid sering menganggap rakan sebaya sebagai rakan yang sebenar sehingga mudah terpengaruh kerana banyak masa dihabiskan bersama-sama. Bagi murid yang menghadapi konflik jiwa dan konflik keluarga, mereka akan beranggapan bahawa rakan ialah tempat luahan perasaan berbanding dengan ibu bapa yang gagal menjalankan tanggungjawab. Namun bukan semua rakan di sekeliling murid itu berniat baik dan ikhlas dalam menjalinkan perhubungan persahabatan. Justeru, murid-murid harus bijak dan rasional berdampingan dengan kawan.

Kawan yang baik sememangnya perisai untuk mengelakkan murid-murid terjerumus dalam masalah sosial. Hal ini kerana rakan yang baik ialah agen sosial yang sentiasa berkelakuan baik dan bersedia untuk membantu. Mereka boleh menunjukkan jalan sebenar dan menjadi contoh teladan kepada murid agar mereka boleh bercermin di air jernih. Dengan ini, setiap gerak-geri mereka akan condong ke arah memantapkan pembangunan jati diri murid yang positif. Sebaliknya, murid yang gagal berkawan akan berisiko terjebak dalam masalah sosial yang mampu meranapkan masa depan. Kata orang tua-tua, sebab nila setitik, rosak susu  sebelanga. Sememangnya rakan yang baik dapat mencerahkan masa depan murid.

Sebagai contoh, rakan yang baik akan mengajak murid-murid melakukan aktiviti riadah yang sihat seperti bersenam, bersukan, dan melayari laman sesawang yang dapat mendalami ilmu dalam segenap bidang. Hal ini tentu dapat menjauhkan murid-murid daripada terjebak dalam sebarang kegiatan negatif yang merunsingkan kepala masyarakat. Lebih-lebih lagi masyarakat menaruh harapan setinggi gunung kepada murid-murid yang akan menjadi bakal pemimpin negara yang berketerampilan, berkaliber dan berminda kelas pertama.

Sudah terang lagi bersuluh rakan yang baik ialah kompas yang menjadi petunjuk dan penentu arah kepada murid-murid. Rakan sebaya yang positif akan memastikan disiplin murid itu terjamin.

(303 perkataan)

4. Sikap masyarakat yang menjadi penyebab penularan wabak Covid-19

Antara sebab dominan penularan wabak Covid-19 ialah masyarakat yang bersikap acuh tak acuh terhadap perintah kerajaan. Masyarakat yang tidak bertanggungjawab mempunyai sikap sambil lewa terhadap nasihat dan saranan yang diwara-warakan oleh pihak berkuasa. Kementerian Kesihatan Malaysia telah berkongsi pelbagai uslub efektif untuk mengekang penularan wabak Covid- 19 yang dahsyat seperti memakai topeng muka dan rajin mencuci tangan di samping melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.

Di samping itu, doktor dan jururawat turut bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menasihati masyarakat supaya bersikap toleransi dengan duduk di rumah. Mereka menggunakan slogan seperti “Duduk Rumah” dan “Kami kekal berkhidmat untuk masyarakat, anda semua pula duduk di rumah untuk membantu mengekangpenularan wabak Covid-19″ untuk menyeru masyarakat menjaga keselamatan diri dan orang lain sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini. Tanggungjawab masyarakat untuk mengekang penularan wabak ini dan slogan-slogan duduk rumah telah pun menjadi tajuk sensasi media dan berita utama media cetak di negara kita.

Pihak media sama ada melalui radio, televisyen, akhbar di media sosial juga telah memainkan peranan masing-masing untuk menggembur- gemburkan kempen “Duduk di Rumah” untuk mengurangkan penambahan kes positif jangkitan Covid-19. Namun begitu, nasihat pelbagai pihak diibaratkan mencurah air be daun keladi kerana Covid-19 amat mengejutkan orang ramai dan kes jangkitan Covid-19 masih meningkat. Hal ini disebabkan oleh masyarakat yang tidak prihatin masih bergelandangan dan bersesak-sesak di tempat awam untuk membuat pembelian panik.

