PENGENALAN
1.1 BAHAN SISA
Di Malaysia, bahan sisa yang tidak dinginkan setelah berakhirnya sesuatu proses biasanya di kenali sebagai sampah atau bahan buangan yang boleh didapati secara harian. Sampah merupakan konsep ciptaan manusia, dalam proses alam tiada istilah sampah, yang ada hanya produk-produk yang tidak bergerak. Bahan buangan atau sisa terdiri daripada bahan buangan pepejal, bahan buangan cecair dan bahan buangan gas. Terdapat dua jenis bahan buangan iaitu bahan buangan reput (biodegradasi) seperti sisa makanan dan bahan buangan tidak reput (tidak biodegradasi) seperti botol kaca, plastik dan tin aluminium atau logam.
Bahan buangan atau sisa berasal daripada pelbagai sumber dan terbahagi kepada sisa pepejal isi rumah, sisa pembinaan, sisa toksik dari bahan-bahan kimia perindustrian, sisa bio-medikal/klinikal iaitu dari sektor perubatan dan penjagaan kesihatan, sisa elektronik/e-waste iaitu peralatan elektrik/elektronik dan lain-lain.
Kadar janaan sampah di Malaysia meningkat secara linear saban tahun seiring dengan pertambahan bilangan manusia (Gambarajah 3) Selain itu, peningkatan aktiviti komuniti seperti komersial, institusi, industri dan proses jual beli membawa kepada peningkatan janaan sampah. Statistik dari pihak kerajaan berkenaan dengan komposisi sisa pepejal berdasarkan kriteria fizikal adalah seperti berikut:
Gambarajah 1: Komposisi Sisa Pepejal mengikut kriteria fizikal. Sumber: (Mazlan & Othman, 2020)
Sumber sisa pepejal kategori bahan organik (Gambarajah 1) yang menunjukkan peratusan tertinggi kebiasaannya datang dari sumber isi rumah domestik, pasar basah, restoren dan hotel. Isi rumah domestik menghasilkan sisa makanan paling tinggi iaitu sekitar 38% berbanding pasar basah (24%); restoren (23%) dan hotel (7%) (Rahman, 2020).
1.2 SISA MAKANAN
20 peratus sisa makanan yang dibuang oleh rakyat Malaysia masih boleh dimakan sewaktu dibuang menjadikannya komposisi tertinggi dalam statistik kajian iaitu 45 peratus daripada sisa pepejal di tapak pelupusan sampah seluruh negara. (Rahman, 2020)
Sisa makanan di tapak pelupusan sampah menghasilkan gas metana yang tinggi walaupun jumlahnya sedikit berbanding karbon dioksida kerana kekuatan metana adalah 34 kali lebih tinggi. Ini adalah salah satu faktor mengapa pembuangan sisa makanan mengancam alam sekitar yang menyebabkan perubahan cuaca panas drastik. Selain daripada itu, sisa makanan di tapak pelupusan sampah memberi impak negatif kepada sumber air bawah tanah dan juga sungai kerana pembentukan larutan resap (leachate) yang kotor. Ini adalah sebab mengapa tapak pelupusan sampah perlu di rawat sekurang-kurangnya 20 tahun selepas digunakan setelah sisa sampah memenuhi kapasitinya. Dalam tempoh itu, tanah yang telah dijadikan tapak pelupusan sampah tidak boleh digunakan untuk sebarang projek pembangunan.
2.0 KESAN
2.1 TAPAK PELUPUSAN SAMPAH
Tapak Pelupusan Sampah atau Sisa Pepejal Sanitari (TPS) adalah tempat pembuangan sampah yang dilengkapi sistem pengumpulan gas metana dan air larut resap, loji rawatan air larut resap dan penutupan liner. (JPSPN, 2018). Di Malaysia, hanya 15% daripada 146 tapak pelupusan sampah adalah dikategorikan sebagai sanitari sebagai contoh TPS Tanjung Langsat, Johor. Selebihnya adalah tapak pelupusan yang mempunyai sedikit atau tiada langsung sistem untuk mengumpul gas metana, tiada sistem rawatan untuk larutan resap (lachate), dan tiada pelindung tanah untuk mencegah bau serta tiada sistem kawalan untuk vektor penyakit seperti tikus dan lalat. (Leoi, 2019) seperti di Jenjarom, Kulim and Sg Petani yang telah menjadi liputan media antarabangsa akibat timbunan sampah yang tidak terkawal.
Pengurusan sampah yang tidak terkawal mengakibatkan pencemaran sungai-sungai di sekitar Johor sejak sekian lama (Mohamed Farid Noh, 2019) lalu dibaratkan seperti bom jangka, Ini terbukti dengan tragedi Sungai Kim-Kim pada 7 Mac 2019. Tambahan lagi, mengikut data yang dikumpulkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, terdapat 296 tapak pelupusan sampah haram di sekitar Johor Bahru sehingga kini dengan 46 daripadanya masih beroperasi. (Noh, 2019).
