Sebagai mukadimah, tentu menarik sekali sekiranya sesuatu perihal yang diujarkan itu, dilihat dan dianalisis dari beberapa sudut pandangan, iaitu tidak hanya bergantung kepada satu aspek yang terzahir sahaja. Hal ini terangkum dalam konsep analisis wacana kritis yang boleh memandu masyarakat untuk mengungkap sesuatu isu secara meluas dan mendalam. Marilah mengajak minda berekspedisi sebentar.
Masihkah anda ingat pada 27 Disember 2020, termuat satu berita yang dikhabarkan dalam beberapa media atas talian bahawa Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin telah terjatuh dari basikal dek terlanggar lubang jalan. Namun, ruangan berita berkenaan tidak menyatakan secara terperinci kawasan yang dimaksudkan dan wacana hanya menfokuskan kepada keadaan Khairy Jamaluddin setelah mengalami kemalangan kecil berkenaan. Jika dibaca sekali imbas, gambar dalam ruangan berita hanya disorotkan terhadap ‘Khairy Jamaluddin’ dan ‘Jalan berlubang’.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa isu yang ingin dikongsikan khususnya melibatkan peredaran ulasan sosial sepanjang situasi tersebut diuar-uarkan. Dan sudah tentu, ia melibatkan suara serta pandangan dalam kalangan warga siber yang telah lama memerhatikan perihal tersebut sebagai satu budaya yang asyik bermain dalam kotak organisasi yang diperakui dalam sesetengah konteks dipengaruhi oleh ketirisan akauntabiliti para pekerja. Mungkin ramai yang sedar akan perkara ini, namun tiada apa yang boleh dilakukan. Hanya ada seberapa dua susuk yang mencurah emosi pada lorong titisan pena, manalah tahu boleh mengusik ribuan mata yang terpaut.
Sebelum kita pergi lebih lanjut, isu ini pernah dipersembahkan oleh page “Dd Chronicle” di laman Facebooknya terhadap isu Khairy yang cedera setelah melanggar jalan berlubang. Page “Dd Chronicle” melakukan parodi selepas isu tersebut berlaku bertujuan menegur sikap segelintir pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) yang tidak serius terhadap kerosakan di jalan raya jika membabitkan rungutan daripada orang awam. Justeru, di sini bermulalah titik tolak ulasan sosial yang diketengahkan oleh orang kebanyakan seperti yang berikut:
- Ketidakseriusan pihak JKR menyelesaikan masalah jalan raya berlubang.
- Tahap kecekapan organisasi yang dipengaruhi oleh ketirisan akauntabiliti para pekerja.
- “Double standard” dalam kalangan rakyat biasa dan menteri oleh pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan masalah jalan raya berlubang.
- Pihak yang terlibat hanya menjalankan tugas dengan pantas setelah berlaku kematian atau kecedaraan teruk/parah.
Dengan demikian, apabila berbicara soal budaya birokrasi di negara kita, muncul persoalan yang menjadi tanda tanya yang tidak berjawab. Adakah masalah ini hanya berpusing dalam lingkungan konteks ini? Atau ia juga pernah berlaku dan dialami oleh sesiapa sahaja dalam mana-mana organisasi di Malaysia? Dan adakah pihak yang terlibat perlu menunggu kemalangan mengundang baru hendak membaiki jalan berkenaan? Pada segelintir pihak, mereka mungkin memandang ringan masalah ini, namun ‘malang tidak berbau’.
Di bawah ini mari kita baca secara santai beberapa suara warga siber yang mengulas tentang perkara dalam ruangan komen parodi oleh page “Dd Chronicle” tersebut termasuklah maklum balas daripada Khairy Jamaluddin sendiri setelah menyedari beberapa isu dimainkan apabila beliau terlanggar lubang jalan.
Apa yang hendak dikatakan di sini adalah, kerenah birokrasi itu kita yang ciptakan. Terdapat pelbagai bentuk keadilan di mana setiap seorang wajib melaksanakan keadilan itu bergantung kepada kedudukan dan tanggungjawab yang dipikulnya dalam dunia ini. Perkara tersebut sejajarlah dengan teori fungsionalisme dari sudut antropologi dan sosiologi. Menyentuh soal keadilan dalam melaksanakan tugas, kadang-kala manusia alpa tatkala asyik bermain dengan dunia yang beralas kepingan kertas. Bahkan negara kita hakikatnya memang tidak akan pernah mencapai sifar korupsi sekalipun. Namun, berbalik kepada konteks ini, ia dibicarakan bertujuan untuk mengusik sedikit sebanyak renungan para pembaca terhadap budaya organisasi yang mencerminkan bangsa kita, negara Malaysia.
Beberapa warga siber yang turut menyuarakan pendapat yang sama terhadap isu berkenaan:
Mengatakan bahawa kedudukan menteri dan rakyat tidak boleh mempengaruhi keadilan dalam melaksanakan tugasan.
Komen/maklum balas daripada KJ sendiri:
Sekali lagi, dalam kantung analisis wacana kritis, Khairy Jamaluddin selaku agent yang berkuasa (mempunyai jawatan dalam negara) sedikit sebanyak telah mempengaruhi cara pihak yang bertanggungjawab bertindak dalam tugas mereka. Tetapi, bagaimana pula jika hal ini melibatkan ‘orang tanpa pangkat’ sebelum kejadian tersebut berlaku? Sudah tentu tidak sekecoh mendapat liputan media akhbar seperti yang dialami oleh Khairy Jamaluddin. Benarlah, ‘setiap yang berlaku itu pastu ada hikmahnya’.
Hendak dijadikan cerita, jalan berlubang di mana-mana kawasan perlu diambil tindakan yang segera. Sekiranya keadaan ini masih lagi berleluasa (tidak dipandang serius) maka, mungkin kemalangan yang berpunca daripada jalan berlubang ini kian banyak berlaku. Oleh itu, cadangan daripada Khairy Jamaluddin sendiri supaya mewujudkan Portal Aduan Khas Jalan Berlubang haruslah dipandang serius agar pihak yang dipertanggungjawab lebih peka dan tidak terlepas pandang aduan yang diketengahkan oleh orang awam.
Sekian sahaja renungan santai. Bukanlah perkara di luar kebiasaan, namun jika tidak ditegur, mungkin akan semakin menjadi-jadi sedangkan sifat saling tegur-menegur ataupun berpesan-pesan adalah dituntut dalam agama Islam.
Sumber :
NASIONAL Dis 29, 2020 @ 12:39am
Jangan disebabkan saya menteri,
Kiriman Shaza
Leave a Reply