Mereka sebenarnya tidak sedar bahawa tindakan mereka yang membelakangkan perintah itu ibarat ikut hati  mati, ikut rasa binasa. Tambahan pula, masyarakat yang bersikap mementingkan diri sendiri bagaikan enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing telah menyukarkan usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan sehingga memerlukan penglibatan tentera dan pasukan polis di barisan hadapan untuk mengekang penularan dan penambahan kes positif jangkitan wabak Covid- 19 di negara kita. Bak kata pepatah, “sesal dahulu pendapatan, sesal  kemudian tidak berguna”, sekiranya masyarakat masih bersikap degil dan tidak mempedulikan perintah, hukuman berbentuk penjara sekurang-kurangnya enam bulan atau denda sehingga RM1000 akan dikenakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham turut menyatakan bahawa matapelaka bakal berlaku susulan tindakan beberapa negara yang mula melonggarkan peraturan khusus bagi membasmi pandemik Covid -19. Tegasnya, sudah terang lagi bersuluh bahawa sikap masyarakat yang acuh tak acuh merupakan penyebab utama penularan wabak Covid-19. (357 perkataan)

5. Kebaikan e-panggilan semasa pandemik Covid-19.

Contoh 1:

Sejajar dengan peredaran arus globalisasi, kecanggihan teknologi informasi membawa impak yang cukup mendalam terhadap masyarakat kontemporari. Dalamdunia di hujung jari ini, kita dapat memperoleh apa-apa sahaja dengan mudah tanpa melangkah ke luar kerana hidup dunia kini bertautan rapat dengan berbagai-bagaiperkhidmatan atas talian. Antaranya ialah perkhidmatan e-panggilan sememangnya membantu kita menyelesaikan segala kesukaran untuk menempah barangan dan makanan dalam tempoh masa PKP. Dengan hanya menekan butang peranti elektronik, barangan dan makanan yang ingin kita beli akan dihantar ke rumah kita selepas pembayaran atas talian.

Hal ini bukan sahaja mengurangkan risiko penjangkitan penyakit, bahkan juga memastikan kita memperoleh berangan keperluan dalam tempoh PKP. Sementalahan itu, perkhidmatan e-panggilan dilengkapkan dengan aplikasi penilaian, pemberian komen serta membuat aduan turut meminimumkan kes pelancungan seperti kualiti barangan yang indah khabar  daripada rupa. Hal ini penting untuk menjamin keselamatan dan kemesraan setiap pengguna. Dari perspektif lain, perkhidmatan e-panggilan juga membekalkan peluang pekerjaan kepada mereka yang menganggur dengan menjadikan mereka pengirim barangan. Tuntasnya, perkhidmation e-panggilan telah mengekalkan taraf hidup segenap lapisan masyarakat pada tempoh penularan pandemik Covid-19 ini.

(172 perkataan)

Contoh 2:

Sesungguhnya dengan menekan kekunci sahaja kita dapat menerokai seribu satu jenis perkhidmatan dan melayari laman yang diminati. Pilihan yang bervariasi ini tentu sekali akan memenuhi cita rasa kita. Hal ini bukan sahaja dapat menyelesaikan pemakanan dan permintaan barangan keperluan, malahan hantaran barangan akan muncul di depan mata kita dengan cepat.

Dengan kata lain, kita tidak perlu melangkah ke luar rumah dalam keadaan terdesak penularan could-19. Lebih-lebih lagi, kita sering diingatkan agar duduk di rumah untuk memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19. Yang terpenting, e-panggilan memastikan penghantaran berangan tepat pada masanya dan menyediakan platform kepada komuniti pembeli dan peniaga berinteraksi secara maya tanpa memerlukan kehadiran fizikal.