2.2 KADAR KITAR SEMULA DI KALANGAN RAKYAT MALAYSIA
Kadar jumlah kitar semula dan kadar kitar semula perbandaran adalah dua perkara berbeza. Bagi membandingkan kadar kitar semula di antara negara-negara di dunia, kadar kitar semula perbandaran adalah diguna pakai. Kitar semula sampah semasa proses pembuatan adalah contoh kadar jumlah kitar semula kerana ia adalah kitar semula yang berlaku sebelum produk sampai kepada pengguna.
Kadar kitar semula masyarakat Malaysia adalah masih rendah walaupun menunjukkan peningkatan iaitu sekitar 21% pada 2017, 24.6% pada 2018, (Leoi, 2019) dan 28 peratus pada 2019, (CHU, 2019), jauh di belakang negara-negara Eropah, malahan di belakang negara-negara Asia seperti Korea Selatan, Singapura dan Taiwan (Gambarajah 2).
Gambarajah 2: Sumber: Eunomia
Situasi ini adalah sangat membimbangkan, terutamanya di kawasan bandar. Ini kerana mengikut statistik (WORLDOMETER, 2020), 78.4% populasi semasa iaitu seramai 25,361,963 rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar.
Gambarajah 3: Populasi Malaysia pada 10 September 2022 (WORLDOMETER, 2022)
Justeru itu, Malaysia tidak akan menghadapi isu ketepuan tapak pelupusan sampah, tidak memerlukan tapak pelupusan sampah yang banyak, malah tidak perlu mengeluarkan satu jumlah yang tinggi untuk kos pengurusan sampah, seandainya rakyat Malaysia benar-benar mengamalkan pengasingan sisa di rumah dan melakukan kitar semula.
3.0 PROSES PENGURUSAN SISA
Pengurusan bahan buangan ialah kawalan pengumpulan, rawatan dan penghapusan sampah. Dalam proses pengurusan sisa, aktiviti kutipan sampah adalah aktiviti yang paling memerlukan kos yang paling tinggi kerana melibatkan kutipan secara terus dan kutipan secara tidak terus.
Gambarajah 4: Proses Pengurusan Sisa (LAB, 2012)
3.1 KAEDAH TERANCANG DAN AMALAN MANUSIA
Pengurusan bahan buangan dibahagikan kepada dua cara yang saling memerlukan dan sama penting iaitu kaedah terancang dan amalan manusia. Kaedah terancang diuruskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan yang akan menghantar bahan buangan ke pusat pengumpulan sampah dan kemudian diasing mengikut kategori sama ada untuk dikitar semula ataupun dibakar di dalam insinerator serta dilupuskan. Melalui kaedah amalan manusia pula, amalan yang baik adalah seperti mengikat dengan kemas bahan buangan, bahan buangan cecair diisi dalam bekas khas, memasukkan bahan buangan ke dalam tong sampah khas kitar semula dan menghasilkan baja kompos menggunakan sisa makanan.
Di Malaysia, walaupun kerajaan telah mewajibkan pengasingan sisa pepejal di rumah sejak 1 September 2015 berdasarkan Peraturan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), pengendalian dan pemisahan sisa dari punca (peringkat penjanaan) ataupun kaedah amalan manusia ini masih berada pada tahap yang lemah.
Polisi Kerajaan yang kuat dan amalan kitar semula yang berkesan menjadikan negara Jerman memiliki kadar peratusan kitar semula yang tertinggi iaitu melebihi 66%, (Brassaw, 2017). Sejak diperkenalkan program kitar semula kepada rakyatnya, tong sampah kitar semula senang didapati di seluruh negara Jerman.
4.0 MATLAMAT PEMBANGUNAN MAMPAN (SDG GOALS) DAN DASAR KERAJAAN
4.1 SDG GOALS
Bagi mencapai matlamat pembangunan mampan global, pengurusan sisa pepejal merupakan kunci utama dan teramat penting. SDG Goals tidak akan tercapai seandainya pengurusan sisa pepejal negara tidak dijadikan sebagai keutamaan negara.
Kerajaan mesti segera melabur dalam pengurusan sisa pepejal kerana ganjarannya adalah melebihi daripada kos yang dikeluarkan. Demi masa depan Malaysia yang makmur, sihat dan berdaya tahan bagi meneruskan kelangsungan hidup. Gambarajah 5 di bawah menunjukkan bagaimana pengurusan sisa pepejal yang baik berhubung kait dengan matlamat pembangunan mampan:
Gambarajah 5: Hubung kait pengurusan sisa pepejal dengan matlamat pembangunan mampan. (Lenkiewicz, 2016).
4.1 DASAR-DASAR KERAJAAN
Gambarajah 6: Dasar Pengurusan Sisa Pepejal (DPSP) dan Pelan Transformasi Negara.
