Isu pencemaran sungai adalah satu isu yang serius tidak boleh diambil remeh. Sebab ianya boleh menyebabkan alam sekitar tercemar dan melibatkan banyak pihak, termasuklah penduduk setempat yang akan turut rasainya kesannya. Contoh kes yang terkini di johor, Pembuangan sisa toksik di sungai Kim Johor, dan juga kes di selangor terlalu banyak. Menyebabkan masalah bekalan air akan terganggu.
Contoh Soalan.
Gambar dibawah ini adalah satu contoh fenomena pencemaran sungai yang berlaku dinegara kita. Huraikan tentang pendapat anda mengenai punca-punca pencemaran sungai. Panjang huraian anda hendaklah dari 200 hingga 250 patah perkataan. Selamat mencuba!
Rangka Karangan.
Rangka Karangan Pendahuluan sungai merupakan sumber air – juga sistem perhubungan – dahulunya membantu pertumbuhan bandar-bandar – kini, banyak sungai tercemar.
Isi 1: Pembuangan sampah sarap oleh anggota masyarakat – kurang menyedari kepentingan sungai – di Pulau Pinang kini menjadi sungai mati
Isi 2: Pembuangan sisa toksik – Industri yang berasaskan pertanian dan pembuatan banyak menghasilkan bahan buangan tidak kurang daripada satu juta kilogram sisa industri kelapa sawit dan industri gerah dibuang ke sungai pada setiap hari – pengusaha mementingkan keuntungan.
Isi 3 Kegiatan membalak – hutan musnah – mengundang hakisan tanah – akar-akar pokok tidak mencengkam tanah-hakisan menyebabkan sungai tercemar dan cetek.
Penutup: pencemaran sungai serius – faktor utamanya ialah sikap mementingkan diri sendiri – perlu menyokong kempen Cintailah Sungai Kita.
CONTOH KARANGAN, PUNCA-PUNCA PENCEMARAN SUNGAI.
Sungai merupakan sumber air yang juga berfungsi sebagai sistem perhubungan utama di sesetengah tempat. Pada suatu ketika dahulu, sungai membantu pertumbuhan bandarbandar tertentu, antaranya ialah Kuala Lumpur, Alor Star, Kuala Terengganu, dan Kuching. Walaupun begitu, kini, banyak sungai yang tercemar. Kajian oleh Jabatan Parit dan Saliran (JPS) mendapati bahawa Sungai Klang, Sungai Juru di Pulau Pinang, dan Sungai Skudai di Johor adalah antara sungai yang tercemar di negara ini.
Pembuangan sampah sarap oleh anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab adalah antara punca pencemaran sungai. Golongan ini tidak menitikberatkan kebersihan alam sekitar disebabkan mereka kurang menyedari kepentingannya. Oleh sebab itu, mereka menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sampah sarap. Sebagai contoh Sungai Pinang, di Pulau Pinang yang membentuk sistem pengangkutan air utama pada suatu ketika dahulu, kini sungai tersebut menjadi “sungai mati” lantaran pembuangan sampah sarap.
Selain itu, fenomena ini juga berpunca daripada pembuangan sisa toksik. Di negara ini, industri yang berasaskan pertanian dan pembuatan banyak menghasilkan bahan buangan. Kajian menunjukkan bahawa tidak kurang daripada satu juta kilogram sisa industri kelapa sawit dan industri gerah dibuang ke perut sungai pada setiap hari. Hal ini berlaku kerana, terdapat segelintir pengusaha yang hanya mementingkan keuntungan tanpa memikirkan kesan buruk tindakan sedemikian. Oleh sebab itu, tidak mustahillah sekiranya pencemaran sungai bertambah serius dari semasa ke semasa.
Tidak dinafikan bahawa pembalakan menyumbangkan pendapatan yang lumayan kepada negara. Namun demikian, pemusnahan hutan yang berterusan akibat aktiviti pembalakan telah mengundang hakisan tanah. Hal ini demikian kerana, akar-akar pokok tidak lagi berfungsi untuk mencengkam tanah. Bahan hakisan pula mengalir ke sungai menyebabkan sungai tercemar dan seterusnya menjadi semakin cetek. Sekiranya aktiviti pembalakan tidak dikawal dan pembalakan haram gagal dibanteras, pencemaran sungai akan bertambah serius, sekali gus memusnahkan harapan kita untuk hidup sejahtera di muka bumi ini.
Kesimpulannya, pencemaran sungai tidak harus dipandang ringan. Walaupun masalah ini terjadi disebabkan oleh pelbagai faktor, namun faktor utamanya ialah sikap sesetengah anggota masyarakat yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kesan negatifnya
Leave a Reply