(104 perkataan)

Latihan Huraian Isi

Kebaikan-kebaikan penganjuran sukan di sekolah

  1. menyihatkan tubuh badan
  2. mencungkil bakat murid
  3. mempamerkan kreativiti

Antara kemaslahatan penganjuran sukan di sekolah termasuklah penganjuran sukan dapat menyihatkan tubuh badan seseorang. Apabila kita bersukan, badan akan berpeluh. Berpeluh menandakan berlakunya proses perkumuhan dalam badan kita. Bahan-bahan yang bertoksik dapat disalurkan daripada badan kita dan melancarkan proses pengaliran darah.

Hal ini dapat memperkasakan sistem imuniti dan daya tahan badan untuk mencegah pelbagai penyakit yang berbahaya seperti sakit jantung dan kencing manis. Kata orang, ‘mencegah lebih baik daripada  merawati’. Peredaran darah yang lancar membolehkan seseorang murid sentiasa kelihatan cergas dan cerdas kerana bak kata pepatah ‘badan cergas, otak cerdas’.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa murid yang sentiasa bersukan lebih mudah menumpukan konsentrasi dan lebih tajam akal. Ghalibnya, mereka yang bersukanlebih fokus semasa belajar dan prestasi pelajaran mereka lebih cemerlangberbanding dengan ulat buku yang sering kelihatan kurang bermaya. Tuntasnya, penganjuran sukan di sekolah amat penting demi menepati Falsafah Pendidikan

Negara yang menjurus dan menekankan aspek pembentukan murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Tegasnya, bersukan merupakanpemacu kecergasan dan kecerdasan seseorang. Di samping itu, penganjuran sukan di sekolah dapat mencungkil bakat muriddalam bidang bersukan. Kata orang ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Murid-murid yang berada di bangku sekolah merupakan ayam tambatandan tulang belakang negara untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang sukanpada suatu hari nanti.

Pihak sekolah bertanggungjawab untuk mengasah bakatmurid dalam bidang sukan melalui penganjuran pelbagai aktiviti sukan. Misalnya, aktiviti Hari Sukan dapat menggilap bakat murid dalam acara olahraga seperti lompat tinggi dan lompat jauh. Pembabitan murid secara bersungguh-sungguh dalam sesuatu sukan juga dapat menjanjikan habuan yang besar pada suatu hari kelak. Mereka berkelayakan mewakili negara untuk menyertai pertandingan pada peringkat antarabangsa dan menggapai kejayaan untuk mengharumkan nama negara Malaysia di persada sejagat.

Hal ini dapat dibuktikan dengan kejayaan Dato’ Lee Chong Wei yang telah menjuarai pelbagai pertandingan badminton di peringkat antarabangsa. Ringkasnya, penganjuran sukan di sekolah merupakan platform yang efektif untuk mencungkil bakat murid dalam bidang sukan.

Selain itu, penganjuran sukan di sekolah merupakan wahana yang ampuh dan tuntas untuk mempamerkan kreativiti mund-murid di sekolah. Hal ini diperkatakan demikian kerana terdapat pelbagai pasukan sorak yang terdiri daripada murid-murid sekolah untuk memeriahkan suatu temasya sukan. Mereka akan mencipta lirik dan lagu sorak yang unik dan menguja untuk menyemarakkan semangat berjuang para peserta. Kreativiti murid-murid juga digunakan untuk menghias khemah bagi rumah masing-masing. Contohnya, kebolehan murid dalambidang seni tari akan ditonjolkan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kreativiti murid-murid amatlah penting pada abad ke-21 ini untuk menghasilkan karya yang lebih menarik. Tuntasnya, penganjuran sukan di sekolah merupakan nukleus dan elemen signifikan untuk mempamerkan kreativiti murid di sekolah.