Selain daripada dasar-dasar kerajaan dalam pengurusan sisa pepejal serta pelan transformasi negara yang boleh dirujuk di gambarajah 6, terdapat juga dasar pengurusan sisa pepejal negara (pindaan) 2016. Dasar ini adalah bagi tujuan penambahbaikan ke atas DPSP sedia ada berpandukan kepada pencapaian-pencapaian di dalam DPSP 2006, Kajian Pelan Strategik bagi Pengurusan Sisa Pepejal Kebangsaan 2005 serta Kajian Pengurangan Sisa Pepejal di Malaysia 2006. Selain daripada itu, kajian penambah baikan DPSP juga mengambil kira inisiatif –inisiatif yang dikemukan di dalam Dokumen Rancangan Malaysia ke 11 (2016-2020) dan inisitaif yang dikemukakan oleh Laporan Makmal Pengurusan Sisa Pepejal 2015. (JPSPN K., 2016)
4.2 DASAR KOMUNITI NEGARA
Seiring dengan faktor-faktor seperti pertambahan jumlah populasi di Malaysia, kepesatan perbandaran, perubahan sosio-ekonomi penduduk dan kemajuan teknologi, adalah dicadangkan agar pihak kerajaan dapat menambah baik Dasar Komuniti Negara (DKN). Dicadangkan agar Dasar Komuniti Negara dapat bersama-sama dengan DPSP dan Pelan Transformasi sedia ada dalam mencipta langkah strategik ini demi mencapai ke arah status negara maju dan mencapai pengurusan sisa pepejal yang lebih mampan.
Ini kerana di dapati Dasar Komuniti Negara (DKN) mempunyai elemen-elemen yang kuat seperti mana Model Transformasi Berterusan yang akan dibincangkan dalam mengukuhkan konsep pengurusan sisa pepejal. Komuniti adalah satu kumpulan yang paling berkesan dalam pelaksanaan kempen kitar semula kerana permulaan sampah yang tidak terkawal adalah bermula dari punca.
5.0 TRANSFORMASI YANG DIRANCANG
Bagi menjayakan Program Kitar Semula, pihak kerajaan boleh mengguna pakai Konsep Transformasi yang Dirancang (Planned Changed) di mana konsep ini mengfokuskan kepada tahap perlaksanaan transformasi atau perubahan yang dilakukan. Namun, seperti semua sedia maklum bahawa kerajaan telah mempunyai Pelan Tindakan yang dikendalikan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan sasaran menuju Negara Bersih pada tahun 2020. Terdapat Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007(AKTA 672) yang telah dikuatkuasakan pada 1 September 2011 yang memberi kuasa eksekutif kepada Kerajaan Persekutuan bagi 9 negeri di Malaysia iaitu negeri Perlis, Kedah, Kuala Lumpur, Putrajaya,Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Terdapat juga Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) yang masing-masing menjalankan fungsi- fungsi tersendiri dalam mencapai sasaran negara ini.
Sungguhpun terdapat banyak perbahasan mengenai kepentingan menjaga alam sekitar melalui pelbagai peraturan dan penguatkuasaan undang-undang namun Malaysia masih jauh daripada mencapai tahap negara bersih yang diharapkan. Seharusnya Kerajaan mengambil langkah untuk mengkaji semula Pelan Tindakan yang di ambil.
5.1 MODEL TRANSFORMASI LEWIS
Rangka kerja yang dipilih adalah tiga langkah asas dari Model Transformasi Lewis.
Gambarajah 7: Model Transformasi Lewis (Cummings & G.Worley, 2009)
5.2 MODEL TRANSFORMASI BERTERUSAN (Continuous Change Proses Model)
Lebih tepat lagi, model yang disarankan untuk menjayakan transformasi ini adalah rangka kerja Model Transformasi Berterusan (Continuous Change Process Model) . Ia adalah satu model yang mengambil kira keseluruhan proses terutamanya mengfokuskan perspektif pihak pengurusan tertinggi; dalam hal Kerajaan Malaysia. Oleh kerana transformasi yang dilakukan adalah satu proses yang berterusan, model ini adalah lebih teliti berbanding Model Transformasi asas Kurt Lewin di mana model ini menekankan konsep Transformasi Lewis, pada peringkat perlaksanaan.
Gambarajah 8: Sumber : Armenakis et al., “Making change permanent: A model of institutionalising change interactions”, JAI press (1999).
Menurut model ini, kuasa tertentu perlu memicu untuk memastikan transformasi itu dapat dilakukan dengan jayanya. Dalam hal ini pihak kerajaan perlu terlibat secara terus dalam proses mengenal pasti masalah dan dalam proses penyelesaian kepada masalah. Pihak kerajaan dengan jelas:
- mentakrifkan matlamat atau objektif
- melakukan pembaharuan dalam proses, serta
- melakukan penilaian terhadap output, adakah dapat dicapai pada proses akhir transformasi.
Semasa dalam peringkat awal pengurusan transformasi, pihak kerajaan harus mempunyai ejen transformasi. Ejen transformasi (change agent) yang berkesan seharusnya wujud ada dalam setiap peringkat pengurusan sisa pepejal di negara kita.
Pengurusan sisa sampah di peringkat Kutipan dan Pengangkutan yang dikendalikan oleh agen transformasi Alam Flora Sdn Bhd (Wilayah Tengah & Timur), SWM Environment (Wilayah Selatan) dan Environment Idaman Sdn Bhd, bertindak sebagai satu konsesi kutipan dan pengangkutan sisa pepejal serta pembersihan awam di Semenanjung Malaysia. Mereka adalah agen yang terlibat secara langsung dalam Sistem Kutipan 2+1 sejak dimulakan perlaksanaanya pada 1 September 2012.
