

Air…..antara sifat-sifatnya adalah tawar, tidak berbau, hampir tidak berwarna, merupakan keperluan kepada semua benda hidup dan komponen utama bumi. Ia meliputi kawasan seluas tujuh puluh peratus (70%) bumi, di mana sembilan puluh lapan peratus (98%) daripadanya adalah air masin dalam bentuk laut dan lautan, ais atau glasiar serta wap air. Hanya dua peratus (2%) merupakan air tawar dalam bentuk sungai, tasik dan kolam semulajadi. Sumber-sumber air tawar inilah merupakan nadi kehidupan dan untuk kelangsungan hidup semua jenis makhluk bernyawa.
Air amat penting kepada manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Manusia dan haiwan perlukan air untuk minum. Meminum air secukupnya akan memastikan tubuh manusia kekal sihat. Sekiranya badan kekurangan air, kesihatan manusia akan terjejas dan mengundang pelbagai komplikasi seperti kerosakan buah pinggang, kulit kering yang menyebabkan kegatalan dan sebagainya. Manusia juga memerlukan air untuk melakukan aktiviti harian mereka seperti mencuci dan memasak.
Dibidang pertanian pula, air sangat penting untuk tujuan pengairan. Air merupakan salah satu elemen untuk membuat makanan selain daripada cahaya matahari dan udara. Tanpa air pokok tidak akan tumbuh, ladang dan kebun yang diusahakan oleh petani serta peladang tidak akan menjadi. Kesannya, manusia akan mengalami kekurangan makanan. Sungai, tasik dan kolam membekalkan manusia dan haiwan dengan ikan yang merupakan sumber protein kepada manusia dan haiwan. Andainya sumber-sumber air ini dicemari, maka akan terjejas bekalan utama untuk protin.
Sungai menyediakan laluan pengangkutan air untuk membawa barang-barang keperluan daripada pelabuhan di pesisir pantai ke kawasan-kawasan berpenduduk di pedalaman. Contoh terbaik adalah di Sabah dan Sarawak di mana pengangkutan air menggunakan sungai adalah lebih murah dan menjimatkan kerana tidak perlu membersihkan hutan untuk membina jalanraya. Sekiranya hutan dibersihkan akan menjejaskan pula eko sistem di kawasan terbabit. Tambahan pula, laluan darat tidak menjamin keselamatan pengguna jalanraya. Begitulah dengan apa yang berlaku di Kanada di mana bandar-bandar yang berada di sekeliling tasik-tasik besar boleh dihubungi menggunakan kapal.
Sungai-sungai dan tasik-tasik juga menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi dan pertumbuhan industri pelancongan sesebuah negara. Sebagai contoh, di Malaysia terdapat kapal-kapal dan bot-bot persiaran yang membawa penumpang menyelusuri Sungai Kedah, Sungai Melaka dan Sungai Sarawak. Di Siem Reap, Cambodia pelancong boleh menyewa bot untuk mengelilingi Tasik Tonle Sap, melihat aktiviti penangkapan ikan dan menjamu selera di restoran-restoran terapung yang terdapat di situ.
Sektor perindustrian dan pembuatan amat memerlukan air untuk aktiviti pengeluaran sehinggalah kepada proses pembersihan. Tanpa air pembuatan dan pengeluaran akan terhenti dan menjejaskan pendapatan para pengusaha. Kesannya turut dirasai oleh negara apabila sesetengah produk yang dihasilkan adalah untuk tujuan eksport. Manusia turut menjadikan sungai, tasik dan kolam sebagai tempat untuk bersukan dan beriadah. Antara acara sukan yang menggunakan air ialah ‘white water rafting’, perahu naga dan berkayak. Dari segi riadah pula, banyak sungai di Malaysia ini dijadikan sebagai kawasan perkelahan dan rekreasi. Contohnya, Sungai Gombak di Selangor, Sungai Benus di Janda Baik, Pahang serta Hutan Lipur Gunung Tampin di Negeri Sembilan. Di bandar-bandar seperti Kuala Lumpur terdapat tasik dan kolam untuk orang ramai beriadah, contohnya, Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Ampang serta Taman Tasik Perdana. Di tempat-tempat tersebut terdapat kemudahan-kemudahan seperti rekreasi berbasikal, kayak, trek ‘jogging’ dan taman permainan kanak-kanak untuk kegunaan orang ramai.
Mengetahui begitu besarnya peranan serta kepentingan air kepada manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan, adalah wajar untuk kita sentiasa memelihara kebersihan sungai, tasik dan kolam. Ini adalah untuk memastikan agar manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan sentiasa mendapat bekalan air yang bersih lagi berkualiti tinggi. Namun hakikatnya apa yang berlaku pada hari ini adalah kebanyakan sungai di Malaysia telah tercemar khususnya yang mengalir melalui kawasan-kawasan berpenduduk padat dan perindustrian. Di antara punca-punca utama pencemaran yang dikenal pasti mencemarkan sumber air adalah:
- Pembuangan sisa toksik daripada kilang-kilang
- Pembuangan sampah sarap dan sisa oleh manusia
- Sikap tidak ambil peduli tentang kebersihan alam sekitar
- Kelemahan penguatkuasaan
Kesimpulannya, pencemaran sungai, tasik dan kolam adalah hasil daripada perbuatan tangan-tangan manusia sendiri. Maka dengan itu, amat wajar bagi manusia memulihara kembali dan seterusnya memelihara kebersihan serta kualiti air daripada sumber-sumber tersebut.
Bagaimanakah matlamat tersebut dapat dicapai? Apa yang perlu dilakukan? Manusia boleh mengamalkan Konsep 5R sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka.
Apakah yang dimaksudkan dengan Konsep 5R?
‘Refuse’ maksudnya mengelak daripada melakukan kegiatan yang boleh mencemarkan air.
‘Reduce’ maksudnya pengurangan ke tahap maksimum penggunaan ke atas produk-produk atau kegiatan yang boleh mencemarkan air.
‘Reuse’ maksudnya melakukan kegiatan yang boleh digunakan berulang-ulang kali seperti menggunakan air basuh beras atau lebihan air wudhu’ untuk menyiram pokok bunga.
‘Repurpose’ maksudnya mempelbagaikan kegunaan air ke arah kebaikan, penjimatan dan dapat memberi pulangan hasil yang bernilai seperti tenaga yang diperbaharui (renewable energy). Contohnya, penggunaan arus air laut atau sungai untuk menghasilkan tenaga elektrik.
‘Recycle’ maksudnya melakukan penjimatan dengan mengitar semula air seperti menyimpan air hujan atau dari sumber lain dan boleh digunakan untuk kegunaan lain yang bermanfaat.
Manusia perlu mengubah sikap dengan tidak mengambil jalan mudah membuang sampah sarap dan sisa secara tidak bertanggungjawab kepada kaedah yang sistematik. Keprihatinan terhadap keadaan alam sekitar amat penting bagi mengurangkan pencemaran sumber-sumber air. Begitu juga, manusia dianjurkan agar berhemah di dalam penggunaan air disebabkan oleh jumlahnya yang terhad. Sentiasa ingat bahawa air yang sedia ada dikongsi bersama dengan makhluk-makhluk lain dan berterusan sehingga ke generasi akan datang.
Muhaidatul Ismah Bt Ismail
31hb Mac, 2020
Daftar email dan berpeluang untuk menang cabutan bertuah setiap minggu/bulan
Subscribe to our mailing list and get interesting stuff and updates to your email inbox.
Thank you for subscribing.
Something went wrong.
Leave a Reply