(424 perkataan)

 

Panduan Menulis Perenggan Penutup Format SPM

Struktur perenggan

  1. a) Ayat Kesimpulan (Penanda wacana penutup + Kata kunci (punca/kesan/langkah)

+ Tema

  1. b) Ayat cadangan (perlulah/ haruslah/ seyogianya)
  2. c) Ayat harapan

Contoh Soalan: Peranan ibu bapa untuk mendidik anak menjaga kebersihan

Sebagai penutup kata pemanis bicara, bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa ibu bapa memainkan peranan yang singnifikan untuk mendidik anak-anak supaya menjaga kebersihan. Anak-anak apabila diajar erti kasih sayang, mereka akan mengasihi. Apabila diajar erti kebaikan mereka akan belajar bertanggungjawab dan apabila diajar erti kebersihan mereka akan belajar menjadi harmoni. Oleh itu, ibu bapa sentiasa menjadi rujukan dan terminologi utama untuk menentukan jati diri anak-anak. Walau bagaimanapun, kita tidak seharusnya menunding jari kepada ibu bapa sahaja untuk memikul tanggungjawab ini.

Semua pihak seyogianya bekerjasama ibarat ke buki sama didaki, ke lurah sama dituruni supaya remaja di negara kita dapat mementingkan kebersihan pada masa hadapan. Amalan kebersihan ini amatlah penting bagi seseorang individu, sekumpulan masyarakat dan sesebuah negara. Sebuah negara yang maju berakarkan masyarakat yang sihat dan cergas. Oleh itu, remaja yang merupakan aset negara dan bakal menerajui pemerintahan negara haruslah mementingkan kebersihan di negara kita. Nelson Mandela pernah berkata, “Jika hendak melihat sesebuah negara, lihatlah generasi mudanya.” Jika remaja kita mementingkan kebersihan dalam kehidupan maka negara kita akan disegani oleh negara lain lantas menjadi terkenal di seantero dunia.

Latihan Penutup

Kebaikan-kebaikan penganjuran sukan di sekolah

Konklusinya, penganjuran sukan di sekolah membawa seribu satu kebaikan kepada murid. Lantaran itu, semua pihak perlulah bekerjasama untuk menggalakkan murid terlibat aktif dalam sukan, umpama ke bukit sama didaki, ke lurah sama  dituruni. Pihak sekolah hendaklah memperkasakan Dasar Satu Murid Satu Sukan yang mewajibkan setiap murid menyertai satu jenis sukan di sekolah.

Melalui usaha murni ini, rakyat Malaysia yang sihat akan dilahirkan dan sekaligus slogan Malaysia Cergas dapat direalisasikan. Langkah ini juga dapat menghindarkan golongan murid yang akan menjadi pemimpin negara pada masa hadapan bebas daripada penyakit- penyakit yang berbahaya kerana mencegah lebih baik daripada mengatasi.

(95 perkataan)

Penggunaan Puisi dalam Karangan (Pantun, Syair, Sajak, Gurindam)

Soalan 1: Kepentingan Berjimat Cermat

Tikar pucuk tikar mengkuang, Alas nikah raja Melayu; Ikan busuk jangan dibuang, Buat perencah si daun kayu. Pantun warisan di atas mengingatkan kita jangan membuang ikan yang busuk, kerana bahan ini masih berpotensi untuk dijadikan nutrisi kepada tumbuh-tumbuhan.

Secara tersiratnya, penyajak ingin memberikan iktibar kepada masyarakat supaya bersikap berjimat cermat dalam kehidupan. Dalam era modenisasi ini, masyarakatkontemporari sebenarnya mencapai kemewahan hidup dengan melakukan pekerjaan yang menjanjikan gaji yang lumayan.

Impaknya, sikap berjimat cermat semakin terhakis, kontradiksinya sikap membazir dan memboros menjadi budaya hidup sesetengah individu. Hal ini sememangnya bercanggah dengan ajaran agama yang melarang umatnya bersikap boros. Kata orang tua-tua, ingat sebelum kena,  jimat sebelum habis, jadi, banyak kemaslahatan yang dapat kita peroleh daripada amalan berjimat cermat.