Hasil Kaji Selidik
Mengambil peluang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, kaji selidik telah dijalankan pada 30 Mac 2020 sehinga 3 April 2020 di komuniti Taman Desa Seringin, Nilai Negeri Sembilan dan beberapa penduduk di Taman Kiara Mas, Kluang Johor dengan responden seramai 100 orang. Sepanjang tempoh PKP ini, penduduk menjalani kehidupan di dalam rumah sepenuhnya. Sampah juga dijana di dalam rumah secara sepenuhnya.
Oleh dengan itu hasil kaji selidik mendapati, lebih 60% daripada responden tidak faham akan konsep ini apatah lagi untuk mengaplikasikannya. Salah satu punca kepada masalah yang berlaku adalah kerana terdapat kelemahan di peringkat permulaan lagi iaitu pada peringkat penjanaan. Oleh dengan itu, siapakah agen perubahan yang paling berkesan di peringkat penjanaan ini? KOMUNITI.
5.3 EJEN PERUBAHAN
Untuk membantu rakyat khususnya dalam konteks komuniti, dalam menyesuaikan diri dengan perubahan, memerlukan Ejen Transformasi. Ejen Transformasi adalah mereka yang memimpin perubahan. Perubahan yang dilakukan dalam konteks yang dibincangkan adalah dalam magnitud yang sangat luas kerana melibatkan perubahan ke atas budaya. Maka, Ejen perubahan di peringkat komuniti adalah AJK Persatuan Penduduk. Kriteria agen transformasi yang berkesan adalah:
- Kebolehan untuk mengendalikan kepelbagaian kumpulan orang.
- Kebolehan untuk menentukan bagaimana perubahan sepatutnya dilakukan
- Mempunyai skil menyelesaikan masalah
- Kebolehan mempengaruh dan memujuk
- Kebolehan untuk menentukan sehingga tahap mana penduduk mampu memberi kerjasama.
- Kebolehan untuk memadankan antara kekuatan dan kelemahan dalaman dengan peluang dan ancaman luaran penduduk.
- Fleksibiliti dan responsif terhadap perubahan.
Ejen Transformasi, komuniti boleh membantu pihak kerajaan dalam 2.mengenal pasti dan menentukan masalah, dan seterusnya membantu dalam 3.menghasilkan rencana tindakan atau penyelesaian alternatif kepada masalah kerana jurang matlamat kerajaan telah berjaya dirapatkan. Dengan kerjasama dari pihak komuniti, pihak komuniti itu sendiri juga boleh 4melaksanakan transformasi dengan mengikuti proses Lewis iaitu Unfreezing, Change dan Refreezing.
5.Pengukuran, penilaian dan kawalan adalah langkah yang terakhir. Semasa peringkat ini, komuniti dan kerajaan perlu menilai sejauh mana transformasi telah dilaksanakan secara berkesan dalam peringkatnya dan sejauh mana pula ia telah menghasilkan hasil yang diinginkan. Pihak komuniti juga boleh memainkan peranan sebagai “Kolaborator” atau “Fasilitator”, dalam menentukan arah dan menyelesaikan masalah.
5.Semasa dalam fasa pengukuran, penilaian dan kawalan, pihak kerajaan (cadangan: DKN) menilai keberkesanan transformasi terhadap petunjuk yang telah ditentukan sebelumnya. (Guide, 2020)
5.4 ELEMEN KESTABILAN DAN PENYESUAIAN MASA
Apa yang akan terjadi sekiranya terdapat penduduk yang tidak mahu atau tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan iaitu tidak mahu melakukan amalan kitar semula? Menurut Lynda Ford (Ford, 2002), ianya bergantung kepada kestabilan Persatuan Penduduk dan masa yang diperlukan untuk menyesuaikan diri, membawa kepada beberapa kemungkinan.
Gambarajah 9: Elemen Kestabilan dan Penyesuaian Masa
Ini bermaksud, untuk mencapai kejayaan di peringkat komuniti ini, ejen perubahan perlu memastikan kestabilan atau kekuatan persatuan penduduk adalah tinggi dan masa untuk menyesuaikan dengan program kitar semula adalah cepat.
Di peringkat kerajaan pula, jika kestabilan kerajaan adalah tinggi (dasar yang kuat), tempoh menyesuaikan diri yang tinggi (rakyat dapat menyesuaikan diri dengan budaya kitar semula dengan cepat), ia akan menjadikan Malaysia mampu untuk mencapai pengurusan sisa pepejal yang mampan kerana kebolehan untuk bertahan dari ancaman penolakan seta kemajuan program dapat tumbuh secara baik. Namun, apa yang berlaku pada masa ini adalah tempoh untuk rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan amalan kitar semula adalah lama walaupun kerajaan mempunyai dasar dan pelan tindakan yang kuat , menjadikan hasilnya adalah perlahan.
