Soalan: Huraikan Pendapat anda tentang langkah-langkah untuk mengurangkan perbelanjaan bagi mengatasi kenaikan harga barangan. Panjangnya huraian mestilah tidak lebih dari 250 patah perkataan.
Rangka Karangan.
Pendahuluan: kenaikan harga barang seperti sukar dibendung
— membebankan golongan berpendapatan rendah
— pelbagai langkah perlu diambil untuk mengurangkan perbelanjaan kita
Isi 1: berbelanja secara berhemat — merancang pembelian berdasarkan keperluan kita terhadapnya. bukannya kerana faktor perasaan atau harga.
Isi 2: menghidupkan amalan bercucuk tanam — membantu kita berjimat tidak perlu lagi berbelanja di pasar
lsi 3: Boikot- pasaraya yang menjual harga pasaran mahal naiknya mendadak tinggi.
Isi 4: penggunaan telefon bimbit haruslah dikawal — terdapat 37 juta pengguna telefon bimbit di negara kita — purata rakyat Malaysia berbelanja RM 100 sebulan — suatu pembaziran
Penutup: amalan berjimat cermat haruslah dilakukan — tidak terjebak oleh kemelut hutang yang boleh membinasakan.
Contoh karangan.
Sejak akhir-akhir ini, kenaikan harga barang seperti sukar dibendung. Seperti biasa, peniaga dan pemborong memberikan alasan kenaikan kos sebagai sebab kenaikan harga barang. Keadaan ini membebankan golongan berpendapatan rendah. Sehubungan itu, pelbagai langkah perlu kita ambil untuk mengurangkan perbelanjaan kita.
Antara langkahnya adalah dengan berbelanja secara berhemat. Kita patut merancang pembelian sesuatu barangan sebelum membuat keputusan untuk membeli barangan tersebut. Seharusnya, pertimbangan untuk membeli sesuatu barangan itu berdasarkan keperluan kita terhadap barang tersebut, bukannya kerana faktor perasaan atau harga yang ditawarkan itu amat murah.
Di samping itu, kita juga patut menghidupkan amalan bercucuk tanam. Hal ini demikian kerana, aktiviti ini dapat membantu kita berjimat. Kita boleh menanam cili, serai, daun bawang, dan terung di pekarangan rumah. Daripada hasil tersebut, kita bukan sahaja tidak perlu lagi berbelanja di pasar, sebaliknya boleh menjual hasil tanaman tersebut kepada jiran-jiran untuk menambahkan pendapatan.
Dalam pada itu juga, kita semua sepatutnya guna kuasa nitizen dengan memboikot barang-barang di pasaran yang harganya naik mendadak. Pengeluar menaikkan harga barang untuk mendapatkan keuntungan yang lumayan. Disebabkan pengeluar pengeluar inginkan keuntungan yang besar, pengguna atau pembeli perlu menanggung bebannya. Kejadian ini boleh dikaitkan dengan pepatah ‘disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga’ kerana harga barang yang lain akan naik kesan persaingan antara pengeluar. Oleh itu, masyarakat harus mencegah daripada membeli barang yang mahal. Kesannya, statistik pengeluaran barang mahal semakin menurun dan pengeluar akan mengalami kerugian kerana masyarakat beralih kepada barang yang lebih murah. Keputusan berada di tangan pengguna. Kesatupaduan masyarakat yang memboikot barang mahal boleh membendung kenaikan harga barang.
Bagi membantu rakyat berjimat, penggunaan telefon bimbit haruslah dikawal penggunaannya. Hal ini demikian kerana, kajian menunjukkan bahawa terdapat 37 juta pengguna telefon bimbit di negara kita. Purata rakyat Malaysia berbelanja RM100 sebulan untuk membayar bil telefon bimbit. Kadar tersebut amat tinggi kerana perbelanjaan telefon bimbit bukannya barangan keperluan. Kita haruslah menggunakan telefon bimbit untuk tujuan-tujuan yang penting sahaja.
Kesimpulannya, amalan berjimat cermat haruslah dilakukan oleh rakyat bagi menangani kenaikan harga barang. Kita seharusnya berbelanja mengikut kemampuan sendiri. Bak kata orang, mengukur baju di badan sendiri. Hal ini penting, supaya rakyat tidak terjebak oleh kemelut hutang yang boleh membinasakan masa depan mereka.
Discover more from Zikri Husaini
Subscribe to get the latest posts sent to your email.
Leave a Reply