Salam dan selamat sejahtera semua.
Pada kebiasaannya, kita akan buang sesuatu benda yang kita tidak perlukan lagi. la merupakan sampah pada mata dan pemikiran kita. Namun, apa yang menjadi persoalan adalah di mana kita akan buang sampah tersebut.
Umumnya, masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk membuang sampah pada tempat yang betul bergantung kepada dimana kita berada pada ketika itu sama ada di dalam tong sampah yang disediakan di dalam rumah atau tong sampah yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan. Mungkin di dalam keadaan kita sukar untuk mendapatkan tong sampah di suatu kawasan, kita disarankan agar menyimpan dahulu sampah yang ada sehingga berjumpa tong sampah, baharulah dibuang.
Namun begitu masih ada segelintir masyarakat yang mengabaikan tanggungjawab tersebut dengan tabiat membuang sampah bukan pada tempatnya. Akibat daripada perbuatan tersebut, sampah berselerakan di merata-rata kawasan dan mengundang pelbagai kesan buruk seperti masalah kesihatan, pencemaran dan sebagainya.
Pencemaran berlaku apabila sesuatu kawasan tersebut dipenuhi dengan sampah sarap yang boleh mengakibatkan udara dan tanah menjadi tercemar. la boleh menyebabkan sesetengah spesis hidupan di situ berpindah ke tempat lain dan mengakibatkan berlakunya ketidakseimbangan ekosistem.
Oleh itu, bagi mengelakkan kewujudan kesan-kesan buruk tersebut, maka banyak organisasi mengadakan program-program pembersihan di mana para peserta melakukan aktiviti mengutip sampah yang memberi manfaat kepada alam sekitar. Setelah sampah sarap dikutip, maka kawasan persekitaran akan kelihatan bersih dan rapi, bebas daripada penyakit.
Tiada lagi bekas-bekas kosong seperti plastik, tin dan lain-lain yang boleh menakung air hujan dan menjadikannya amat sesuai sebagai tempat pembiakan nyamuk. Begitu juga, dengan ketiadaan sampah sarap, dapat menghindarkan serangga-serangga dan haiwan-haiwan pembawa penyakit seperti lipas, tikus dan lalat datang ke kawasan tersebut. Kawasan yang tidak dicemari oleh sampah juga bebas daripada pencemaran bau busuk.
Kebiasaannya, sampah sarap yang dikutip ini akan diasingkan mengikut kategori boleh dikitar semula dan tidak boleh dikitar semula. Hanya sampah sarap yang tidak boleh dikitar semula sahaja yang akan dibuang. Ini akan mengurangkan kuantiti sampah sarap yang perlu dihantar ke tapak-tapak pelupusan sampah. Secara tidak langsung, kaedah ini akan melambatkan tapak pelupusan sampah daripada cepat penuh dan menyelamatkan penerokaan tanah-tanah untuk membina tapak-tapak pelupusan sampah baharu.
Aktiviti mengutip sampah sarap juga dapat menjamin sesuatu kawasan tersebut sentiasa terpelihara kebersihannya. la dapat mengelakkan sampah daripada masuk ke dalam parit dan longkang dan hasilnya parit dan longkang menjadi bersih dan mengalir dengan lancar. Keadaan ini dapat mencegah banjir kilat daripada berlaku. Air yang mengalir ke sungai ini pula bebas sampah sarap dan dapat memelihara kualiti kebersihan sungai.
Natijahnya, aktiviti mengutip sampah boleh membentuk sahsiah peribadi seseorang menjadi pembersih. Mereka akan sentiasa memastikan keadaan sekeliling sentiasa bersih, kemas dan dijaga dengan rapi agar terhindar daripada pencemaran.
Walaupun mengutip sampah merupakan aktiviti yang dipandang rendah oleh masyarakat, namun manfaat yang diperolehi daripadanya amat banyak. Begitu juga ganjaran yang bakal diperolehi apabila melakukan aktiviti tersebut amat besar seperti mana hadis riwayat Imam Al-Bukhari:
Dari Abu Barzah Al-Aslami, ia berkata:
“Aku mengatakan kepada Rasullullah S.A.W., ‘Tunjukkan kepadaku perbuatan yang dapat memasukkan aku ke syurga.’ Baginda menjawab, ‘Buanglah sesuatu yang mengganggu tempat laluan manusia.”
Kiriman dari Muhaidatul Ismah Bt Ismail
04 Jun, 2021
Leave a Reply