5.5 GARIS PANDUAN KEPADA EJEN PERUBAHAN
Maka di bawah adalah garis panduan yang akan membantu ejen perubahan (AJK Persatuan Penduduk) mula memecahkan tembok-tembok halangan:
- Memastikan maklumat sentiasa mengalir kepada penduduk.
-Maklumat boleh disampaikan ketika Mesyuarat Persatuan, melalui whatapps group, semasa gotong royong, semasa sesi usrah, semasa program pendidikan dijalankan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (SWEnvironment) dan melalui risalah-risalah yang diberikan oleh wakil setiap taman kepada setiap isi rumah.
- Galakkan secara aktif /promosi terhadap pemahaman melalui komunikasi dua hala dan kemahiran mendengar yang aktif.
-Laksanakan perancangan seperti di atas dan bertindak sekiranya terdapat sebarang masalah atau aduan berkenaan dengan kempen yang dijalankan.
- Menjawab segala soalan secepat dan sejujur mungkin
-Jika terdapat pertanyaan dari penduduk berkenaan dengan proses kitar semula sebagai contoh adakah item ini boleh di kitar semula atau tidak, ejen transformasi akan menjawab pertanyaan dengan segera dan pantas. Seandainya tidak tahu, boleh merujuk kepada pihak yang lebih berkemahiran seperti SWCorp. Maka perlulah menwujudkan kerjasama yang lebih baik dengan Pihak Berkuasa Tempatan.
- Menjadi role modelatau contoh yang baik kepada ahli yang lain
-Ejen transformasi sendiri mengamalkan budaya kitar semula bagi mengukuhkan nilai positif sebaik mungkin. Hal ini akan memberi pengaruh dan mewujudkan nilai yang positif dalam diri penduduk yang lain.
- Mengalirkan sikap yang positif
–Gambar amalan baik yang disebutkan boleh dikongsi ke dalam whatapps group yang menjadi bukti. Sebagai contoh, gambar menyediakan tong kitar semula yang berasingan di dalam rumah, gambar meletakkan plastik yang mengandungi bahan kitar semula di luar tong sampah dan bahan sisa di dalam plastik hitam yang di letakkan di dalam tong sampah.
- Tindakan yang berterusan.
-Lakukan perubahan berskala kecil. Percubaan boleh dilakukan beberapa kali namun haruslah secara berterusan/istiqomah.
- Kemajuan yang boleh dilihat
–Pamer atau sampaikan kepada para penduduk dengan segera akan kesan baik atau manfaat yang terdapat dalam kempen/program ini setelah program dimulakan.Sebagai contoh, jumlah kutipan item kitar semula yang semakin meningkat, atau plastik bahan sisa yang ringan untuk dibuang berbanding sebelumnya (gambar sebelum dan sesudah pengasingan sisa) ataupun komen yang positif daripada kerajaan negeri, dan komen dari pekerja pengutip sampah yang berbesar hati kerana penduduk mengurangkan beban mereka.
6.0 MENGENALPASTI ISU
6.1 KAJIAN TERDAHULU
Pada tahun 2012, satu kaji selidik telah dilakukan kepada 17,000 responden berkenaan dengan Program Kitar Semula. Kaji selidik ini di jalankan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPA) di bawah unit Kitar Semula dan Kesedaran Awam. Hasil daripada kaji selidik mendapati 99% daripada responden sedar akan program kitar semula dan 68.8% menyatakan mereka akan mengaplikasikannya.
Kajian ini menyatakan kempen pendidikan adalah penting bagi memberi kesedaran kepada rakyat namun jika ianya yang dijalankan tanpa peneguhan dalam perlakuan tindakan manusia, ianya tetap akan memberi impak rendah.
Pengurus Alam Sekitar Tetra Pak, Puan Manjula Murugesan ada menyebut dalam satu temubual bahawa halangan-halangan untuk meningkatkan tahap mengitar semula adalah kurang pengetahuan, kesulitan dan tidak releven. Maka menurut 59% responden lagi, mereka akan melakukan kitar semula jika ditunjukkan bagaimana dilakukan dan di mana untuk mengitar semula.
Dalam Laporan Roper, yang melakukan kajian dalam polisi awam melalui Perhubungan Awam IPSOS, mendapati antara sebab mengapa rakyat Amerika berhenti dalam melakukan kitar semula adalah kerana 25% Pusat Pengumpulan Kitar Semula tidak mudah didapati, 10% menyatakan kitar semula memerlukan banyak masa dan 8% menyatakan kurang pengetahuan tentang apa yang perlu dikitar semula dan apa yang tidak.