Marilah kita memfokuskan lensa perbincangan kepada persediaan dan jaminan masa hadapan sebagai salah satu kepentingan sikap berhemat. Memangtidak dapat dinafikan bahawa wang menjadi satu elemen yang signifikan bagi setiap individu untuk melangsung kehidupan. Oleh itu, amalan berjimat cermat membolehkan seseorang untuk menyimpan wang dan merancang pengurusan kewangan pada masa depan.

Tamsilnya, sebagai murid, simpanan wang yang mencukupi dapat membantu kita membiayai perbelanjaan pendidikan dan kos sarahidup yang semakin meningkat, terutamanya apabila kita berazam untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading. Peribahasa Melayu ada menyatakan, sehari selembar benang, lama-lama jadi kain, sekiranya amalan berjimat cermat dipraktikkan dari semasa ke semasa, tentulah kita akan berjaya menyimpan amaun yang banyak, sehingga dapat meringankan beban ibu bapa. Tegasnya, amalan berjimat cermat merupakan wahana yang ampuh untuk merancang kewangan secara sistematik bagi masa depan.

(232 perkataan)

Soalan 2: Langkah mengikis sikap mementingkan diri sendiri/individualistik/egoistik

Kalau ke bukit sama didaki, Kalau ke laut sama berenang; Kalau kita bersatu hati, Kerja yang berat menjadi senang. Pantun di atas menggambarkan corak kehidupan masyarakat Malaysia suatu ketika dahulu yang popular dengan sifat tolong-menolong. Sifat yang terpuji ini mempunyai kuasa ajaib kerana dapat mengubah kerja yang berat menjadi ringan bak kata pepatah, bersekutu bertambah mutu. Namun, sejajar dengan zaman globalisasi yang berolak rancak, semangat kerjasama ini semakin terhakis dek keghairahan masyarakat mengejar kemewahan hidup.

Sikap materialistik dan individualistik seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing  pula diagung-agungkan oleh masyarakat kontemporari. Perkara ini akan menjejaskan hubungan silaturahim antara masyarakat, di samping melenyapkan masyarakat penyayang. Jadi, sikap egoistik ini mestilah dinyahkan sebelum membawa padah yang lebih serius. Sebenarnya, pelbagai inisiatif dapat dilakukan untuk mengikis sikap mementingkan diri sendiri dalam kalangan masyarakat. Antara langkah mengikis sikap individualistik ialah ibu bapa memainkan peranan dominan untuk memupuk sikap anak-anak yang sudi menghulurkan bantuan kepada orang dalam kesusahan.

Kata orang tua-tua, melentur buluh  biarlah daripada rebungnya, sekiranya sifat yang baik hati ini bepasak kukuhdalam jiwa anak-anak sejak kecil lagi, maka anak-anak dapat menghindari sikap egoistik apabila dewasa kelak. Jadi, ibu bapa seharusnya menjadi uswah hasanah kepada anak-anak dengan memberikan bantuan dari segi material atau sokongan moral kepada golongan yang menghadapi kekangan hidup.

Misalnya, ibu bapa digalakkan mendermakan wang untuk membantu mangsa bencana alam yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda. Dengan ini, anak-anak akan mencontohi ibu bapa dan sering bersikap prihatin terhadap orang di sekeliling serta sedia menghulurkan bantuan kepada orang lain. Tuntasnya, ibu bapa memikul obligasi menyuburkan semangat saling membantu dalam kalangan anak-anak.

(242 perkataan)

Soalan 3: Langkah memupuk amalan berbudi bahasa dalam kalangan generasi muda

Yang kurik itu kundi,Yang merah itu saga;Yang baik itu budi, Yang indah itu bahasa. Pantun lama ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa budi bahasa merupakan elemen yang penting dalam membentuk sahsiah dan jati diri seseorang.

