KERAJAAN akan melanjutkan Skim Perumahan Belia yang dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional mulai 1 Jan, 2020 sehingga 31 Disember 2021 bagi membantu belia memiliki rumah pertama. Ini satu insiatif yang baik selain memberi peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan memiliki rumah.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, skim itu juga menawarkan jaminan pinjaman 10 peratus melalui Cagamas untuk membolehkan peminjam mendapatkan pembiayaan penuh dan bantuan ansuran bulanan sebanyak RM200 sebulan untuk dua tahun pertama, terhad kepada 10,000 unit rumah.
Katanya, melalui kerjasama sektor swasta, kerajaan juga melancarkan Kempen Pemilikan Rumah di mana pemaju menawarkan sekurang-kurangnya diskaun 10 peratus untuk hartanah yang layak dan akan dipadankan dengan pengecualian duti setem,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, semalam, 11.10.2019 .
“Setakat ini, kira-kira 21,000 unit rumah bernilai RM13.44 bilion telah berjaya dijual di bawah kempen ini yang melebihi sasaran jualan awal RM3 bilion. Oleh itu kerajaan juga telah melanjutkan tarikh akhir kempen ini selama enam bulan lagi daripada 30 Jun kepada 31 Dis tahun ini.”
Lim berkata bagi membantu mereka yang tidak mampu membayar deposit 10 peratus dan sukar mendapatkan akses pembiayaan pembelian rumah, kerajaan juga akan mengadakan usahasama dengan institusi kewangan untuk memperkenalkan Skim Pembiayaan Sewa untuk Memiliki.
Melalui skim untuk pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500,000 itu, pembiayaan sebanyak RM10 bilion akan disediakan oleh institusi kewangan dengan sokongan kerajaan melalui penyediaan jaminan sebanyak 30 peratus atau RM3 bilion.
“Di bawah skim ini, pemohon akan menyewa rumah bagi tempoh sehingga lima tahun dan selepas setahun, diberi pilihan untuk membeli rumah kediaman berkenaan pada harga yang ditetapkan semasa perjanjian penyewaan ditandatangani.
“Kerajaan juga akan memberi pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas instrumen pindah milik di antara pemaju dan institusi kewangan, serta di antara institusi kewangan dan bakal pembeli,” katanya.
Lim berkata, pada Januari tahun ini, Bank Negara Malaysia telah melancarkan Dana Rumah Mampu Milik bagi membantu pembeli rumah golongan berpendapatan rendah untuk membeli rumah pertama mereka, dengan nilai hartanah sehingga RM150,000 pada kadar faedah konsesi sehingga 3.5 peratus.
Sejak 1 Sept lepas, kriteria kelayakan ini telah diperluaskan dengan menetapkan nilai hartanah sehingga RM300,000 bagi isi rumah berpendapatan maksimum RM4,360 sebulan, yang merupakan pendapatan ambang untuk B40.
“Sehingga September 2019, sebanyak 2,840 permohonan berjumlah RM472.7 juta telah diterima. Kadar kelulusan adalah sebanyak 77.9 peratus dengan 982 jumlah permohonan bernilai RM156.2 juta diluluskan,” katanya.
Katanya lagi, bagi mengurangkan lambakan kondominium dan pangsapuri yang tidak terjual yang dianggarkan berjumlah RM8.3 bilion pada suku kedua tahun 2019, kerajaan turut akan menurunkan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar daripada RM1 juta kepada RM600,000 pada tahun 2020 untuk pemilikan asing.
Sementara itu, Lim berkata, kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM100 juta pada tahun hadapan untuk membaik pulih keadaan perumahan berstrata kos rendah dan sederhana yang tidak diselenggara dengan baik.
Beliau berkata peruntukan itu bagi memastikan perkhidmatan lif, pendawaian elektrik, paip pembetungan dan bumbung adalah selamat dan berada dalam keadaan baik.
“Kerajaan juga akan memperuntukkan RM15 juta untuk inisiatif Bandar Selamat dan akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan untuk menyediakan lampu jalan, kawasan parkir motosikal dengan ciri keselamatan dan pagar antipanjat serta program keselamatan lain,” katanya.
Manakala sebagai respon kepada pandangan rakyat berhubung Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) yang dikenakan ke atas pelupusan harta tanah oleh individu warganegara dan pemastautin tetap selepas tempoh lima tahun, kerajaan akan menambah baik layanan CKHT dengan menetapkan nilai pasaran pada 1 Jan, 2013 sebagai harga pemerolehan harta tanah bagi harta tanah yang diperoleh sebelum 1 Jan, 2013 berbanding 1 Jan, 2000 yang ditetapkan sebelum ini.
Discover more from Zikri Husaini
Subscribe to get the latest posts sent to your email.
Leave a Reply