Alasan –alasan yang diberikan di seluruh dunia adalah hampir sama. (NST, 2014)
6.2 TEMUBUAL RAKYAT MALAYSIA DI HELSINKI, FINLAND
Hasil temubual bersama kenalan, rakyat Malaysia (Hamzah, 2020) yang kini menetap di Helsinki, Finland bersama keluarga kerana tuntutan belajar, mereka merasakan adalah wajib untuk melakukan kitar semula di sana walaupun semasa di Malaysia amalan kitar semula mereka adalah pada tahap yang rendah. Menurutnya lagi, beliau dan keluarga terpengaruh dengan amalan penduduk sekeliling seperti kejiranan, institusi, malah di keseluruhan tempat. Selain daripada itu, faktor yang paling utama katanya adalah terdapat fasiliti yang lengkap bermula dari pembekalan enam jenis tong sampah bagi tujuan mengasingkan, sisa berada di dapur rumahnya. Bukan itu sahaja, kemudahan “Rumah Sampah” yang berada di setiap kawasan perumahan, memudahkan untuk mereka mengosongkan tong sampah yang telah penuh. Malahan terdapat garis panduan yang besar dan jelas di dalam “rumah sampah” serta setiap isi rumah memiliki garis panduan untuk di letakkan di dalam rumah sebagai satu langkah pendidikan kesedaran yang berterusan.
6.3 ANALISIS S.W.O.T
Selain daripada itu, kaedah analisis S.W.O.T adalah antara langkah terbaik dalam proses pengenalpastian masalah atau kesinambungan dari kaji selidik yang dijalankan. Analisis SWOT adalah teknik strategik yang memadankan antara kekuatan dan kelemahan dalaman dengan peluang dan ancaman luaran terhadap amalan kitar semula di peringkat komuniti terutamanya penduduk Taman Desa Seringin .Hal ini boleh dijadikan contoh oleh kumpulan komuniti yang lain.
Gambarajah 10: Analisis SWOT Kejiranan Persatuan Penduduk Taman Desa Seringin, Nilai,Negeri Sembilan.
7.0 CADANGAN PENYELESAIAN MASALAH
7.1 KAJIAN ILMIAH
Terdapat banyak hasil kajian yang telah dilakukan di seluruh dunia bagi meningkatkan lagi amalan kitar semula. Faktor yang menyumbang kepada tingkah laku masyarakat dalam pelaksanaan program kitar semula ini, secara umum terbahagi kepada dua iaitu; (i) faktor tingkah laku, dan (ii) faktor penglibatan masyarakat dengan program kitar semula. Menurut Wang et. al (1997), jika persepsi masyarakat di peringkat awal terhadap program kitar semula adalah negatif, maka aktiviti kitar semula bagi setiap penghuni juga adalah negatif. Kajian oleh Gurder Adams (1990) dan Burca et. al. (1994) menunjukkan bahawa penduduk yang cenderung untuk menjalankan aktiviti kitar semula akan menghasilkan lebih banyak sampah yang boleh dikitar semula berbanding dengan penduduk yang kurang minat aktiviti kitar semula. Kekerapan pungutan bahan yang boleh dikitar semula juga boleh meningkatkan kadar pungutan bahan kitar semula seperti yang dijalankan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development bagi komuniti di Brussels (OCED, 1993).
Penyediaan tong bagi bahan plastik dan tin aluminum di setiap rumah akan meningkatkan pungutan bahan kitar semula bagi bahan-bahan tersebut (Howkins, 1991). Beberapa kajian di Amerika Syarikat juga menunjukkan bahawa tong kitar semula yang diberi secara percuma bagi setiap isi rumah akan meningkatkan kadar pungutan bahan boleh dikitar semula sebanyak dua kali ganda (Hageman, 1989 & Schmerling,1990). Maka, jelaslah di sini bahawa dengan peningkatan pungutan sampah (yang boleh di kitar semula) dan penyediaan tong kitar semula bagi setiap isi rumah secara langsung akan meningkatkan kadar bahan kitar semula yang dipungut. Strategi promosi yang efektif di antara firma pemungut sampah dengan penduduk setempat merupakan salah satu kunci kejayaan yang boleh meningkatkan kadar bahan yang boleh di kitar semula di sesuatu kawasan itu.
7.2 PEMASARAN SOSIAL (STRATEGI PROMOSI)
Kempen Kitar Semula dikendalikan oleh organisasi tidak berasaskan keuntungan atau pihak kerajaan seperti Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara. Kementerian Pengurusan Sisa Pepejal Negara. Pemasaran sosial adalah satu fenomena global yang akan kembali saban tahun. Di Malaysia, Hari Kitar Semula Negara yang pertama dimulakan pada tahun 1993 dan Hari Kitar Semula Negara kembali semula pada tahun 2000 yang sehingga kini masih belum mencapai matlamatnya. Tindakan pemasaran sosialnya haruslah dikaji semula.
Pemasaran sosial bermaksud mempunyai matlamat utama untuk mencapai “kebaikan sosial”.Adalah sangat kritikal untuk memilih matlamat atau objektif yang tepat untuk program pemasaran sosial. Ini kerana, kempen pemasaran sosial seperti Kempen Kitar Semula ini seharusnya mempunyai objektif berkaitan untuk menukar persepsi, nilai, tindakan, atau tingkah laku manusia. Pemasaran sosial mempunyai taktik yang berbeza untuk mencapai matlamatnya. Proses tindakan pemasaran sosial haruslah memenuhi langkah-langkah yang di tunjukkan dalam Gambarajah 11.
Gambarajah 11: Proses Perancangan Pemasaran Sosial
Komuniti menjadi satu agen perubahan paling berkesan dalam melaksanakan kempen ini.