Lazimnya, seseorang yang berbudi bahasa akan dihormati dan dipandang tinggi dalam masyarakat. Selain budi pekerti dan tingkah laku yang unggul, seseorang yang berbudi bahasa juga bertutur dalam bahasa yang sopan. Hal ini sejajar dengan Prinsip Kelima Rukun Negara yang menegaskan kepentingan mengamalkan kesopanan dan kesusilaan agar tidak terpesong daripada landasan hidup. Jelaslah bahawa betapa penting amalan berbudi bahasa dalam melahirkan individu yang mempunyai jati diri yang kukuh dan berkeperibadian mulia. Oleh itu, pelbagai langkah yang ampuh dan tuntas harus diambil untuk memupuk amalan berbudi bahasa dalam kalangan generasi muda pada hari ini.

Memang tidak dapat menafikan bahawa pihak sekolah memainkan peranan dominan untuk menyemai sikap berbudi bahasa dalam kalangan pelajar. Hal ini dikatakan demikian kerana pelajar menghabiskan suku hari di sekolah selama sebelas tahun. Sekolah ibarat rumah kedua manakala guru-guru diumpama ibu bapa kedua. Jadi, pihak sekolah mesti menetapkan peraturan yang ketat, terutamanya peraturan mengenai tingkah laku para pelajar. Sebagai contoh, pelajar mestilah menegur sapa dengan warga sekolah, terutamanya guru-guru apabila bertemu. Kataorang tua-tua, alah bisa tegal biasa, jika amalan ini sudah menjadi satu kebiasaan, maka pelajar-pelajar akan menjadi insan yang bersahsiah dan berhemah tinggi.

Yang terpenting, guru-guru perlu menasihati meskipun menegur anak murid apabila mendapati mereka membuat kesalahan, khasnya perbuatan yang bercanggah dengan amalan berbudi bahasa. Izharnya, sekolah merupakan platform yang paling efektif untuk memperkasakan keperibadian para pelajar.

(241 perkataan)

Soalan 4: Cara-cara menghargai jasa guru

Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga; Hancur badan dikandung tanah, Budi yang baik dikenang juga. Pantun Melayu di atas merupakan wadah nasihat yang membicarakan soal nilai menabur budi serta membuat kebaikan terhadap insan. Jelas terpancar bahawa norma masyarakat dan budaya mengajar kita supaya sentiasa berbuat baik walaupun sebesar zarah. Padahal guru-guru merupakan antara insan yang banyak memberikan jasa kepada anak-anak murid dengan memberikan bimbingan dan tunjuk ajar sepanjang proses para pelajar menimba ilmu di alma mater. Bak kata pepatah, ‘Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa,’ jasa guru-guru seharusnya kita ingati buat sepanjang hayat. Guru diumpamakan yang membakar diri untuk menerangi orang lain. Sebagai murid, kita wajar mengenang budi dan menghargai jasa guru-guru melalui pelbagai cara yang efektif.

Pada hemat saya, antara cara menghargai jasa guru adalah dengan menunjukkan kesungguhan dalam pembelajaran. Hal ini demikian kerana guru-guru telah cuba sedaya upaya untuk mencurahkan ilmu pengetahuan kepada anak-anak murid. Untuk melegakan hati cikgu, kita sepatutnya menunaikan tanggungjawab sebagai murid dengan sempurna, termasuklah memberi tumpuan semasa cikgu

mengajar, menjawab soalan yang ditanya oleh cikgu dan menyiapkan kerja rumah pada tepat masanya. Usaha yang ditunjukkan oleh murid-murid bukan sahaja meringankan beban guru, malahan memberikan tenaga kepada guru- guru untuk mengajar dengan semangat yang berkobar-kobar. Yang terpenting, sikap murid yang sebegini merupakan satu tanda penghormatan kepada para guru. Janganlah kita bersikap bagai kacang lupakan kulit dengan tidak mempedulikan cikgu.

