Hari ini saya berbesar hati dapat pulang ke Pekan untuk melancarkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Peringkat Kebangsaan, dan memberikan agihan pertama BR1M 2018 ini kepada 2,000 penerima daerah Pekan.

Bagi para penerima lain di serata Malaysia, BR1M akan dimasukkan ke dalam akaun bank masing-masing bermula esok, dengan bayaran seterusnya pada Jun dan Ogos kelak, Insya-Allah.

Alhamdulillah, melalui langkah-langkah yang telah diambil Kerajaan untuk menguruskan dasar ekonomi dan kewangan negara dengan lebih cekap dan efisien, kita dapat terus menyediakan BR1M buat rakyat Malaysia.

Saya nak ceritakan sedikit mengenai BR1M. Pihak pembangkang sering menjadikan BR1M ini isu politik, malah lebih daripada itu mereka menggelarnya macam-macam, malah mereka menghina penerima BR1M dengan pelbagai nama.

Inilah pemikiran cetek dan politik kebencian yang pembangkang bawa, di mana mereka tak dapat lihat usaha Kerajaan seperti BR1M ini, adalah usaha yang membawa manfaat dan membantu rakyat. Di mata mereka, semua yang Kerajaan buat tak betul.

Kalaulah, misalnya BR1M ini Kerajaan laksanakan untuk beli undi, sepatutnya kita hanya bagi kepada puak-puak kita sahaja.

Tetapi hakikatnya, semua yang layak dapat BR1M, termasuk di negeri ditadbir pembangkang. Malah, negeri ditadbir pembangkang adalah penerima tertinggi BR1M! Kita pilih penerimanya bergantung kepada pendapatan,

Lebih mengelirukan, pembangkang yang sebelum ini menghina, mengutuk BR1M sebagai dedak, pancing undi, rasuah, kini buat u-turn, mengaku bahawa BR1M akan diteruskan jika mereka berkuasa. Memang mereka ini Pakatan Keliru, dengan Raja U-turn sebagai ketua.

BR1M ini sebenarnya adalah idea yang datang daripada Bank Negara Malaysia, bukan daripada mana-mana parti politik. BNM mencadangkan pemberian subsidi bersasar seperti BR1M menggantikan subsidi pukal yang hanya menguntungkan pihak-pihak yang sudah berada.

Saya ambil contoh subsidi pukal minyak, orang yang sepatutnya menerima subsidi secara relatifnya mendapat kurang berbanding orang yang tinggi kemampuan, contohnya Petrol RON95, orang berkereta besar mendapat manfaat lebih daripada mereka yang membawa motor atau memandu kereta lebih kecil.

Bila Kerajaan laksanakan BR1M pada 2012, bantuan RM500 yang diberikan telah memanfaatkan hampir 4.1 juta penerima.

Sejak daripada itu, bantuan ini telah ditambah baik bagi membolehkan lebih ramai rakyat menerima manfaat dan juga sebagai satu pakej pelengkap kepada semua program-program bantuan Kerajaan dalam membantu rakyat.

Secara keseluruhannya, dari tahun 2012 sehingga 2017, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM25.62 billion kepada penerima BR1M.

Pada tahun 2018 pula, dijangka lebih 7.2 juta penerima akan menerima manfaat BR1M dengan peruntukan sebanyak RM6.8 bilion.

Hari ini, terbukti BR1M adalah satu bentuk perangsang ekonomi yang diiktiraf serata dunia. Banyak negara juga memberikan bantuan serupa dalam bentuk wang tunai kepada rakyat yang memerlukan, termasuklah di negara-negara maju. BR1M juga telah menjadi panduan Arab Saudi dan terbaharu Mesir untuk melaksanakan konsep sama.

BR1M 2018 bukanlah nokhtahnya. Kerajaan akan mengkaji dan menilai keupayaan kedudukan kewangan Kerajaan selaras dengan perancangan pengukuhan fiskal Kerajaan agar semua program bantuan Kerajaan pada masa depan akan terus membantu rakyat.

Apa yang penting, bantuan BR1M merupakan bantuan Kerajaan yang diberikan terus kepada semua yang layak, tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang politik. Malah, mereka yang telah menerima bantuan kebajikan sedia ada juga diberi bantuan BR1M.

Saya berharap semua yang terima BR1M ini dapat memanfaatkannya dengan sebaik-baiknya. Insya-Allah, kita mahu terus lihat perkembangan ekonomi yang positif pada masa hadapan, agar rakyat menikmati kekayaan dan pembangunan negara. Kerajaan terus komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh rakyat.