Beberapa faktor kepada kunci kejayaan dalam membangunkan dan melaksanakan program pemasaran sosial adalah:
- Kaji literature dan kempen –kempen terdahulu
- Salah satunya adalah kajian ini atau sumber ilmiah berkaitan yang lain-Lakukan analisis SWOT (Gambarajah 10)
- Pilih sasaran pasaran yang bersedia untuk memberi maklum balas
- Sasaran adalah semua peringkat umur terutama isi rumah yang mempunyai masa terluang terutama pada tempoh Peringkat Kawalan Pergerakan.-Persatuan Penduduk Taman Desa Seringin.
- Menggalakkan satu tingkah laku yang boleh dilakukan dengan jelas dan mudah.
- Asingkan sisa di dalam rumah mengikut panduan yang telah digariskan oleh SWCorp.
- Jadikan mudah untuk mengamalkan proses kitar semula.
- Agihkan tong sampah kitar semula khas secara percuma kepada setiap isi rumah. (Hari pemberian adalah di mana wakil penduduk akan menguruskan agar terdapat wakil SWCorp datang bersama lori untuk memungut barang kitar semula, pegawai SWCorp datang memberi penerangan jelas kepada semua penduduk akan impak dan sebagainya, penduduk datang dengan membawa barang kitar semula dan wakil penduduk akan agihkan tong sampah kitar semula percuma kepada penduduk bersama flyersgaris panduan untuk di tampal di setiap rumah. Satu kawasan khas akan disediakan untuk meletakkan item kitar semula yang akan dipungut oleh pihak SWCorp mengikut jadual yang telah ditetapkan. Pihak SWCorp hanya memungut satu beg plastik yang mengandungi sisa makanan yang diletakkan di depan rumah masing-masing.
- Bangunkan mesej-mesej yang menarik perhatian dan media.
-Fakta-fakta yang perlu penduduk ambil tahu terutama tentang impak apabila tidak melakukan kitar semula. Boleh dikongsikan ke dalam whatapps group persatuan penduduk.
- Pertimbangkan satu pendekatan pendidikan berbentuk hiburan
Contoh yang diberi adalah pada peringkat Komuniti. Memang terdapat cabaran dan kerumitan tentang isu-isu yang berkaitan dengan pemasaran sosial terutama di peringkat kerajaan, maka adalah penting untuk mengambil pandangan jangka panjang. Program Pemasaran Sosial seperti kempen kitar semula ini memerlukan masa dan melibatkan beberapa siri fasa program dan tindakan.
7.3 PENGLIBATAN DASAR KOMUNITI NEGARA
“Dasar Komuniti Negara (DKN) telah digubal oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertujuan untuk menangani isu sosial perumahan di peringkat komuniti setempat, khususnya di kawasan perumahan berstrata kos rendah di seluruh negara. Strategi-strategi di bawah Dasar ini adalah selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-11, Dasar Perumahan Negara 2.0, Dasar Sosial Negara, Rancangan Fizikal Negara Ke-3, Deklarasi Kuala Lumpur 2018 di bawah Agenda Perbandaran Baharu serta Sustainable Development Goals (SDGs).” (KPKT, 2020)
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, komuniti bermaksud orang yang tinggal di sesuatu tempat, daerah, negara dan sebagainya (di bawah satu pemerintahan); masyarakat keseluruhannya; orang ramai atau tempat yang didiami oleh sesuatu masyarakat serta saling bergantung dan berhubungan antara satu dengan yang lain. Namun, adalah didapati Dasar Komuniti Negara hanya mengkhususkan kepada kawasan perumahan berstrata kos rendah di seluruh negara. Oleh kerana itu, matlamat, objektif dan pelaksanaan kluster DKN hanya berdasarkan Komuniti yang berada di kawasan perumahan berstrata kos rendah.
Gambarajah 12: Fokus keutamaan Pelaksanaan Dasar Komuniti Negara
Melalui Kluster 2, Strategi 2.2, DKN ini perlu diperluaskan kepada semua komuniti terutamanya di seluruh Malaysia bagi menjadikan pengurusan sisa pepejal dari rumah dengan lebih berkesan.
8.0 KESIMPULAN
Langkah yang paling berkesan dalam usaha mengurangkan jumlah penjanaan dan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan sampah adalah dengan melakukan pengasingan sisa di punca dan aktiviti amalan 3R. Selain daripada itu, ia telah dikenalpasti dapat meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan sampah hasil daripada pengurangan jumlah sisa pepejal dari isi rumah.
Pihak kerajaan boleh meneliti semula pelan tindakan Model Transformasi Berterusan dan, tindakan transformasi tersebut haruslah menggunakan konsep kestabilan yang tinggi dan kadar penyesuaian masa yang singkat bagi memastikan sesuatu pelaksaan itu benar-benar berjaya. Pihak Kerajaan perlu melabur dalam Pengurusan Sisa Pepejal kerana elemen ini adalah yang paling utama untuk mencapai matlamat SDG. Pihak kerajaan juga haruslah mengambil peluang dan mengembeling tenaga bersama Dasar Komuniti Negara bagi mencapai matlamat ini.