Tegasnya, belajar dengan bersungguh-sungguh merupakan inisiatif yang paling berkesan yang dapat kita lakukan untuk menghargai jasa guru.

(228 perkataan)

Soalan 5: Peranan kerajaan untuk menarik minst masyarakat terhadap kesusasteraan Melayu

Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga; Hancur badan di kandung tanah, Budi yang baik dikenang juga. Pantun adalah antara kesusasteraan Melayu yang sarat dengan nilai murni. Setiap kesusasteraan Melayu menggambarkan nilai budi melalui seni bahasa agar dapat dijadikan sebagai sanjungan masyarakat. Hasil karya kesusasteraan sebenarnya wujud dalam bentuk tulisan dan lisan yang terhasil daripada ilham, inspirasi dan cetusan idea para sasterawan yang kreatif dan inovatif. Karya seperti sajak, syair, gurindam dan seloka sememangnya sudah tidak asing lagi dengan kehidupan kita.

Namun, minat masyarakat terhadap kesusasteraan Melayu masih berada pada tahap yang rendah, terutamanya generasi muda yang beranggapan bahawa kesusasteraan Melayu adalah kurang penting. Hal ini secara tidak langsung menjejaskan kedudukan kesusasteraan Melayu sebagai khazanah negara yang tidak ternilai harganya. Jadi, kerajaan patut menunjukkan dalil keprihatinan dengan memperkasakan kesusasteraan Melayu. Pelbagai peranan dapat dimainkan oleh kerajaan untuk menyuburkan minat masyarakat terhadap kesusasteraan Melayu.

Antara inisiatif yang dilakukan kerajaan adalah dengan menganjurkan kempen atau program bertemakan kesusasteraan Melayu pada peringkat kebangsaan. Tamsilnya, Bulan Kesusasteraan Kebangsaan dan Kempen Cintai Sastera Melayu yang dapat mendedahkan rakyat Malaysia terhadap karya-karya yang unik ini. Sepanjang tempoh pelaksanaan kempen, pelbagai pertandingan boleh diadakan seperti pertandingan mendeklamasi sajak atau menghasilkan karya sastera yang tersendiri.

Pada masa yang sama, kerajaan harus menjemput sasterawan negara yang berpengalaman untuk mengadakan ceramah dan memberikan tunjuk ajar dalam menulis karya kesusasteraan Melayu persis peribahasa Melayu yang menyatakan, ‘hendak belajar berenang dapatkan itik,  hendak belajar memanjat dapatkan tupai’. Sebagai intiha, kempen atau program kesusasteraan Melayu dapat menyemai minat masyarakat terhadap kesusasteraan Melayu yang istimewa.

(234 perkataan)

Sekian terima kasih. Selamat mencuba.

Share this on WhatsApp

Akademik, Bahasa Malaysia, Karangan cara menulis karangan panjang spm, cara menulis karangan tingkatan 1, cara menulis karangan tingkatan 4, contoh karangan, contoh karangan cemerlang confirm A, format menulis karangan, Formula dan Teknik Penulisan Karangan, koleksi karangan, nota karangan, panduan buat karangan A, panduan lengkap menulis pendahuluan format spm, PANDUAN MENULIS KARANGAN SPM, Panduan penulisan karangan pdf, Panduan penulisan karangan pdf download, panduan penulisan karangan spm, Teknik menulis karangan dan contoh menulis, teknik menulis karangan spm, TIPS MENULIS KARANGAN

CNY PROMO LAZADA 2024

Blogger Kacak Semalaya. Sebarang pertanyaan boleh tanya di contact@zikrihusaini.com Read More…

Reader Interactions

Leave a Reply Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Laman Website/ Blog ini didaftarkan dibawah syarikat ZIKRI TECHNO ENTERPRISE (JR0050749-T) beralamat di POS 157, KAMPUNG PARIT NO2, JALAN YUSOF, 83610, MUAR, JOHOR.