Setelah itu, promosi yang akan dilakukan haruslah menggunapakai langkah promosi yang berkesan iaitu bukan hanya di peringkat kerajaan sahaja malahan di semua peringkat terutamanya di peringkat komuniti melalui ejen perubahan/transformasi agar pelaksanaan dapat dipantau dan dilaksanakan dengan berkesan. Ini kerana salah satu faktor utama kejayaan program ini adalah dengan mendapatkan sokongan dan penglibatan masyarakat secara aktif dengan pelaksanaan pengasingan sisa pepejal di rumah,
Diharapkan rakyat Malaysia akan lebih menghargai sisa pepejal sebagai satu sumber baru yang dapat digunakan sebagai alternatif dalam sesuatu proses kehidupan yang baru. Ini kerana, tiada istilah sampah di dunia hanya, ia hanyalah satu produk yang tidak bergerak. Masa depan generasi akan datang dan alam sekitar akan lebih terjamin, jika sumber alam semulajadi diuruskan dengan bijak dan lestari.
Sudah tiba masanya rakyat Malaysia bertanggungjawab atas sampah yang dijana kerana tiada orang lain akan dapat lakukannya. Akhir kata, kita boleh mencapat Matlamat Dunia dan kita akan lakukannya dengan lebih efektif jika kita boleh mengenalpasti bahawa Pengurusan Sisa adalah satu pemacu yang sangat berkuasa bagi mencapai pembangunan yang mampan
9.0 SUMBER RUJUKAN
Brassaw, B. (11 July, 2017). Germany: A Recycling Program That Actually Works. Retrieved 3 April, 2020, from Earth911: https://earth911.com/business-policy/recycling-in-germany/
CHU, M. M. (30 Jul , 2019). Generating more waste than ever. Retrieved 30 3, 2020, from The Star: thestart.com.my/news/nation/2019/07/30/
Ford, L. (2002). Transform Your Workplace;52 proven strategies, to motivate, energize ,and kick productivity up to the next level. New York: The McGraw-Hill Companies.
Hamzah, N. H. (30 Mac, 2020). Kitar semula di Finland. (S. Z. Yusoff, Interviewer)
JPSPN. (11 10, 2018). Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari. Retrieved 2 April, 2020, from Soalan Lazim: https://jpspn.kpkt.gov.my/index.php/pages/view/44
JPSPN, K. (2016). Dasar Pengurusan Sisa Pepejal Negara 2016. Retrieved 3 April, 2020, from KPKT JPSPN: www.jpspn.kpkt.gov.my
KPKT. (2020). Pengenalan Dasar Komuniti Negara. Retrieved 29 March, 2020, from Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan: https://www.kpkt.gov.my
LAB. (13 April, 2012). Lab Pengurusan Sisa Pepejal. Retrieved 2 April, 2020, from JPSPN, KPKT: https://jpspn.kpkt.gov.my/resources/index/user_1/Sumber_Rujukan/kajian/lab_sisa_pepejal.pdf
Lenkiewicz, Z. (11 May, 2016). The global goals for sustainable development. Retrieved 3 April, 2020, from Wasteaid: https://wasteaid.org/waste-sustainable-development-goals/
Leoi, S. L. (16 Jul, 2019). Malaysia is overflowing with waste and we’re running out of options. Retrieved 29 Mac, 2020, from The Star: https://www.thestar.com.my/lifestyle/living/2019/07/16/plastic-waste-landfills
Mazlan, M., & Othman, N. I. (3 April, 2020). Municipal Solid Waste Management in Malaysia. Malaysia.
Mohamed Farid Noh, M. F. (22 Julai, 2019). 16 sungai nazak. Retrieved 2 April, 2020, from BH Online: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/07/587975/16-sungai-nazak
Noh, M. F. (27 Ogos, 2019). 296 kawasan pelupusan sampah haram dikesan di Johor Bahru. Retrieved 29 Mac, 2020, from BHOnline: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/08/600641/296-kawasan-pelupusan-sampah-haram-dikesan-di-johor-bahru
NST. (8 Nov, 2014). Why we don’t recycle. Retrieved 3 April, 2020, from 2014: https://www.nst.com.my/news/2015/09/why-we-don%E2%80%99t-recycle
P.Robbins, S., & Mary Coulter. (2018). Management ;Culture Change ;muka surat 219- 221. New York: Pearson.
Pak, T. (n.d.). Recycle Easy. Retrieved from Recycle Easy: https://www.recycle-easy.com.my/careton-project/
Rahman, P. M. (27 Mac, 2020). ‘Duduk di rumah’, usah sampai berlebihan sampah. Retrieved 2 April, 2020, from BH Online: bharian.com.my/rencana/komentar
WORLDOMETER. (11 September, 2022). Malaysia Population. Retrieved 10 September, 2022, from Worldometer: https://www.worldometers.info/world-population/malaysia-population/
Maklumat Pengarang:
Nama: Siti Zubaidah Binti Mohd Yusoff
Leave a Reply